Sila log masuk terlebih dahulu.

Lega tetapi tetap rasa risau

10 Disember 2020 06:45am | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

PADA 5 Disember 2020, saya yakin bukan saya sahaja yang menanti dengan penuh debaran pengumuman berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sama ada dilanjutkan lagi atau ditamatkan.

Sebenarnya saya memang tidak pernah mengikuti pengumuman yang dibuat secara langsung, sama ada di televisyen atau Facebook (FB) berkaitan Covid-19 atau berkaitan sekatan pergerakan tetapi kali ini saya secara tidak sengaja semasa membuka FB, terkeluar satu status pada dinding FB yang berkaitan dengan siaran langsung tersebut.

Saya terus mengikutinya tetapi setakat separuh jalan sahaja kerana tiba-tiba suara Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak dapat didengari.

Saya cuba dapatkan maklumat berkaitan di Telegram Majlis Keselamatan Negara. Apabila dapat maklumat bahawa PKPB di Selangor dilanjutkan sehingga 20 Disember 2020, saya rasa agak resah. Resah kerana membayangkan pergerakan yang tidak bebas untuk merentas daerah dan negeri.

Namun, apabila dimaklumkan bahawa tiada lagi sekatan untuk merentas daerah atau negeri kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), terasa lega sedikit walaupun pada awalnya agak terkeliru sebenarnya.

Rupanya bukan sahaja saya yang 'confuse', ramai juga yang agak terkeliru dengan pengumuman tersebut kerana dalam minda sudah disemat kemas bahawa apabila PKPB diteruskan bermakna kita tidak boleh merentas daerah dan negeri.

Alhamdulillah, terasa lega apabila mendapat kepastian bahawa merentas daerah dan negeri telah dibenarkan.

Saya lega kerana kasihan dengan ibu saya yang tersangkut di Putrajaya akibat pengumuman tentang berkuatkuasanya PKPB di Putrajaya, Selangor dan Sabah mulai 17 Oktober 2020.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Bayangkan perancangan asal untuk balik ke kampung sebelum itu terpaksa ditangguhkan.

Saya yakin semua rakyat Malaysia lega dengan pengumuman yang dibuat pada 5 Disember lalu.

Manakan tidak, mereka diberi kebebasan untuk bergerak ke sana sini. Saya juga memang rasa lega dan gembira tetapi tetap rasa risau dan bimbang.

Perasaan lega sekarang tidak sama dengan apa yang dirasai semasa diumumkan PKP ditamatkan dahulu kerana ketika itu kes baharu jangkitan Covid-19 menurun dan sampai pada satu tahap, kes baharu harian hanya satu angka.

Situasi sekarang amat jauh berbeza. Kes baharu positif Covid-19 setiap hari masih empat angka. Melihat angka itu memang merisaukan. Lagi merisaukan apabila saya membaca satu tulisan yang menyatakan jumlah jangkitan akan meningkat pada tahun hadapan.

Semoga ALLAH SWT menjauhkan kita daripada musibah tersebut dan semoga angka itu tidak meningkat pada tahun hadapan.

Disebabkan kes baharu setiap hari masih tinggi, kita sebagai rakyat Malaysia perlu mengambil iktibar daripada pengalaman lalu.

Berhati-hatilah dan sama-sama kita pastikan segala prosedur yang ditetapkan kita patuhi dan ikuti kerana jika kita semua kembali dikurung kembali, maka makin parahlah segala-galanya.

Kita tidak mahu kebebasan itu ditarik balik kerana ia akan menambah derita banyak pihak. Kita tidak mahu perintah berkurung diulang kembali kerana ramai sudah mengalami tekanan perasaan.

Hilang punca pendapatan amat menyakitkan sebenarnya. Jika masalah kewangan itu tidak segera diatasi, maka akan meningkatlah kes bunuh diri, keganasan rumah tangga, perceraian dan lain-lain lagi.

Akhir kalam, jika kita seorang yang peka dan tidak mahu peristiwa lama berulang kembali, maka berusahalah sedaya upaya untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Moga dengan kerjasama semua pihak, kes baharu positif Covid-19 dapat dikurangkan dari sehari ke sehari. Wallahuaklam.

* Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. 3 syarat nak masuk 'pinang' UMNO
  2. PBT antara lubuk rasuah
  3. Kuasa Agong perkenan 'permintaan' PM
  4. Musuh UMNO takutkan rakyat, PRU15 tahun ini macam 'cerita hantu'
  5. Ekonomi negara berisiko jadi 'overheating' jika...