Sila log masuk terlebih dahulu.

Optimis tetapi harus berhati-hati

06 Januari 2021 06:50am | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

RATA-rata mahukan ‘cabaran’ tahun 2020 ini tamat dan berharap tahun 2021 yang akan tiba tidak lama lagi adalah satu permulaan yang baik.

Maklumlah, tahun 2020 ini telah dianggap sebagai tahun penuh cabaran bagi Malaysia baik dari segi politik, ekonomi mahupun sosial.

Rakyat terpaksa menghadapi pandemik Covid-19 yang mengancam nyawa. Sehingga 18 Disember 2020, negara mencatatkan sebanyak 90,816 kes positif Covid dan 432 kematian. Pandemik ini menyebabkan aktiviti negara terhenti. Ramai kehilangan pekerjaan dan mata pencarian, perniagaan ditutup dan berlaku gangguan kepada rantaian nilai global (global value chain).

Kesemua ini boleh menyebabkan isu-isu sosial seperti keruntuhan rumah tangga, jenayah, kemurungan (depression) dan lain-lain, sekiranya tidak diselesaikan sebaiknya.

Maka sebab itulah tahun 2021 menjadi harapan rakyat sebagai tahun pemulihan. Rakyat mahu kembali bekerja, rakyat mahu ekonomi dibuka sepenuhnya dengan segera atau sekurang-kurangnya lebih selesa dan tenang.

Pun begitu, kita harus jujur dalam memaklumkan kepada rakyat bahawa Belanjawan 2021 dan pemulihan ekonomi negara tidak semudah dan sepantas yang dijangkakan.

Menurut esei bertajuk The Pandemic Depression tulisan bersama Ketua Ekonomis di Bank Dunia, Carmen Reinhart dan Vincent Reinhart Ketua Ekonomis di Mellon, terdapat tiga indikator yang mencadangkan pemulihan ekonomi amat perlahan jika dibandingkan dengan krisis-krisis ekonomi sebelum ini.

Indikator pertama adalah eksport. Apabila pandemik meletus, lantas menyebabkan sempadan ditutup dan kawalan pergerakan dilaksanakan, permintaan global akan menjunam. Malaysia selaku negara perdagangan berteraskan eksport sudah pasti menghadapi kesan yang lebih teruk. Ini juga bertepatan dengan jangkaan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) bahawa perdagangan dunia tahun 2020 akan menjunam antara 13 hingga 32 peratus dan berisiko menjadi tahun terburuk bagi globalisasi sejak tahun 1930.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Indikator kedua adalah pengangguran. Usaha-usaha mengawal pandemik ini menyebabkan landskap ekonomi pasaran moden dunia berubah. Pengurangan permintaan global juga menyebabkan pemilik perniagaan terpaksa mengecil atau memberhentikan operasi perniagaan. Pekerja terpaksa diberhentikan dan dikhuatiri ‘tidak boleh᾿ kembali ke pasaran kerana ianya telah berubah.

Pandemik ini memaksa pasaran beroperasi dalam keadaan norma baharu. Ini mencetuskan kebergantungan tinggi kepada teknologi komunikasi, internet, automasi dan robotik. Jumlah yang terkesan ini ramai dan kebanyakan aktiviti tugasan mereka berisiko digantikan atau dikurangkan dengan teknologi.

Indikator ketiga adalah impak pandemik ini berbeza kepada sesebuah negara dan antara negara.

Dahsyatnya pandemik ini menyebabkan negara kaya seperti AS juga tidak mampu menyelamatkan ramai pekerja yang dibuang kerja oleh majikan mereka yang majoritinya adalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor perkhidmatan.

Bagaimana pula negara membangun dan miskin yang sistem keselamatan sosialnya masih belum matang atau tiada langsung? Sudah pasti kesannya lebih menakutkan lebih-lebih lagi mereka yang berpendapatan rendah. Golongan ini akan menghadapi kesukaran mendapatkan makanan untuk diri dan keluarga.

Tuntas, penggubal polisi dan dasar awam negara haruslah maklum akan cabaran-cabaran ini di dalam tawaran mereka kepada rakyat. Tidak salah untuk berhati-hati kerana kita juga diajar‘sediakan payung sebelum hujan᾿ sebelum terlambat atau terlanjur kelak.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Lebih mudah berambut pendek
  2. Peguam enggan berhujah, Najib mungkin dijatuhi hukuman Selasa?
  3. Tembelang Presiden Ukraine terbongkar
  4. Fahami perubahan budaya politik
  5. Bercerita tentang adil