Sila log masuk terlebih dahulu.

Beruntung jika pernah susah

13 Mac 2021 07:20am | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

SEJUJURNYA, apabila saya membaca atau mendengar kisah hidup seseorang, saya akan lebih teruja dan menerima impak yang besar sekiranya mengetahui kesusahan hidup mereka sebelum mengecapi kejayaan.

Oleh itu, buku-buku serta segala bahan bacaan mereka yang berjaya menangani kesusahan termasuklah cendekiawan, hartawan, ahli sukan, pengembaraan dan pelbagai latar cerita menjadi bahan bacaan yang utama kepada saya. Persoalannya, bagaimana impak kesusahan itu menjadi pencetus kejayaan seseorang?

Baru-baru ini, sewaktu saya sedang merebus biji nangka untuk dimakan, isteri saya tersenyum dan tergelak kecil kepada saya.

Apabila saya bertanya, “Kenapa awak tergelakkan saya?” Beliau membalas, “Itu makanan orang dulu-dulu sebab tiada banyak makanan ketika itu.”

Namun, saya membalas balik, “Itulah untungnya jika kita pernah susah kerana menghargai semua perkara walaupun kecil nilainya.

Jika biji nangka itu tidak direbus, maka kita akan membuangnya begitu sahaja.”

Serentak dengan itu, beliau berkata, “Tak apalah, makanlah biji nangka itu, sekurang-kurangnya nostalgia semasa kecil dahulu mendamaikan hati awak.

”Sebetulnya, impak semasa kita susah dahulu amat besar sekiranya bersyukur dengan nikmat yang diperoleh hari ini.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Bagi yang bersyukur dengan kesenangan hidup hari ini mendorong kita untuk tidak merendahkan orang lain yang pernah susah seperti kita dahulu.

Selain itu, dengan kesenangan hidup sekarang, kita akan mendidik anak-anak kita supaya bersikap rendah diri, menjaga adab serta berterusan mensyukuri nikmat ALLAH walaupun tidak pernah merasai kesusahan hidup seperti kita sebelum ini.

Namun, tidak semua yang bersikap sebegitu. Malah, kadang-kala hinanya pandangan mereka kepada golongan yang susah bagaikan mereka sendiri tidak pernah mengakui kehidupan susah sebelum ini.

Selain itu, mereka amat membenci kesusahan hidup yang dilalui selama ini dan berikrar untuk tidak kembali semula ke zaman tersebut.

Lantaran itu, anak-anak mereka diajar untuk berusaha menjadi kaya dan hidup senang.

Malah anak-anak juga diajar membenci kesusahan. Akhirnya, anak-anak akan terdorong menghalalkan cara bagi memenuhi kelestarian hidup yang kaya dan senang.

Pada hemat saya, kegagalan kita melihat kehidupan ini secara menyeluruh menyebabkan kita menyempitkan pandangan hidup.

Berbicara hal ini, saya begitu tertarik dengan kupasan Pak Hamka menerusi bukunya, Pandangan Hidup Muslim.

Menurut beliau, “Alangkah murahnya hidup ini kalau hanya semata-mata terbatas kepada kebendaan. Apalah harganya manusia ini kalau fikirannya hanya tertuju kepada nasi dan gulai, roti dan garam. Tak pernah matanya singgah kepada bunga yang sedang mekar atau bintang berkelip di halaman langit. Alangkah miskin hidup ini kalau mata terkembang, tapi tak melihat. Telinga terdandang, tapi tak mendengar. Alangkah payahnya menggesek rebab di telinga kerbau.”

Ini bermakna, kita perlu melihat kesusahan itu dalam perspektif yang indah.

Justeru, sekalipun kita berada dalam keadaan susah atau senang, kita perlu sentiasa mencabar diri kita kerana amat baik untuk kesihatan mental dan kesejahteraan diri.

Sesungguhnya mencabar diri sendiri membolehkan kita merobek segala halangan dan rintangan yang melemahkankan kita.

Akhirnya, tingkat keyakinan kepada diri akan semakin tinggi setelah kita berjaya mengharungi cabaran tersebut. Bersyukurlah sewaktu susah dan senang.

Sebetulnya, impak semasa kita susah dahulu amat besar sekiranya bersyukur dengan nikmat yang diperoleh hari ini.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Cari penyelesaian atasi peningkatan kos sara hidup
  2. Adakah kejutan dalam kabinet Anwar?
  3. [VIDEO] 'Masih ada tempat tiada telur'
  4. Nak dapat sepapan telur pun susah
  5. Berhentilah menjadi tukang karut