PASIR PUTEH - Teknik sepuh iaitu memanaskan dan menyejukkan logam yang dibakar menggunakan kepanasan tinggi serta ditempa menjadi ‘tunjang’ ketajaman pada mata pisau atau golok dihasilkan oleh Sukri Muhammad, 46, pandai besi dari Kampung Permatang Sungkai di sini.
Sukri yang berpengalaman lebih lapan tahun mengakui sungguhpun kerja sepuh itu nampak mudah, namun ia memerlukan fokus yang tinggi bagi memastikan kualiti ketajaman pada mata bilah pisau dan golok itu terus kekal.
"Saya amat menitik beratkan soal ini kerana ia menjadi penentu kepada kualiti mata pisau atau golok yang dihasilkan.
"Kalau sepuh tak masak (proses menempa mata bilah) ia akan merosakkan kualiti pisau atau golok sekali gus menjejaskan produk yang saya hasilkan ini,” katanya.
Menurutnya, selain teknik sepuh, besi yang digunakan turut memainkan peranan dalam menentukan kualiti pisau atau golok yang ditempanya.
Katanya, antara besi yang diklasifikasikan sebagai berkualiti ialah batang sat motosikal, mata pengorek telaga tiub, paku rel kereta api dan banyak lagi.
"Harga pula bergantung kepada saiz pisau atau golok yang diminta oleh pelanggan. Biasanya setiap produk yang saya hasilkan ini dijual bermula RM100 dan ke atas.
"Saya jual lengkap dengan hulu dan sarung mengikut ukiran yang dikehendaki pelanggan,” katanya.
Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, dia turut menghasilkan pedang, parang, lembing, keris dan segala kerja-kerja pertukangan besi yang diminta oleh pelanggan.
Katanya, kesemua itu dilakukan dengan penuh minat yang mula berputik sejak kanak-kanak lagi.
"Disebabkan terlalu minat, saya mengambil keputusan untuk mempelajari kerja-kerja pertukangan besi ini dengan sebaik mungkin.
"Alhamdulillah, hasil bimbingan dan bantuan dari pihak Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Kelantan menerusi Program Azam Tani tahun 2013 saya telah berjaya membuka sebuah bengkel pertukangan besi.
"Bengkel inilah menjadi sumber rezeki untuk membesarkan dua anak dan menyara keluarga,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca