Sila log masuk terlebih dahulu.

Kemenangan Biden dan kuasa pengundi

23 November 2020 06:55am | Masa membaca: 4 minit
Joe Biden
Joe Biden
A
A
A

PEMILIHAN Presiden Amerika Syarikat kali ini dipenuhi dengan drama. Selalunya, keputusan siapa yang memenangi pemilihan Presiden akan diketahui dalam masa 24 jam selepas berakhirnya tempoh membuang undi di seluruh negara.

Kali ini, ia mengambil masa empat hari hanya untuk menentukan siapa yang akan dinobatkan sebagai Presiden Amerika Syarikat pada bulan Januari depan.

Kali terakhir drama seperti ini disaksikan adalah pada tahun 2000, di mana terdapatnya pertikaian di negeri Florida. Akhirnya, Mahkamah Agung AS telah memutuskan bahawa George W Bush telah memenangi negeri tersebut mengalahkan pencabarnya, Al Gore pada ketika itu. Dengan kemenangan Bush di Florida, Bush mendapat undi kolej elektoral yang mencukupi untuk menjadi Presiden.

Kemenangan Biden kali ini adalah signifikan kerana beliau telah mendapat undian yang paling banyak dalam sejarah AS. Walaupun wabak Covid-19 berleluasa, pilihan raya AS kali ini menyaksikan peratusan keluar mengundi yang besar.

Ramai di antara mereka yang membuang undi telah memilih untuk berbuat demikian melalui undi pos. Di AS, undi pos tidak dikhaskan untuk kategori pengundi tertentu sahaja, tetapi adalah hak untuk semua pengundi.

Kemenangan Biden juga bermakna AS bakal mendapat seorang Naib Presiden wanita buat julung kalinya. Kamala Harris adalah seorang senator etnik kacukan yang telah dipilih menjadi running mate kepada Biden.

Empat tahun lepas, apabila Trump menjadi Presiden AS, antara arahan pertama yang dilaksanakannya adalah suatu Perintah Eksekutif untuk menghalang kemasukan pelawat daripada beberapa negara majoriti Muslim. Perintah Eksekutif ini telah dibantah oleh banyak pihak sebagai suatu pencabulan hak asasi dan telah dicabar di mahkamah.

Pada ketika itu, ada yang mengatakan bahawa Trump hanya melakukan apa yang pernah dijanjikannya sebelum menjadi Presiden. Menurut hujah ini, tindakan Trump itu adalah sesuatu yang patut disambut baik kerana adanya seorang ahli politik yang mengotakan janji pilihan rayanya.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Realitinya adalah tindakan Trump tersebut adalah suatu ketidakadilan, dan adalah tidak wajar untuk memberi justifikasi kononnya Trump hanya mengotakan janjinya, dalam ‘menghalalkan’ ketidakadilan yang berlaku.

Tempoh empat tahun Trump sebagai Presiden sememangnya penuh dengan kontroversi. Pentadbiran Trump telah memecahbelahkan masyarakat Amerika dan memperkasakan ekstremisme sayap kanan dan perkauman. Trump sendiri bukanlah seorang Presiden yang jujur; pembohongan dan penipuan menjadi cap dagang pentadbirannya.

Akhirnya, Trump tumpas. Banyak penganalisis politik AS berpendapat bahawa Trump kalah disebabkan cara beliau menangani wabak Covid-19 di AS yang sehingga kini telah mencatatkan 12 juta kes Covid-19 dan lebih daripada 258,000 kematian.

Walaupun Biden menang, tetapi 47 peratus pengundi Amerika masih mengundi Trump. Cabaran Biden-Harris kini adalah untuk menyatupadukan semula AS demi menghadapi wabak Covid-19 dan ekonomi yang merudum. Dalam keadaan sekarang, ia adalah sesuatu yang tidak mudah.

Kemenangan Biden juga mengingatkan kita kepada kuasa rakyat melalui peti undi. Dalam negara demokratik, walau demagog sekalipun, boleh tumbang sekiranya ditolak rakyat.

Benarlah, suara rakyat, suara keramat.

*Syahredzan Johan ialah peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Zaid jadi peguam Najib cuma 25 hari
  2. Pas, UMNO perlu tetapkan matlamat kerjasama
  3. Punca China alami cuaca terlampau panas
  4. Jawatankuasa pilihan khas Parlimen harus pantau kementerian
  5. Lima sindiket seleweng diesel tumpas di Johor