Sila log masuk terlebih dahulu.

Kemelut yang berulang

21 Mac 2021 08:10am | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

KEMELUT penggunaan kalimah ALLAH muncul kembali dengan penghakiman Mahkamah Tinggi baru-baru ini dalam kes Jill Ireland. Keputusan kes Jill Ireland pula didahului dengan beberapa kes lain yang juga mengejutkan umat Islam seperti kes Rosliza Ibrahim dan perisytiharan tidak sah Seksyen 28 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Selangor berkaitan kesalahan persetubuhan luar tabii. Umat Islam diibarat sudah jatuh ditimpa tangga.

Berbalik kepada isu kes kalimah ALLAH, dahulu kes mahkamah ini bermula dengan semakan kehakiman dipohon oleh pihak Titular Roman Catholic Arcbishop of Kuala Lumppur mempertikaikan keputusan Menteri Dalam Negeri melarang mereka menggunakan kalimah-kalimah tertentu termasuk kalimah ALLAH dalam penerbitan bahasa Melayu berkala mereka. Kalimah-kalimah seperti ALLAH, baitullah, solat, Kaabah, iman dan lain-lain digunakan bukan bagi merujuk kepada istilah yang difahami orang Islam tetapi bagi merujuk istilah agama mereka.

Namun, di hadapan mahkamah sebenarnya terdapat beberapa kes lain yang telah difailkan mirip kes Titular Roman Catholic Archbishop of Kua-la Lumpur tersebut mempertikaikan larangan penggunaan kalimah yang berakar umbi kepada Islam bagi diguna oleh agama lain merujuk agama mereka.

Nampaknya kemelut kalimah ALLAH masih belum dapat diselesaikan dengan tuntas sekiranya pihak bukan Islam masih tidak mahu akur dengan penghakiman mahkamah sebelum ini, apatah lagi baru-baru ini Mahkamah Tinggi pula membenarkannya.

Begitu juga terdapat pelbagai kes lain sedang diadili di mahkamah yang mempunyai kaitan dengan kedudu-kan agama Islam di Malaysia. Akan datang, beberapa kes dijangka mewarnai perundangan negara dalam tempoh terdekat ini. Mudah-mudahan kes-kes yang mendatang memberi kelebihan kepada perundangan Islam di Malaysia.

Bukan sahaja di mahkamah kedudukan dan ajaran agama Islam dicabar, di media sosial, serangan terhadap agama Islam lebih hebat lagi sama ada dalam mahupun di luar negara. Islamophobia dalam kala-ngan orang awam amat menjadi-jadi kerana orang awam khususnya bukan Islam sering diasak dengan tipu daya dan kekeliruan mengenai Islam.

Sebahagian dalam kalangan awam meletak parameter yang salah dalam menilai Islam. Tidak kurang juga yang mempercayai bulat-bulat propaganda pihak tertentu untuk mencemar nama Islam.

Terkini, cabaran terhadap Islam bukan sahaja dipimpin orang bukan Islam tetapi juga orang Islam atas nama liberal, moderat dan sebagainya. Golongan ini boleh mempersoalkan apa sahaja atas nama hak asasi termasuklah isu-isu moral atau akhlak. Hak asasi manusia dilihat seperti ‘agama baharu’ dalam sistem perundangan di Malaysia.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Terbukti, keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah ALLAH dan beberapa kalimah lain telah membangkitkan kegusaran dalam kalangan orang Islam. Gabungan Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) umpamanya, telah mengumpulkan pelbagai NGO menzahirkan kekecewaan terhadap penghakiman tersebut.

Kalau dahulu mahkamah memutuskan berdasar integral part of the religion atau dalam erti kata lain, adakah kalimah ALLAH tersebut merupakan bahagian yang penting dalam agama Kristian, kali ini penghakiman Mahkamah Tinggi itu perlu diperhalusi apabila ia diedarkan.

Syukur pihak kerajaan telah memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut. Mudah-mudahan peringkat rayuan kelak, keputusan akan memihak kepada rayuan kerajaan.

Pada masa yang sama, penulis menggesa agar umat Islam menghormati keputusan tersebut dan biarkan proses undang-undang mengambil tempat sewajarnya. Umat Islam berhak untuk berasa gusar, namun berpada-padalah dalam menzahirkan kegusaran tersebut. Jangan sehingga boleh disabitkan menghina mahkamah atau menghasut orang lain melanggar undang-undang.

Moga segala cabaran terhadap perundangan Islam dapat diadili sewajarnya berdasarkan kedudukan Islam, sejarah dan budaya serta norma masyarakat di Malaysia.

* Datuk Zainal Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Lebih mudah berambut pendek
  2. Peguam enggan berhujah, Najib mungkin dijatuhi hukuman Selasa?
  3. Tembelang Presiden Ukraine terbongkar
  4. Fahami perubahan budaya politik
  5. Bercerita tentang adil