Sila log masuk terlebih dahulu.

Berniaga cara baharu

18 November 2020 07:40am | Masa membaca: 4 minit
Perniagaan secara fizikal seperti membuka kedai buku pada dasarnya memerlukan modal yang lebih besar berbanding perniagaan secara virtual.
Perniagaan secara fizikal seperti membuka kedai buku pada dasarnya memerlukan modal yang lebih besar berbanding perniagaan secara virtual.
A
A
A

SEJAK kecil saya bercita-cita untuk memiliki sebuah kedai buku atau beberapa buah. Kemudian setelah semakin faham dengan dunia perbukuan, saya bercita-cita pula hendak menjadi penerbit buku. Belum tercapai yang pertama sudah ditambah cita-cita baharu.

Sehingga saya bekerjaya di beberapa tempat dalam beberapa bidang, impian itu tetap tidak padam. Demikian juga selepas saya menjadi wakil rakyat. Tetapi waktu itu saya merasakan impian itu sebenarnya sudah berada semakin jauh dari saya. Semakin sukar untuk dicapai.

Tidak hanya dengan hambatan tugas dan kesempitan masa, saya juga berada dalam lingkungan yang berbeza. Pun begitu, impian tersebut tidak pernah padam. Sekali-sekala ia muncul mengingatkan saya bahawa saya harus berusaha mencapainya.

Tetapi bagaimana? Membuka kedai buku mungkin tidak susah. Cari modal, cari lokasi yang sesuai, cari pembekal kemudian berusahalah mendapatkan pelanggan. Ya, mudah. Sekurang-kurangnya pada bunyi.

Tetapi saya juga tahu, ia tidak habis di situ. Ada banyak lagi perkara lain yang perlu dipedulikan oleh seorang pekedai; tidak kiralah kedai buku, kedai runcit, kedai alat tulis, kedai pakaian atau kedai apa sahaja. Yang paling pokok adalah pengurusannya, pekerjanya, inventorinya, logistiknya. Ya, semuanya ‘paling pokok’. Penting.

Dengan komitmen yang sedia ada, saya tidak fikir saya mampu menghadap semua itu.

Untuk menjadi penerbit lagilah payah. Modalnya lebih besar, tenaga kerjanya lebih banyak, technical know-how juga lebih mencabar. Itu dahulu.

Sekarang saya mempunyai syarikat perunding penerbitan sendiri dan yang lebih menarik saya juga mempunyai kedai buku sendiri. Bukan hanya di satu tempat, tetapi di beberapa tempat. Kedai utamanya di Shopee, cawangan-cawangannya di laman sesawang, Facebook dan Instagram. Insya-ALLAH pada masa hadapan saya bercadang membuka cawangan di Amazon, eBay dan di mana sahaja yang mungkin.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Saya sama sekali tidak bermaksud untuk bermegah-megah. Apa yang saya ceritakan ini semata-mata bertujuan untuk berkongsi pandangan tentang bagaimana teknologi terus menerus mencorakkan kehidupan kita sehingga banyak perkara yang suatu masa dahulu mustahil, kini menjadi sebaliknya.

Dalam keadaan biasa, saya tidak fikir mampu mempunyai kedai fizikal, sekurang-kurangnya buat masa ini atau beberapa tahun akan datang. Tetapi teknologi memberikan jalan pintas kepada saya, kepada kita.

Proses

Tanpa teknologi barangkali saya masih terkial-kial mencari jalan bagaimana hendak menjadi penerbit buku. Jika mengikut kaedah konvensional, prosesnya agak panjang dan meleret. Ia melibatkan banyak tenaga. Penulis, editor, typesetter, pembaca pruf, pereka letak, pereka grafik, pelukis di satu peringkat sebelum berpindah pula kepada proses membuat filem, membuat plat dan seterusnya mencetak.

Sekarang kerjanya menjadi lebih mudah. Dalam banyak kes dan tentunya dengan bantuan teknologi, semua tugas itu boleh dilakukan oleh seorang dua sahaja.

Saya juga memelihara kelulut untuk mendapatkan madunya. Jika dahulu tentu tidak mudah untuk saya memasarkan madu itu. Mungkin terpaksa bergerak dari satu pasar tani ke pasar tani yang lain, kemudian dari pasar malam ke pasar malam. Dengan komitmen terhadap tugas hakiki yang ada, bolehkah saya melakukannya?

Sukar!

Teknologi membolehkan saya melupakan masalah itu. Saya pasarkan madu kelulut itu secara online; di kedai virtual saya dan di cawangan-cawangannya.

