Sila log masuk terlebih dahulu.

Rawat atau hukum penagih?

05 Oktober 2020 07:20am | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

Penyalahgunaan dadah bagaikan barah. Walaupun pelbagai kempen dilaksanakan setiap tahun, musuh nombor satu negara itu begitu sukar dihapuskan dan tetap berada dalam masyarakat kita. Kerana ‘barah’ itu jugalah bilangan penagih tegar begitu tinggi. Hukuman di penjara seolah-olah tidak memberi kesan ke atas mereka.

Kenyataan atau dakwaan bahawa dadah dapat membantu menghilangkan masalah adalah khayalan yang amat mustahil. Tiada masalah yang boleh hilang tanpa sebarang usaha untuk menyelesaikannya. Golongan yang mengatakan sebegitu sebaliknya perlu sedar bahawa penggunaan dadah secara berlebihan bukan sahaja boleh menyebabkan kerosakan kekal ke atas otak bahkan kematian.

Menurut bekas Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Izhar Abu Talib, penagih dadah perlu diberi rawatan secukupnya, bukannya dihukum dengan menempatkan mereka dalam penjara kerana ia akan mendedahkan mereka kepada dunia jenayah yang lebih besar.

Menurutnya, penagih dadah sama seperti penagih lain, contohnya penagih alkohol. Mereka mempunyai masalah kesihatan dan sepatutnya dirawat. Masalah penagihan dadah bukanlah masalah pihak-pihak tertentu seperti AADK sahaja. Ia adalah tanggungjawab bersama kita semua. Jadi, apakah yang boleh kita lakukan untuk mengatasi masalah penagihan dadah ini sebenarnya?

Antaranya dengan membetulkan persepsi. Sekiranya kita terus memandang serong dan meminggirkan mereka, ia boleh meningkatkan semula kecenderungan mereka untuk kembali ke kancah penagihan. Lebih teruk lagi sekiranya mereka mula melakukan jenayah bagi menampung keperluan dadah mereka.

Pengarah Pusat Pengajian Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS), Dr Rusdi Abd Rashid pada tahun 2018 pernah menyarankan kerajaan untuk menukar strategi serta memberikan kaedah rawatan berteraskan perubatan dan bukannya memberi hukuman. Contohnya, dengan memberi pilihan sama ada menjalani rawatan di klinik atau hospital, berbanding terus dikenakan hukuman penjara atau dipaksa untuk menjalani rawatan di pusat serenti.

Dalam satu laporan akhbar pada pertengahan Jun 2019, pihak kerajaan mengatakan bahawa penagih dadah tidak lagi dilihat sebagai pesalah jenayah yang perlu dihukum sebaliknya sebagai pesakit yang memerlukan rawatan dan pemulihan. Takrifan itu dicapai susulan perbincangan antara Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan Kementerian Kesihatan yang bersetuju untuk melaksanakan decriminalization ke atas penagih dadah.

Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pelaksanaan decriminalization itu akan melibatkan program rawatan dalam komuniti dengan memperkasakan peranan ahli keluarga dan masyarakat. Menurut Muhyiddin, terdapat 70,000 tahanan penjara di Malaysia ketika itu dengan sebahagian besar daripadanya adalah penagih dadah.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Menurutnya, KDN akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dalam program harm reduction (pengurangan kemudaratan) melalui terapi dadah gantian methadone dan joint management (pengurusan bersama) kes-kes diagnosis berganda yang dijalankan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di Tampoi dan Hospital Permai di Johor.

Usaha perlu ditumpukan kepada mencari jalan penyelesaian menghalang bekalan dadah dengan menghapuskan pengedar dan pembekalnya serta memastikan integriti semua agensi penguat kuasa. Semoga dengan cara ini masalah penagihan dadah akan berkurang di negara kita.

* Dr Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Amalan beri subsidi tidak wajar diteruskan
  2. Masih ada ruang tambah baik Bajet 2023
  3. Yusuf al-Qaradawi tokoh pemimpin ulung Islam
  4. Polemik Pas-UMNO-Bersatu berpotensi cetus jajaran politik baharu saat akhir
  5. 'Ada 8 syor BN boleh tawarkan'