Sila log masuk terlebih dahulu.

Tahun 2020 yang mencabar

04 Januari 2021 07:05am | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

TAHUN 2020 akhirnya melabuhkan tirainya. Tahun yang begitu mencabar untuk ramai orang dengan Covid-19 yang melanda negara dan dunia.

Setakat hari terakhir 2020, negara mencatatkan jumlah kes Covid-19 melebihi 100,000 kes dengan lebih 400 kematian sejak kes pertama dilaporkan pada awal tahun 2020.

Hari terakhir 2020 juga menyaksikan kes baharu harian paling tinggi dengan seramai 2,525 individu dijangkiti Covid-19.

Pandemik Covid-19 telah memberi impak yang begitu besar kepada ekonomi negara. Ramai yang pendapatannya terjejas akibat wabak tersebut dan ramai juga yang hilang pekerjaan.

Mereka terpaksa bergantung kepada bantuan kerajaan yang tidak seberapa, selain ada yang terpaksa mengeluarkan wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Nampaknya situasi berkenaan akan terus berpanjangan sehinggalah vaksin Covid-19 dibawa masuk ke Malaysia yang paling awal dijangkakan pada bulan Februari 2021.

Selain penangan Covid-19 dan ekonomi, tahun 2020 juga menyaksikan situasi politik negara yang sentiasa bergolak. Kita sudah tentu masih ingat minggu terakhir bulan Februari selepas Langkah Sheraton menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Akhirnya, Perdana Menteri baharu telah dilantik yang pada hemat Yang di-Pertuan Agong telah mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Langkah Sheraton juga telah mengakibatkan perubahan di beberapa negeri. Kerajaan di Johor, Melaka dan Kedah telah digantikan dengan kerajaan-kerajaan baharu, manakala di Perak, kerajaan negeri berubah sebanyak dua kali.

Pertama kali dengan Menteri Besar yang sama dan beberapa bulan yang lalu dengan Menteri Besar yang baharu.

Di Sabah, percubaan untuk menukar kerajaan negeri telah mengakibatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) berlangsung dan diakhiri dengan kerajaan negeri yang baharu.

Sepanjang tahun 2020, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dihantui dengan dakwaan bahawa beliau tidak mempunyai majoriti kukuh dan sentiasa berhadapan ancaman runtuhnya kerajaan Persekutuan daripada sekutu politiknya sendiri.

Negara juga berhadapan dengan kemungkinan darurat diisytiharkan di seluruh Malaysia. Darurat tersebut hanya dapat dielakkan dengan kebijaksanaan Raja-Raja Melayu yang menolak keperluan supaya Yang di-Pertuan Agong membuat proklamasi darurat.

Tahun 2020 adalah tahun yang dipenuhi dengan pergelutan dan persengketaan politik. Nampaknya gaya trend itu akan diteruskan pada tahun 2021.

Ada kemungkinan besar Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan pada tahun ini, selain Pilihan Raya Negeri Sarawak yang harus diadakan pada tahun ini juga. Ketidaktentuan politik nampaknya akan berpanjangan.

Namun, di sebalik pergolakan, kegawatan dan pandemik Covid-19, rakyat Malaysia telah membuktikan bahawa mereka terus kental.

Dengan slogan #KitaJagaKita dan #RakyatJagaRakyat, rakyat Malaysia tidak berputus asa dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

Dari tahun 2018 sehingga 2020, terdapat dua perubahan tampuk pemerintahan pada peringkat Persekutuan tetapi rakyat Malaysia kekal tenang, tiada rusuhan dan tiada kekacauan besar yang berlaku akibat ketidaktentuan politik.

Mungkin itulah bukti bahawa rakyat Malaysia semakin matang. Walau apapun yang bakal berlaku pada tahun 2021, kita perlu teruskan kehidupan kita dengan sebaik-baiknya.

* Syahredzan Johan ialah peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Zaid jadi peguam Najib cuma 25 hari
  2. Pas, UMNO perlu tetapkan matlamat kerjasama
  3. Punca China alami cuaca terlampau panas
  4. Jawatankuasa pilihan khas Parlimen harus pantau kementerian
  5. Lima sindiket seleweng diesel tumpas di Johor