Sila log masuk terlebih dahulu.

Kesan besar kepada institusi sosial

03 April 2021 06:50am | Masa membaca: 4 minit
No Image Caption
A
A
A

SEJAK zaman batu, zaman revolusi pertanian, zaman revolusi industri sehinggalah ledakan zaman media baharu, kesemuanya ada pengaruh dan kesan tersendiri.

Sejajar dengan pertumbuhan ketara elemen media baharu, secara langsung hiburan telah menjadi suatu industri yang besar dan melibatkan dana sebanyak trilion ringgit.

Peningkatan ketara berlaku kerana kebergantungan individu terhadap hiburan semakin kronik sehingga memberi kesan besar kepada institusi sosial dan masyarakat.

Sebetulnya, fitrah manusia yang suka kecantikan dan keindahan mendorong mereka berminat dengan elemen yang boleh memenuhi fitrah mereka.

Justeru, pelbagai genre hiburan menjadi pilihan mereka termasuklah muzik, kesusasteraan, filem, drama dan sebagainya. Pun begitu, selain hiburan bersifat pasif, ada juga yang menyukai hiburan bersifat aktif dan agresif seperti bersukan, bermain permainan video, mengikuti kelas zumba, memancing dan pelbagai aktiviti lagi.

Menurut perspektif psikologi, setiap manusia suka beralih daripada kehidupan realiti kepada sesuatu baharu dan boleh memenuhi kehendak jiwa. Ini bermakna, melayari fantasi juga adalah proses biasa dilalui setiap individu. Jadi, hiburan adalah suatu narrative transport atau wahana imaginasi manusia di luar alam realiti.

Berkaitan hal itu, teringat saya temu bual wartawan hiburan dengan pengarah filem di Bombay India. Apabila wartawan bertanya soalan: “Mengapa kebanyakan filem Hindustan dipenuhi elemen nyanyian, tarian dan kerap bertukar pakaian serta pe-rubahan latar tempat semasa adegan nyanyian dan tarian berlangsung?

Jawab pengarah filem itu cukup mudah: “Itulah hiburan yang penuh dengan fantasi dan memenuhi kehendak mereka yang ingin berhibur.”

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Memandangkan hiburan mempengaruhi kehidupan individu secara idealistik menerusi fantasi tiada sempadan mendorong berlakunya Cognitive Dissonance atau pertembungan kognitif antara nilai dan tingkah laku.

Secara lebih jelas, mereka dikelirukan antara tingkah laku jahat dan nilai baik. Tidak hairanlah jika ada filem atau drama yang mengetengahkan isu social bandit atau mereka yang melakukan jenayah bagi mendokong keadilan sosial adalah diterima masyarakat di luar filem.

Ia bermakna, bagi individu yang terima rasuah, namun banyak membantu masyarakat adalah sesuatu yang tidak salah. Tambahan pula, masih menebalnya sifat feudalisme dalam kalangan masyarakat menyebabkan kelompok social bandit masih relevan dipertahankan.

Elemen fantasi dalam hiburan juga mendorong peningkatan pornografi dalam kalangan masyarakat. Yang nyata, dapatan kajian pasukan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini cukup mengejutkan kerana dianggarkan empat daripada 10 rakyat Malaysia melayari laman lucah dalam tempoh seminggu dan meningkat 84 peratus sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Natijahnya, data itu telah melonjakkan Malaysia berada di kedudukan keempat dunia dan pertama di Asia dalam melayari bahan lucah.

Berkaitan hal itu, Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya Al-Taubah Ilallah yang memetik tulisan Ibn Qayyim dalam al-Jawab al-Kafi li Man Saala al-Adawa’ al-Syafi telah menjelaskan secara komprehensif kesan melakukan maksiat kepada diri sendiri, antaranya terhalang mendapat ilmu, terhalang rezeki yang murah, segala urusan jadi sukar, mendapat penghinaan ALLAH, mendapat kehinaan dalam kalangan manusia dan berasa kehidupan semakin sempit.

Terdapat juga kajian terhadap individu yang berhibur secara pasif melebihi empat jam akan mempengaruhi keupayaan berfikir kerana mudah hilang fokus dan mengalami kesukaran mengingati perkara lepas.

Justeru, pengaruh hiburan tidak boleh diambil mudah terutama kepada diri sendiri dan ahli keluarga. Pada hemat saya, hiburan itu tidak akan memudaratkan selagi kita boleh mengawalnya. Jangan lalai dan ralit.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada Sabtu penentu pendirian muktamad Pas?
  2. Parti politik perlu ‘zon bebas ego’
  3. Kit Siang, Wan Azizah mungkin berehat?
  4. Syarat Puteri Gunung Ledang
  5. Utamakan sekuriti makanan dalam Bajet 2023