Sila log masuk terlebih dahulu.

Melahirkan graduan berkualiti

09 November 2020 07:30am | Masa membaca: 4 minit
Sektor pendidikan dan institusi pengajian tinggi banyak memainkan peranan dalam pembangunan sesebuah bandar serta wilayah, malah jadi medan masyarakat mengembangkan ilmu pengetahuan, seterusnya memberi impak positif untuk melahirkan potensi intelek, fizikal, emosi dan rohani. - Foto 123RF
Sektor pendidikan dan institusi pengajian tinggi banyak memainkan peranan dalam pembangunan sesebuah bandar serta wilayah, malah jadi medan masyarakat mengembangkan ilmu pengetahuan, seterusnya memberi impak positif untuk melahirkan potensi intelek, fizikal, emosi dan rohani. - Foto 123RF
A
A
A

PENDIDIKAN adalah pelaburan paling penting bagi memastikan kualiti kehidupan lebih baik untuk generasi akan datang. Oleh itu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) terus menerima peruntukan terbesar iaitu sebanyak RM50.4 bilion atau 15.6 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan.

Dalam Belanjawan 2021, KPT menerima sebanyak RM14.4 bilion dengan RM11.58 bilion (perbelanjaan mengurus) dan RM2.82 bilion (perbelanjaan pembangunan). Ia menunjukkan komitmen dan keprihatinan kerajaan memperkasakan peranan KPT bagi melahirkan graduan yang berkualiti.

Sektor pendidikan dan institusi pengajian tinggi banyak memainkan peranan dalam pembangunan sesebuah bandar serta wilayah. Ia medan kepada masyarakat mengembangkan ilmu pengetahuan, seterusnya memberi impak positif untuk melahirkan potensi intelek, fizikal, emosi dan rohani.

Pengumuman Belanjawan 2021 amat dialu-alukan warga pendidikan tinggi. Peruntukan itu dapat membantu KPT dan agensi di bawah kementerian seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) melaksanakan program pembangunan pendidikan tinggi dan kebolehpasaran graduan.

Terdapat lapan inisiatif belanjawan dibentangkan dalam usaha membantu graduan dan KPT. Sebanyak RM150 juta bagi program KPT PACE iaitu graduan baharu ditawarkan baucar RM3,000 seorang untuk mengambil kursus sijil profesional. Program itu dijangka memberi manfaat kepada seramai 50,000 graduan.

Selanjutnya, untuk memastikan penuntut IPT yang mendapat pinjaman PTPTN dapat mengikuti pembelajaran secara dalam talian, kerajaan bekerjasama dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) menyediakan RM100 juta bagi pembiayaan Skim BSN MyRinggit-i COMSIS iaitu skim pinjaman komputer riba. Skim dengan kadar keuntungan serendah dua peratus setahun itu bagi memastikan tiada graduan yang tercicir ketika pandemik koronavirus (Covid-19).

Bagi terus menggalakkan ibu bapa menyimpan bagi membiayai kos pendidikan tinggi anak-anak, pelepasan cukai sehingga RM8,000 untuk simpanan bersih Skim Simpanan Pendidikan Nasional dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2022. Ia selaras dengan usaha untuk memastikan anak-anak mendapat pendidikan tinggi yang selesa dan tidak menghadapi masalah kewangan pada masa akan datang.

Selain itu, KPT juga diperuntukkan sebanyak RM50 juta untuk menaik taraf talian akses Malaysian Research and Education Network (MYREN) kepada 500Mbps hingga 10Gbps bagi memastikan kesalinghubungan internet di institut pengajian tinggi mampu menyokong keperluan semasa.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Selaras dengan pendidikan yang kondusif, pihak KPT juga diperuntukkan sebanyak RM50 juta bagi projek membaik pulih infrastruktur dan peralatan usang di universiti awam.

Bagi melahirkan graduan kedoktoran dan perubatan, sebanyak RM50 juta disediakan untuk perolehan peralatan, bekalan ujian makmal dan ubat-ubatan di Hospital Pengajar Universiti. Usaha berterusan amat perlu dilaksanakan bagi memastikan pihak universiti berusaha mencari penawar Covid-19.

Belanjawan kali ini memperuntukkan sebanyak RM29 juta untuk melaksanakan program pengajian Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di bawah KPT antaranya inisiatif pendidikan Islam dan pembelajaran sepanjang hayat kepada 15,000 pelajar di institusi tahfiz dan sekolah pondok.

Keprihatinan Belanjawan 2021 juga tercerna melalui pelepasan cukai sehingga RM8,000 bagi simpanan bersih Sijil Simpanan Pendidikan Nasional yang dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2022.

Jelas, Belanjawan 2021 berpaksikan tiga matlamat induk iaitu kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi. Sesungguhnya belanjawan itu amat bertepatan dengan usaha KPT dalam menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025.

**Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Usul tergempar sukar lulus, agenda remeh suara rakyat?
  2. Anak sulung Najib jadi calon BN di Parlimen Pekan?
  3. Bekalan cip paksa Pelosi ke Taiwan
  4. Sampah angkasa dan mata-mata di langit
  5. 'Harga nasi ayam belum turun'