Sila log masuk terlebih dahulu.

Calon PRU15 bebas skandal

07 Mac 2021 08:00am | Masa membaca: 4 minit
RAFIDAH. Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR
RAFIDAH. Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Tokoh politik veteran, Tan Sri Rafidah Aziz menggesa mana-mana pemimpin politik yang terpalit dalam kes rasuah atau sedang dibicarakan di mahkamah supaya mengundurkan diri secara sukarela daripada terus menawarkan diri sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Menurut beliau, ini adalah soal integriti yang tidak harus dipandang ringan oleh sesiapa pun.

“Kalau orang yang ada keinsafan, ada etika... sentuh sahaja mahkamah, dia tidak akan bertanding lagi.

“Tetapi apa yang berlaku ialah tidak kira banyak mana kes mahkamah, tapi kalau tebal kulit, dia bertandinglah.

“(Masalahnya) Ada pula kawan-kawan yang menghalalkan apa yang dia buat. Di Jepun, kalau terlibat dalam apa juga kes (skandal), mereka akan letak jawatan terlebih dahulu.“Jadi ini semua ada kena-mengena dengan budaya diri. Kalau apa yang kita buat itu adalah rasuah dan sebagainya, undur sahajalah.

“Beri peluang kepada anak-anak muda untuk ambil alih. Jangan kita pula ada dekat situ (bertanding),” katanya kepada Sinar Ahad selepas menghadiri program rakaman bual bicara ‘Mak Kata Jangan’ di Kumpulan Karangkraf di sini pada Sabtu.

Rafidah (kanan) ketika menjadi tetamu jemputan dalam program bual bicara 'Mak Kata Jangan' yang dihoskan Dang Suria Zainuddin di Kumpulan Karangkraf pada Sabtu. - Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR
Rafidah (kanan) ketika menjadi tetamu jemputan dalam program bual bicara 'Mak Kata Jangan' yang dihoskan Dang Suria Zainuddin di Kumpulan Karangkraf pada Sabtu. - Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada pemimpin yang masih dibicarakan di mahkamah wajar dipilih menjadi calon bertanding pada PRU15 nanti.

Mengulas mengenai tindakan UMNO memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, beliau tidak kisah mengenainya.Tegasnya, perkara yang lebih penting adalah siapa yang dapat mentadbir negara dengan lebih baik pada masa akan datang.

“Bagi saya dia (UMNO) putus hubungan atau hendak sambung hubungan (dengan Bersatu), saya tak kisah. “Asalkan yang naik esok sekumpulan orang yang boleh diharapkan dapat mentadbir dengan sebaik mungkin untuk kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Menurut Rafidah, individu yang bakal mentadbir negara juga perlu ‘bersih’.

“Elak daripada terjebak dengan kerja-kerja yang menyalahi undang-undang,” kata beliau.

Ditanya sama ada keputusan UMNO itu akan dapat mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO pada PRU15 nanti, Rafidah berkata, beliau tidak mahu membuat sebarang telahan.

“Saya tak nak tahu dan tak nak menelah. Saya tak nak merunsingkan diri dengan apa yang berlaku sekarang. Terpulang kepada mereka.

“Kalau nak baik, buat baik. Kalau nak hancur, hancurlah diri kerana tanpa mereka negara ini akan tetap hidup. Akan ada orang baru yang mungkin akan tubuh parti baru atau masuk parti lain.

“Bagi saya UMNO ke apa ke, yang mustahak orang di dalamnya,” tegas beliau.

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Membesar dengan minyak masak subsidi dari Malaysia
  2. Di bawah jagaan gengster?
  3. Arab Saudi, UAE dengar rintihan rakyat jelata
  4. Mat Kilau dan pemimpin Melayu
  5. Gempurlah hebat mana pun!