Untuk mengendalikan kedai itu pun tidaklah. Saya tidak memerlukan bangunan fizikal dengan sewa yang mungkin menjerut perut. Tidak perlu menghabiskan wang untuk urusan pengubahsuaian. Tidak perlu sektor yang kadang-kadang lebih luas daripada kedai. Tidak perlu deretan pekerja yang kerenahnya kerap menyebabkan kita tidur tidak lena. Tidak perlu memaksa diri melirikkan senyum kerana ukuran terhadap layanan kita bukan lagi pada manisnya senyuman, tetapi pada rajinnya jari membalas mesej dan komen.

Klise

Perniagaan secara dalam talian amat besar maknanya buat saya. Bukan kerana pulangannya, tetapi kerana kehadiran perniagaan saya itu membantu menambahkan bilangan peniaga dan perniagaan bumiputera, khususnya secara. Ia sedikit sebanyak membantu mengikis tanggapan klise bahawa orang Melayu tidak suka berniaga, lebih suka makan gaji atau lebih rajin goyang kaki.

Terbukti tanggapan itu salah. Sejak perniagaan dalam talian mula muncul kita dapat melihat bagaimana orang Melayu berlumba-lumba menceburinya. Mereka datang daripada pelbagai latar belakang, lelaki dan perempuan, kecil besar, tua dan muda.

Kenyataan itu membuktikan bahawa orang Melayu tidak cenderung melibatkan diri dengan perniagaan pada masa dahulu disebabkan mereka tidak mempunyai peluang yang betul. Peluang itu ada, yang betul itu tiada.

Saya katakan begitu kerana perniagaan secara fizikal pada dasarnya memerlukan modal lebih besar berbanding perniagaan secara virtual. Kita tidak boleh membuka kedai buku secara fizikal tanpa modal atau dengan modal yang sedikit. Sudah tentulah kita akan menjadi bahan ketawa jika di atas rak kedai buku kita hanya ada tiga atau empat judul buku. Lain keadaannya di kedai atas talian. Jika di atas ‘rak’ hanya ada sebuah buku sahaja pun tiada siapa ambil kisah.

Satu lagi kekangan besar yang memperlahankan penglibatan orang Melayu dalam bidang perniagaan ialah sifat malu dan malu alahnya. Sifat-sifat ini sebenarnya bukanlah kelemahan, tetapi kelebihan. Ia warisan daripada adab dan pekerti yang dipupuk secara semula jadi dalam diri orang Melayu. Bagaimanapun dunia perniagaan yang kadangkala sama ganasnya dengan dunia politik kerap menuntut kita mengabaikan nilai-nilai itu.

Dunia perniagaan atas talian membolehkan orang-orang Melayu yang ‘pemalu’ itu mengenepikan masalah tersebut. Setidak-tidaknya mereka tidak perlu berhadapan dengan khalayak, jadi malunya berkurang. Mereka juga tidak perlu berhadapan dengan pelanggan yang mungkin meruntun keluar rasa malu alah, misalnya dalam meletakkan harga.

Saya percaya peluang yang betul ini akan melahirkan lebih ramai usahawan bumiputera pada masa hadapan. Tidak hanya usahawan di atas talian tetapi juga usahawan konvensional. Terdapat ramai peniaga dalam talian, apabila perniagaan mereka berkembang, membuka kedai-kedai fizikal yang besar dan berdaya maju.

Oleh itu perniagaan dalam talian merupakan ruang terbaik untuk mereka yang mahu menimba pengalaman berniaga. Namun pada masa yang sama kerajaan, pada pandangan saya, harus mempedulikan golongan ini. Jangan hanya tekankan pada soal lesen, fi atau kompaun. Tetapi juga pada soal didikan dan bimbingan.

Kebanyakan usahawan dalam talian bermula dan bergerak atas dasar ‘pandai-pandai’ sendiri. Mereka perlu dibantu. Didiklah mereka tentang keperluan perancangan yang betul, kepentingan fokus pada produk, sistem rekod, pengurusan kewangan dan lain-lain seumpamanya. Jangan biarkan mereka menjadi seperti orang mencari sebutir berlian di dalam belukar. Tidak mengapa jika mereka terpijak duri, yang kita khuatiri mereka sesat di belukar itu! Ini mengerikan.

* Datuk Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutuan

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. RM6 bilion diguna beli peralatan
  2. Status kapal OPV jadi tanda tanya
  3. Ribut politik akibat rumah Trump diserbu
  4. Pentingnya latihan kemahiran
  5. DAP-Amanah tidak yakin kekuatan PH