Sila log masuk terlebih dahulu.

Hanyut dipintasi, tenggelam diselami

20 Disember 2020 07:35am | Masa membaca: 4 minit
Artikel bertajuk 'Melayu hanyut tunggu tenggelam' tulisan Dirwan Ahmad Idris yang disiarkan di Sinar Ahad pada 6 Disember.
Artikel bertajuk 'Melayu hanyut tunggu tenggelam' tulisan Dirwan Ahmad Idris yang disiarkan di Sinar Ahad pada 6 Disember.
A
A
A

HIDUP berakal,

mati beriman,

Itulah fatwa yang

patut dipegang;

Hanyut dipintas

tenggelam diselam,

AKAR dan AKAL janganlah hilang.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Sahabat lama saya, Datuk Dr Chamil Wariya mengirimkan satu pesanan WhatsApps beberapa hari yang lalu bertanyakan pendapat saya tentang satu artikel dalam akhbar Sinar Ahad (6 Disember 2020). Artikel itu mempunyai judul yang agak provokatif ‘Melayu hanyut tunggu tenggelam’ ditulis oleh seorang sahabat yang lain, Dirwan Ahmad Idris.

Serta-merta judul artikel Dirwan dan soalan Dr Chamil itu mengingatkan saya akan dua perkara berkaitan. Pertama saya teringat satu ucapan Tan Sri Dr Rais Yatim yang disampaikannya di Kota Bharu, Kelantan pada 3 Januari 1993 bertajuk ‘Hidup Melayu’.

Tan Sri Rais dalam ucapannya itu merujuk kembali satu ungkapan lama “Tidakkan Melayu hilang di dunia”. Seterusnya dengan nada penuh sindiran beliau melanjutkan “...tetapi Melayu boleh hilang melalui salah kuasa: hilang budi bahasa, hilang adab sopan, hilang (terhakis) kuasa politik, hilang tanah simpanan Melayu, hilang kesedaran sejarah, hilang harga diri sebagai satu bangsa bertamadun...”

Kedua, selain daripada sedutan ucapan Tan Sri Rais itu, saya teringat pula satu perbualan dengan Datuk Chamil kira-kira 30 tahun yang lalu. Waktu itu kami menghadiri Kongres Cendekiawan Melayu anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Kami berbual mengenai pelbagai perkara berkaitan ‘kecendekiawanan’ dan pelbagai masalah yang dihadapi ‘bangsa Melayu’. Maka terucaplah satu ungkapan yang berbunyi: “Berakar nasional, berakal internasional”.

Kami mencadangkan supaya pengajaran yang terkandung dalam ungkapan itu dijadikan pedoman dan huraiannya disebarluaskan agar difahami dan dihayati oleh masyarakat Melayu di pelbagai peringkat.

Bimbang

Petikan ucapan Tan Sri Rais di Kota Bharu dan inti perbualan saya dengan Datuk Chamil lebih 30 tahun yang lalu, teringat kembali bila membaca artikel Dirwan dalam Sinar Ahad.

Keprihatinan Dirwan mengenai ‘Melayu yang sedang hanyut dan akan tenggelam itu’ sudah lama dibimbangkan oleh bangsa Melayu seperti digambarkan oleh petikan ucapan Tan Sri Rais yang dipetik di atas. Berbagai analisis dan pendapat serta saranan telah dikemukakan untuk mengatasinya sesuai dengan pengajaran satu pepatah Minangkabau yang berbunyi “yang hanyut dipintasi, yang tenggelam diselami.”

Usaha-usaha ‘memintasi yang hanyut’ dan ‘menyelami (mencari) yang tenggelam’ telah dilakukan dengan berbagai-bagai cara melalui lisan dan tulisan termasuk seminar dan simposium serta kongres dan rapat umum. Termasuk juga tulisan-tulisan akademik dan karya-karya kreatif serta kewartawanan. Kesan atau hasil daripada pelbagai usaha tersebut memang sukar untuk diukur dengan tepat. Ada yang menggembirakan tetapi banyak pula yang mengecewakan dan menimbulkan keprihatinan.

Tulisan Dirwan yang jadi pokok perbincangan di sini, pada pendapat saya lebih bersifat pernyataan ‘prihatin’ yang sekali gus menyalahkan pihak kegitan (penjajah atau orang asing). Beliau juga menyalahkan ketempangan sistem pendidikan di negara-negara berasaskan Melayu yang terlalu mementingkan sains dan matematik, serta mengabaikan komponen-komponen sains sosial hingga melunturkan nilai-nilai kemanusiaan.

