Sila log masuk terlebih dahulu.

Pengajaran buat politikus, kerajaan

12 Oktober 2020 06:50am | Masa membaca: 4 minit
Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

BARU-BARU ini, tanda pagar #MuhyiddinOut sohor di laman media sosial Twitter beberapa jam selepas perutusan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan situasi wabak Covid-19 tempoh hari.

Perdana Menteri membuat perutusan khas tersebut berikutan peningkatan kes Covid-19 yang mendadak selepas berlangsungnya Pilihan Raya Negeri Sabah pada akhir September 2020.

Antara intipati ucapan Perdana Menteri adalah pihak kerajaan tidak mengamalkan double standard dalam menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam membendung jangkitan Covid-19.

Ramai yang berasa marah dan tidak puas hati dengan apa yang dikatakan Perdana Menteri itu. Mereka merasakan bahawa terdapatnya dua darjat dalam menguatkuasakan SOP tersebut.

Menteri dan anggota pentadbiran kerajaan Persekutuan tidak dikenakan tindakan apabila mereka melanggar SOP, tetapi rakyat pula ditahan dan dihukum sekiranya SOP tidak dipatuhi.

Antara contoh yang paling ketara ialah Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali yang dilaporkan tidak menjalani kuarantin selepas pulang dari luar negara beberapa bulan lepas.

Sehingga kini, Khairuddin tidak dihadapkan di mahkamah dan hanya dikompaun untuk pelanggaran tersebut. Kemarahan dan rasa tidak puas hati rakyat bukan berpunca daripada ucapan Perdana Menteri sahaja.

Semenjak berakhirnya PRN Sabah dan meningkatnya jumlah kes baharu Covid-19, rakyat rata-rata merasakan bahawa peningkatan tersebut adalah disebabkan ahli-ahli politik yang bukan sahaja menyebabkan PRN tersebut, tetapi tidak mengikut SOP ketika berkempen.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Di samping itu, rakyat juga marah dengan apa yang mereka anggap sebagai kegagalan kerajaan untuk mengurus gelombang ketiga Covid-19 dengan baik.

Contohnya, kerajaan tidak menjadikan kuarantin 14 hari sebagai satu perkara mandatori walaupun dengan peningkatan kes.

Keputusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menangguhkan proses pendaftaran dan orientasi pelajar universiti awam pada saat-saat akhir juga telah mengundang kritikan dan kemarahan orang ramai.

Ramai mahasiswa yang terkandas atau telah membelanjakan wang untuk kembali ke universiti tetapi terkesan dengan keputusan tersebut.

Pihak kementerian pula bagaikan tidak membuat persediaan yang menyeluruh untuk membantu pelajar-pelajar yang terkesan, sehingga menyebabkan orang ramai berganding bahu untuk membantu mereka.

Semua ini adalah antara faktor yang menyumbang kepada persepsi negatif rakyat terhadap ahli politik secara amnya, dan kerajaan secara khususnya.

Oleh itu, tanda pagar seperti #MuhyiddinOut #MenteriKPTsilaletakjawatan #klusterpolitik dan #RakyatJagaRakyat menjadi sohor atau trending di media sosial. Ini semua adalah ekspresi perasaan rakyat terhadap ahli politik dan kerajaan.

Apa yang patut dibimbangkan kerajaan adalah selama ini pentadbiran Muhyiddin Yassin rata-rata diterima dengan baik oleh majoriti rakyat, walaupun kerajaan tersebut tidak mendapat mandat jelas melalui pilihan raya umum.

Bagaimanapun, persepsi itu seperti sudah berubah dengan gelombang ketiga Covid-19 yang masih dilalui negara.

Apa yang berlaku seharusnya menjadi pengajaran buat semua parti politik. Rakyat kini tidak lagi menerima bulat-bulat sahaja apa yang dilakukan kerajaan.

Rakyat sentiasa memerhati tindak tanduk ahli politik dan tidak akan teragak-agak untuk mengecam sesiapa sahaja dilihat sebagai hipokrit dan tidak mengutamakan rakyat.

Mana-mana parti politik, baik yang dalam kerajaan mahupun pembangkang yang memandang enteng perkara itu berisiko dihukum rakyat dalam pilihan raya.

* Syahredzan Johan ialah peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Persefahaman Muafakat Nasional harus diwujudkan
  2. Minyak masak ditukar dengan rokok
  3. ‘Saya buka pintu pejabat kepada orang ramai’
  4. Zaman Edan
  5. Skandal LCS ancam negara