Sila log masuk terlebih dahulu.

Dakwah terus cergas depani cabaran

19 Januari 2021 06:50am | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

TIADA apa yang boleh menghalang arus perkembangan dakwah Islam. Ia bagaikan air yang turun dari gunung.

Jika ada halangan di bahagian hadapan, nescaya ia akan menyimpang ke sebelah kanan. Kiranya dihalang pula pada bahagian kanan, ia menyimpang ke bahagian kiri.

Andainya di bahagian kiri turut dihalang, ia akan melimpah ke ruangan atas.

Tutup pula ruangan atas, ia akan menyerap ke bahagian bawah. Kalau di bahagian bawah juga ditutup, maka air itu akan berkumpul memenuhi segenap ruang terhalang dan akhirnya menjadi satu tekanan luar biasa yang akan meruntuhkan semua halangan tersebut.

Persis sifat air deras yang turun dari gunung, demikianlah dakwah Islamiah yang bergerak sejak zaman nabi-nabi alaihimussolatuwassalam.

Menunjang matlamat utama gerakan dakwah sepanjang zaman iaitu menyeru umat manusia agar mengabdikan diri kepada ALLAH SWT, maka sejak hari pertama seruan itu berkumandang di atas bumi ALLAH, ia tidak pernah berjaya disekat dan dihalang sehinggalah pada hari ini.

Dakwah Islamiah terlatih untuk melalui pelbagai situasi dan terjamin bahawa ia sentiasa dapat meloloskan diri melepasi apa jua bentuk halangan, rintangan dan cabaran zaman.

Hari ini kita diuji dengan pandemik Covid-19. Saat saya menulis artikel ini, ia telah berlarutan hampir setahun.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Perhimpunan tidak dibenarkan. Majlis ilmu terpaksa ditangguh. Lantas timbul kerisauan apakah Islam akan terus malap?

Saya sangat yakin bahawa pejuang Islam tidak akan tinggal diam dan pendakwah tidak akan mati akal untuk mencari jalan bagi meneruskan panji perjuangan Islam dan menyebarkan risalah tauhid di muka bumi ini.

Sementelah ALLAH SWT telah menjanjikan bahawa Islam ini terus berkembang tanpa ada hari berhentinya.

Hadis yang dibawa daripada Tamim al-Dari, sabda Nabi SAW: “Akan sampai urusan ini (agama Islam) ke setiap tempat yang sampai padanya malam dan siang. Dan ALLAH tidak akan membiarkan walau sebuah rumah di bandar dan perkampungan mahupun di pedalaman melainkan akan dimasukkan-Nya agama ini melalui kemuliaan orang yang mulia atau kehinaan orang yang hina.

Dengan kemuliaan ALLAH memuliakan Islam dan dengan kehinaan ALLAH menghina kekufuran.” Riwayat Imam Ahmad, At Tabarani dan Al Baihaqi. Hadis ini disahihkan oleh Al Hakim dan Syeikh Albaani.

Cepat berkembang

Saya pernah terbaca laporan daripada pusat penyelidikan dan pemikir yang berpusat di Washington iaitu PEW Research Center yang turut mengakui bahawa Islam adalah agama paling cepat berkembang di dunia.

Mereka turut menjangkakan pada 2070, Islam menjadi agama terbesar atau penganut paling ramai di dunia.

Tidak sukar untuk menjangkakan perkembangan itu pada zaman teknologi maklumat serba canggih.

Teknologi ini satu daripada pertolongan ALLAH SWT untuk membawa agamanya ke seluruh penjuru alam.

Kini banyak medium alternatif diguna pendakwah khasnya dengan memanfaatkan ‘pentas online᾿ untuk menyebarkan ilmu.

Begitulah ALLAH SWT menghadirkan pertolongan-Nya. Setiasa ada platform alternatif bagi merealisasikan ajaran Islam dan menyebarkannya.Bukan hanya cabaran pandemik, bahkan apa jua kekangan kepada Islam, Insya-ALLAH ada jalan keluar.

Sebagai contoh apabila tular seorang artis bernama Mia Sara tidak diterima berlakon kerana ketegasan beliau untuk kekal memakai tudung (hijab). Saya percaya akan ada produksi lain yang sedia menerima Mia Sara.

Nurflix sebagai produksi ‘Sopan Stream᾿ juga boleh melamar Mia Sara untuk terus mengembangkan bakat seninya tanpa perlu derhaka kepada ALLAH SWT.

TV Alhijrah pula boleh main peranan menjadi panggung patuh syariat dengan memberi ruang penyiaran dan penayangan filem atau drama bersiri yang menepati piawaian patuh syariah.

* Nasrudin Hassan ialah Pengerusi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Apa kata MaraFood?
  2. Serangan di Gaza demi survival politik PM Israel?
  3. Belum ada kajian makan hidangan eksotik baik untuk kesihatan
  4. Ini kapal Ahmad Albab yang punya!
  5. Apa nasib KD Mat Kilau?