HASRAT untuk melihat wakil rakyat kita mengisytiharkan harta dan pengisytiharan kekayaan mereka dipaparkan dalam portal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi diakses oleh rakyat nampaknya belum kesampaian sepenuhnya. Sehingga... Klik di sini untuk terus membaca

HASRAT untuk melihat wakil rakyat kita mengisytiharkan harta dan pengisytiharan kekayaan mereka dipaparkan dalam portal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi diakses oleh rakyat nampaknya belum kesampaian sepenuhnya.

Sehingga kini berdasarkan maklumat yang dipaparkan portal Pengisytiharan Harta SPRM, hanya 67 daripada 222 ahli Yang Berhormat (YB) telah berbuat demikian. Mereka terdiri daripada anggota pentadbiran yang mempunyai kedudukan sebagai Perdana Menteri, Menteri-Menteri Kanan, Menteri dan Timbalan Menteri.

Harta yang diisytiharkan dalam portal SPRM itu adalah dalam dua bentuk iaitu pendapatan bulanan yang diterima pada kedudukan masing serta nilai harta lain yang tidak pula diperincikan dalam pengisytiharan itu.

Bagaimanapun, oleh kerana harta didefinisikan oleh Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai barang-barang berharga yang dipunyai oleh seseorang, maka harta yang diisytiharkan itu boleh jadi rumah, tanah, barang kemas, kenderaan dan wang tunai yang berkepuk di bank-bank, di dalam dan luar negara.

Sekali lalu berdasarkan pengisytiharan itu, kita mendapat gambaran umum mengenai pemilikan kekayaan dalam kalangan mereka yang menganggotai cabang kuasa eksekutif Malaysia pada peringkat Persekutuan.

Sama ada pengisytiharan nilai harta tersebut dilakukan secara jujur atau ada harta lain yang disembunyikan, hanya mereka yang tahu. Buat waktu ini, anggota jemaah Menteri itu hanya diwajibkan untuk menyatakan nilai harta yang dipunyai. Bagaimana harta-harta tersebut diperoleh tidak perlu dinyatakan.

Tentunya kesediaan mereka mengisytiharkan harta masing-masing sewajarnya dipuji dan dicontohi walaupun ada antara mereka mungkin keberatan pada mulanya atas sebab-sebab yang mereka sendiri tahu.

Hal ini kerana kekayaan adalah urusan peribadi. Mengikut adat timur pula bukan menjadi amalan kita untuk menayangkan kekayaan kita kepada umum, walaupun tidak dinafikan ada segelintir yang berbuat demikian.

Hal ini dilakukan melalui pelbagai cara seperti dengan menunjuk-nunjuk jenama kereta mewah yang digunakan atau jenis rumah yang didiami; malah ada yang dicerminkan oleh lagak dan gaya hidup anak-anak dan isteri-isteri, percutian di luar negara dan lain-lain. Semua yang dilakukan itu tidak salah.

Tetapi sebagai orang timur, seboleh-bolehnya kita tidak mahu harta-harta yang kita, isteri atau anak-anak kita miliki diketahui orang terutama penjahat yang mungkin menjadikan kita sasaran untuk dirompak.

Dengan kata lain, biarlah orang lain tahu kita kaya raya, tetapi kita jangan sesekali menayangkan kekayaan kita secara terbuka. Cukuplah kita sekadar bersyukur dengan pemberian rezeki ALLAH SWT yang jauh lebih baik daripada orang lain.

SPRM

Tetapi kalau begitu pegangan masyarakat timur, mengapa kita bersungguh-sungguh mahu mewajibkan orang politik yang mempunyai kedudukan dalam badan legislatif dan eksekutif negara mengisytiharkan kekayaan masing-masing?

Bukankah desakan untuk mereka berbuat demikian, yang memang telah lama disuarakan, tidak adil kerana orang politik menceburi bidang itu kerana mereka mahu berbakti, memajukan dan membangunkan negara, baik sebagai wakil rakyat, Menteri atau Timbalan Menteri?

Memanglah tidak dinafikan tujuan asal orang politik berebut-rebut mendapatkan kuasa bukan untuk mengejar jawatan, kedudukan dan kekayaan. Bagaimanapun, seperti mana yang kita tahu, kuasa politik setelah berada dalam genggaman kadangkala menyebabkan pemegangnya lupa daratan. Dia lupa niat asal menceburi politik. Lalu ada yang menyelam sambil minum air.

