Sila log masuk terlebih dahulu.

Membina pengakhiran yang baik

17 April 2021 07:05am | Masa membaca: 4 minit
No Image Caption
A
A
A

ADALAH jelas kehidupan kita dinilai bukannya di mana dan bagaimana kita bermula, namun bagaimana dan di mana kita berakhir. Fenomena bermula dengan baik dan berakhir dengan buruk serta bermula dengan buruk tetapi berakhir dengan baik adalah proses kelangsungan hidup yang normal dalam masyarakat.

Cuma, siapa yang akan berakhir dengan buruk dan baik bukan kerana ditakdirkan tanpa sebab, namun kerana empunya diri sendiri yang memilih untuk berada di penghujung mana. Adalah jelas, ramai yang memilih untuk berada di pengakhiran yang baik, namun hanya setakat mencari dan mengharap sahaja serta tidak bersungguh-sungguh membina langkah-langkah sewajarnya ke arah pengakhiran yang baik.

Sebetulnya, apakah yang mengikat kita menjadi baik? Saya percaya ramai yang menjawab agama yang mengikat kita menjadi baik. Ya benar, itulah jawapan sewajarnya. Namun persoalannya, mengapa kita masih alpa dan lalai terhadap tanggungjawab kita dalam beragama?

Berkaitan hal itu, ramai yang menjawab kerana masih kurangnya iman. Mengapa kurangnya iman? Tiada sebab lain melainkan kita hanya percaya kepada agama sebagaimana orang lain percaya, namun masih belum meyakini bahawa agama adalah teras kehidupan kita untuk ke syurga.

Sebetulnya, kita adalah sebaik-baik makhluk yang diciptakan ALLAH sepertimana firmannya: “Sesunggguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan kelengkapan sesuai dengan keadaannya), kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah. Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus.” (Surah At-Tin, 4-6). Ia bermakna, kita perlu faham, yakin dan beramal dengan ajaran agama bagi melayakkan kita berada di pengakhiran yang baik.

Dalam membicarakan kepentingan beragama, saya amat tertarik dengan kupasan Pak Hamka menerusi bukunya, Tasauf Moden. Menurut beliau, terdapat tiga sifat yang timbul kerana beragama iaitu malu, amanah dan benar.

Sesungguhnya malu sangat besar pengaruhnya dalam mengatur pergaulan hidup. Malu itulah yang membuat orang berakal enggan melakukan perbuatan jahat. Rasa malu tidak akan hidup dalam budi pekerti seseorang manusia jika tidak mempunyai kehormatan diri, manakala sifat amanah adalah penghubung kelangsungan hidup manusia menerusi nilai kepercayaan tinggi.

Tiadanya amanah akan meruntuhkan peradaban bangsa dan negara tidak akan tegak tanpa adanya amanah. Selain itu, sifat benar akan menjauhkan masyarakat daripada kesesatan kerana sentiasa mendokong kebenaran dan menolak segala kepalsuan.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Sejajar dengan kupasan Pak Hamka, adalah jelas pandangannya merentasi zaman. Sehingga kini masih ramai yang beragama tetapi tidak tahu malu, tidak amanah dan berbohong. Pada hemat saya, kebanyakan kita sedikit ‘jinak’ kerana takut dibelenggu undang-undang dan hukuman yang ketat, bukannya kerana nilai malu, amanah serta benar yang ada dalam diri.

Pendek kata, mereka ‘paksa menjadi baik’ kerana takut dikenakan hukuman. Pun begitu, masih ketara yang tidak tahu malu melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dan masih mengelirukan masyarakat berkaitan berita palsu serta tidak tepat berkaitan keperluan vaksin. Itu belum lagi termasuk sikap memberi dan terima rasuah serta pelbagai akhlak yang buruk.

Berkaitan sifat malu, Abu Mas’ud Uqbah berkata, Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya di antara yang didapatkan manusia daripada perkataan (yang disepakati) para nabi adalah: “Jika kamu tidak malu, berbuatlah sesuka kamu” (Hadis Riwayat Bukhari).

Justeru, sanggupkah kita untuk berterusan tidak tahu malu, tidak amanah dan berbohong? Semoga institusi Ramadan mengemudi kita ke arah pengakhiran yang baik.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Perubahan itu indah
  2. Uniknya penulis bertemu penulis
  3. Anwar serius banteras amalan rasuah penjawat awam
  4. Apa Haji Hadi mahu?
  5. 5 implikasi negatif projek tanpa tender