Sila log masuk terlebih dahulu.

Apa kata semua ambil cuti politik

10 Januari 2021 07:05am | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

DALAM keadaan Covid-19 semakin menular, cadangan mengadakan pilihan raya umum (PRU) bagi mengatasi kemelut politik adalah tidak wajar.

Tidak kira sehebat mana kita menghayati demokrasi dan betapa kusut sekalipun pemerintahan negara, namun mendedahkan lebih ramai rakyat kepada pandemik itu adalah tidak bertanggungjawab.

Apatah lagi, antara alasan mahukan PRU diadakan segera mempunyai motif peribadi iaitu menyelamatkan diri daripada tindakan mahkamah atas pelbagai tuduhan jenayah, khususnya rasuah.

Ahli Parlimen UMNO/Barisan Nasional (BN) Pontian, Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan misalnya, mahu PRU diadakan segera kerana tidak puas hati dengan kerajaan PN yang meneruskan perbicaraan terhadap beliau dan rakan-rakannya daripada UMNO.

Alasan Ahmad adalah kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sewajarnya telah membatalkan kes-kes yang dimulakan ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Hujah Ahmad itu disifatkan sebagai kelas 'pisang goreng’ oleh rakan seperjuangannya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang merupakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Ahmad dan pemimpin UMNO lain, khususnya yang sedang menghadapi perbicaraan amat yakin UMNO dan gabungannya akan menang jika PRU diadakan dan dengan itu semua kes mahkamah membabitkan mereka digugurkan.

Soalnya, adakah kita tiada pilihan lain kecuali mengadakan PRU, sekali gus akan mengenakan sumpahan maut ke atas negara dan rakyat dengan membuka ruang kepada penularan Covid-19 seluas-luasnya?

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Jika kita lihat kepada gambaran sekarang, keadaan memang rumit dan berkecamuk. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, beliau tidak percaya lagi kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar pun berkata lebih kurang sama mengenai Dr Mahathir. Begitu juga terhadap Muhyiddin. Ada yang percaya sangat-sangat dan ada yang tidak percaya langsung.

Sekarang keadaan Dr Mahathir dan kumpulannya lebih sukar kerana Muhyiddin telah menafikan pendaftaran parti beliau, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Muhyiddin turut menafikan pendaftaran parti Muda tajaan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Namun, Muhyiddin dan kerajaan PN belum boleh tidur nyenyak. Pejuang dan Muda sudah pun mencapai status parti politik de facto yang mempunyai pengikut sendiri termasuk yang dahulunya menganggotai Bersatu.

Orang paling hampir dengan jawatan Perdana Menteri ialah Anwar. Dalam kenyataan terbaharunya, Anwar berkata, rancangan mengambil alih kerajaan sebelum PRU akan datang masih berjalan.

Dengan latar belakang itu, saya terfikir untuk mencadangkan agar kita 'ambil cuti daripada politik’. Dalam erti kata lain, kita gantung politik kepartian (partisan politics) buat sementara waktu.

Apa kata kita tidak lantik ahli politik untuk jadi Perdana Menteri sehingga PRU baharu dapat diadakan? Sebaliknya kita lantik, misalnya seorang bekas Hakim Mahkamah Persekutuan untuk jadi Perdana Menteri Interim.

Kabinet boleh terdiri daripada gabungan ahli politik, pesara kanan perkhidmatan awam, ahli akademik, pemimpin masyarakat dan aktivis badan bukan kerajaan.

Mungkin cadangan itu tidak masuk akal tetapi situasi kita sekarang pun banyak yang tidak masuk akal sehingga makin kerap kita mendengar orang bertanya, siapa yang sebenarnya memerintah dan mentadbir negara sekarang?

Ekonomi kita juga semakin kalah dalam persaingan dengan negara-negara jiran, khususnya Indonesia, yang selama ini dipandang rendah.

Semakin banyak pelabur antarabangsa meninggalkan Malaysia untuk ke Indonesia, Vietnam dan Thailand, namun Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Menteri Ekonomi dan Menteri Kewangan nampak macam relaks sahaja. Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Musuh UMNO takutkan rakyat, PRU15 tahun ini macam 'cerita hantu'
  2. Ekonomi negara berisiko jadi 'overheating' jika...
  3. Mahasiswa mahu jaminan kerja, gaji lebih baik
  4. Penuhi tuntutan rakyat
  5. Pertimbangan Agong mungkin ambil kira jaminan sokongan majoriti PM