Sila log masuk terlebih dahulu.

Pengurusan dakwah yang efektif

06 Oktober 2020 07:50am | Masa membaca: 4 minit
Bulan dakwah tidak bermaksud mengehadkan tempoh berdakwah pada bulan tertentu sahaja, sebaliknya ia adalah kempen ke arah melestarikan gerakan dakwah di negara ini. Gambar hiasan.
Bulan dakwah tidak bermaksud mengehadkan tempoh berdakwah pada bulan tertentu sahaja, sebaliknya ia adalah kempen ke arah melestarikan gerakan dakwah di negara ini. Gambar hiasan.
A
A
A

YAYASAN Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) melancarkan Bulan Dakwah 2020 sebagai satu projek mega merangkumi 2,000 program dan aktiviti dakwah sehingga 30 November 2020.

Bulan dakwah ini tidak bermaksud untuk mengehadkan tempoh berdakwah pada bulan tertentu sahaja, sebaliknya ia adalah kempen ke arah melestarikan gerakan dakwah di negara ini, sekali gus merealisasikan pelan induk dakwah Yadim yang dinamakan Program Dakwah Negara.

Mengangkat tema ‘Melestarikan Gerakan Dakwah’, Bulan Dakwah 2020 bukan sahaja memetakan 2,000 program di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dalam tempoh dua bulan ini, tetapi ia juga akan diperkasakan dengan tiga agenda utama.

Agenda pertama: Menyatukan pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGO Islam) melalui kolaboratif strategik bersama Yadim dalam menggerakkan aktiviti dakwah dan amal Islami

Agenda kedua: Melatih dan mengkaderkan pendakwah serta melebarkan jaringan dan wilayah dakwahnya melalui pengisian dan kepelbagaian pendekatan serta aktiviti dakwah.

Agenda ketiga: Mencetus gelombang dakwah dan membudayakan gerak kerja dakwah dalam masyarakat kita sehingga syariat dan syiar Islam hidup subur di tanah air tercinta ini.

Bulan Dakwah 2020 juga menampilkan lima dimensi yang bakal membina pemahaman dan menarik penelitian pendakwah dan seluruh umat Islam khasnya dan rakyat Malaysia amnya terhadap prinsip dan konsep dakwah Islamiah versi Malaysia.Dimensi pertama:

Dakwah kita tidak hanya berlegar dengan skema atau trend pengupasan isu semasa yang dihadapi masyarakat semata-mata, sebaliknya kita mahu dakwah yang berjaya membentuk thaqafah (knowledge), fikrah (pemikiran) dan wa'iyah ( kesedaran) ummah.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Dimensi kedua:

Orientasi dakwah kita berpaksi pada hikmah dalam penyampaian dan pendekatan sehingga ia dapat menembusi setiap ruang serta sampai ke segenap sanubari manusia dan akhirnya berjaya meledakkan daya insaf dan sedar dalam kalangan masyarakat terhadap masu’uliyah (tanggungjawab) mereka menjadi seorang khalifah ALLAH dan akhirnya melayakkan mereka menjadi warga syurga ALLAH SWT.

Dimensi ketiga:

Operasi dakwah kita, jangan sampai unjuran dan kitarannya terkepung dalam lingkaran sempadan daerah sendiri. Sekadar dakwah yang hanya berfungsi dari pintu surau ke pintu surau yang lain dan terpenjara dalam empat penjuru dinding masjid.

Sedang sasaran (madu'u) dakwah kita diwakili pelbagai lapisan masyarakat, budaya dan agama malah juga pelbagai latar belakang politik, ekonomi dan sosial.

Demikian juga pendekatan dakwah kita tidak hanya di atas platform majlis rasmi tetapi mesra aneka situasi yang sesuai dan munasabah.

Dimensi keempat:

Realiti dakwah kita dewasa ini sedang melintasi zon kelabu iaitu zon yang sangat mengelirukan. Ada kebaikan namun diselubungi dengan pelbagai maksiat dan mungkar.

Pemikiran ummah dibodohkan dengan ideologi barat yang disandarkan kepada Islam seperti liberalisme Islam, sosialisme Islam dan lain-lain.

Peribadi mereka bercampur baur antara pelakuan yang baik dan buruk. Seperti berpuasa tetapi berbukanya dengan arak.

Lantaran itu, dakwah kita sangat peka dan sensitif dalam menghadapi suasana seperti ini.

Dimensi kelima:

Aktiviti dakwah kita akan dipastikan supaya tidak bersifat stereotype dan terikat dengan aktiviti tradisi. Saya tidak menafikan keupayaan dan keberkesanan aktiviti tradisi dalam dakwah kita seperti ceramah, kuliah dan sebagainya, tetapi wajar kita responsif dengan perkembangan semasa yang memerlukan kita lebih advance daripada pihak musuh Islam yang siang dan malam merancang untuk menghancurkan Islam.

Justeru, kita mempraktiskan apa yang dipertegaskan Almarhum Abu Hasan Ali An Nadwi dalam pendekatan dakwah iaitu integrasi antara warisan tradisi soleh dengan penemuan baharu bermanfaat.

* Nasrudin Hassan ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim). Beliau akan menyumbang rencana untuk ruangan ini setiap bulan.

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Apa kata MaraFood?
  2. Serangan di Gaza demi survival politik PM Israel?
  3. Belum ada kajian makan hidangan eksotik baik untuk kesihatan
  4. Ini kapal Ahmad Albab yang punya!
  5. Apa nasib KD Mat Kilau?