MASIH terlalu awal untuk menilai kemampuan penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin yang berjaya meledak gol sulungnya ketika membarisi skuad Bawah 21 tahun (B-21) KV Kortrijk pada perlawanan persahabatan menentang KRC Gent kelmarin.
Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, semua pihak perlu memberikan ruang kepada Luqman Hakim untuk menyesuaikan diri dengan suasana baharu di Belgium.
"Luqman Hakim baru lepas kuarantin dan diberikan peluang bermain untuk skuad muda KV Kortrijk dalam perlawanan persahabatan dan dia berjaya menjaringkan gol. Bagus untuk dia tetapi masih terlalu awal untuk diberikan penilaian.
"Ini baru perlawanan persahabatan dan kita di sini jangan meletakkan harapan terlalu tinggi kerana akhirnya ia akan beri tekanan kepadanya. Kita bagi peluang untuk dia bernafas dan pamerkan kemampuan sebenarnya nanti,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Kelibat Luqman Hakim mencuri tumpuan apabila tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol pertamanya bersama skuad B-21 Liga Profesional Belgium itu selepas menyertai KV Kortrijk dua minggu lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Luqman catat rekod tersendiri di Eropah
Prestasi cemerlang pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan berusia 18 tahun itu lantas mendapat pujian daripada peminat bola sepak tempatan yang terus mengharapkan Luqman Hakim dapat terus mencipta impak bersama KV Kortrijk.
Dalam pada itu, Jamal meminta Luqman Hakim mengekalkan momentum dan berusaha lebih gigih terutama apabila diberikan peluang bermain bersama skuad senior KV Kortrijk nanti.
"Banyak lagi Luqman Hakim kena buat dan buktikan dia ke sana bukan kerana belas kasihan daripada orang, tetapi kerana dia betul-betul layak untuk bermain di Eropah.
"Tetapi buat masa ini saya lihat dia mampu mengadaptasi dengan baik suasana di Belgium. Jadi dia perlu kuatkan semangat untuk terus menampilkan potensinya di sana,” ujarnya.
Luqman Hakim dijangka dapat beraksi bersama skuad senior KV Kortrijk minggu depan dan ketika ini, dia sedang mengikuti program khas untuk membina fizikal serta tahap kecergasannya.
Klik di sini untuk terus membaca