Kalau tidak masakan dari masa ke masa kita mendengar pemimpin politik yang mempunyai jawatan tinggi dalam kerajaan didakwa atas tuduhan melakukan rasuah dan menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri sendiri.

Bukankah seorang ahli sejarah terkenal Inggeris, Lord Dalberg Acton pernah mengingatkan bahawa power tends to corrupt and absolute power corrupts absolutely.

Justeru, demi ketelusan dan komitmen politik untuk membetulkan persepsi umum bahawa tidak terdapat kecenderungan dalam kalangan pemimpin politik yang berjawatan dalam kerajaan untuk menyalahgunakan kedudukan bagi faedah peribadi, pengisytiharan harta adalah sesuatu yang wajar dan wajib dilakukan.

Amalan

Hal ini penting kerana bidang politik telah dikenal pasti oleh Pelan Anti-Rasuah Kebangsaan atau National Anti-Corruption Plan (NACP) yang telah dilancarkan oleh kerajaan pada 29 Januari 2019 sebagai salah satu daripada enam lubuk utama di mana amalan-amalan korup mudah terjadi. Pelan itu telah dilancarkan oleh kerajaan terdahulu tetapi azam untuk terus melaksanakannya telah diperbaharui oleh kerajaan Perikatan Nasional yang sedia ada.

Justeru, tentulah kita mengharapkan wakil rakyat lain yang masih belum mengisytiharkan harta masing-masing akan mengikut langkah yang telah diambil oleh anggota pentadbiran yang secara telus menyatakan nilai kekayaan mereka.

Keengganan berbuat demikian hanya akan menyebabkan mereka dipandang serong.

Tapi jangan kita berburuk sangka. Mungkin baki 155 ahli YB itu yang harta mereka belum dipaparkan dalam portal SPRM telah mengisytiharkan harta masing-masing langsung kepada Speaker Dewan Rakyat seperti yang diwajibkan oleh satu usul yang telah diluluskan oleh kesemua wakil rakyat di dewan tersebut pada 1 Julai 2019.

Chamil Wariya

Cuma salinan pengisytiharan belum lagi diserahkan kepada SPRM bagi dipaparkan dalam portalnya.

Atau mungkin juga ada antara wakil rakyat tersebut masih dalam proses untuk menyenaraikan harta-harta yang dimiliki bagi memastikan setiap satu yang dipunyai tidak terlepas pandang sewaktu dihitung.

Berilah mereka sedikit masa. Apabila tiba waktunya mereka dengan rela akan mengisytiharkan kekayaan yang ada.Kepada wakil rakyat yang telah melaporkan nilai harta mereka kepada Speaker Dewan Rakyat, segeralah mengemukakan salinan pengisytiharan kepada SPRM supaya ia boleh disenaraikan dalam Portal Pengisytiharan Harta SPRM.

Bukan dengan tujuan untuk membangga diri atas kekayaan terkumpul yang dimiliki, tetapi sebagai komitmen bahawa mereka telah memperoleh harta dengan cara yang halal dan betul.

Sebenarnya tidak salah untuk wakil rakyat menghimpun harta benda. Seperti juga orang lain di Malaysia, wakil rakyat tidak boleh dihalang untuk menjadikan diri mereka kaya.

Cuma kaedah harta itu diperoleh bukanlah dengan cara yang mencurigakan. Atau dengan menyalahgunakan kedudukan mereka dalam politik untuk mengaut kekayaan dengan cara-cara yang korup.

Janganlah tunggu sehingga satu undang-undang khusus mewajibkan ahli Parlimen mengisytiharkan harta seperti yang pernah dicadangkan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM baru-baru ini diperkenalkan baru pengisytiharan harta mahu dilakukan ahli-ahli Yang Berhormat itu

Jadikanlah kompas moral bukan undang-undang sebagai guiding principle untuk setiap wakil rakyat dalam badan perundangan Persekutuan dan negeri mengisytiharkan harta masing-masing kepada SPRM.

*Datuk Dr Chamil Wariya ialah Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI)

Klik di sini untuk terus membaca