Antara akibat semuanya itu, menurut Dirwan, Melayu telah kehilangan ‘jati diri’. Kehilangan ‘jati diri’ dalam kalangan bangsa Melayu ini, menurut Dirwan memang sudah dirancang oleh kuasa-kuasa Barat semenjak zaman penjajahan lagi. Dan usaha-usaha ‘menghilangkan jati diri’ bangsa Melayu itu dilanjutkan dengan langkah atau strategi-strategi tambahan oleh kuasa-kuasa asing setelah negara-negara berbasis Melayu itu mencapai kemerdekaan.

Inilah yang menyebabkan mereka ‘hanyut dan lama-kelamaan akan tenggelam’.

Narasi Dirwan lebih tertumpu kepada dua unsur utama: pertama persepsinya tentang keadaan Melayu yang merunsingkan dan memprihatinkan (yang sedang ‘hanyut’ dan akan ‘tenggelam’); kedua, sebab musabab berlakunya keadaan yang demikian. Tetapi saya tidak pasti sekiranya Dirwan mencadangkan cara-cara penyelesaian atau langkah-langkah lain yang patut diteroka.

Saya mengharapkan beliau turut membincangkan langkah-langkah penyelesaian, sama ada dengan ‘mengulang-ulang carito lamo’ dan lebih dialu-alukan lagi jika Dirwan turut mengemukakan saranan-saranan baru.

Rujukan

Rujukan terhadap karya Huntington, Chomsky, Binnet, Thompson dan Kundera seperti terdapat dalam artikel Dirwan itu perlu dikembangkan melangkaui judul-judul buku hasil tulisan mereka. Tidak banyak munafaatnya dengan sekadar menderetkan nama-nama pengarang terkenal itu. Alangkah baik jika kita dapat menggugah dan mempersoalkan pendapat dan pandangan orang asing (Barat atau Timur) yang dianggap mungkin merugikan kita itu.

Pandangan atau huraian penulis-penulis berkenaan dalam karya masing-masing yang berkaitan dengan pelbagai masalah Melayu (termasuk ‘hanyut' dan ‘tenggelam’) perlu diketahui dan dianalisis secara lebih mendalam. Selanjutnya dikaji dan difikirkan langkah-langkah yang patut dilaksanakan oleh bangsa Melayu pada peringkat makro dan mikro yang melibatkan pelbagai pihak termasuk masyarakat awam dan pihak pemerintah serta swasta.

Seperti disentuh di atas, kita menyedari bahawa bangsa Melayu itu mengalami banyak masalah, dan Dirwan membayangkan atau merumuskan masalah Melayu itu dengan menggunakan istilah dan ungkapan ‘hanyut’, ‘tenggelam’ dan ‘kehilangan jati diri’. Sayang sedikit Dirwan lebih banyak menyentuh punca masalah dan amat sedikit membincangkan kaedah penyelesaian yang patut diteroka.

Namun, istilah dan ungkapan yang dirujuk Dirwan telah memberi saya ilham untuk menggubal serangkap pantun sebagai tertera di permulaan artikel ini. Maksud yang tersirat di sebalik baris-baris pantun itu diharap akan dapat dikembangkan lagi demi mencari penyelesaian terhadap masalah yang dikemukakan.

Kandungan pantun tersebut menyarankan supaya kita memanfaatkan kebijaksanaan nenek moyang yang kita warisi dan dicantumkan dengan pengetahuan moden yang kita pelajari.

Yang pasti, pada pandangan saya, penyelesaiannya tidaklah mudah sebaliknya memerlukan pelbagai peringkat dan pelbagai pendekatan. Dan yang lebih penting ialah pendekatan yang lebih sistematik, terstruktur dan menyeluruh. Pendekatan yang pesimistik lebih baik dielakkan kecuali untuk sekadar membangkitkan kesedaran dan keinsafan.

Bagaimana kalau bangsa Melayu melancarkan kembali gerakan Revolusi Mental seiring dengan Revolusi Morak yang dilancarkan oleh Habib Riziq dan umat Islam di Indonesia. Jangan lupa juga pesan pepatah Minangkabau: ‘Yang hanyut dipintasi, yang tenggelam diselami’.

* Datuk Dr Firdaus Abdullah ialah bekas Ahli Dewan Negara dan mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Biden terlanjur kata dasar luar Amerika
  2. Pendedahan partisipasi politik belia
  3. Bazir duit dan masa atas jalan
  4. Kura-kura eksotik sampai RM2,000
  5. Padi IS21 tangani ancaman kebuluran