Sila log masuk terlebih dahulu.

Ujian buat MKT UMNO

25 April 2021 07:20am | Masa membaca: 4 minit
No Image Caption
A
A
A

DITUBUHKAN pada 1 Mei 1946 dengan keahlian mencecah 3.5 juta orang, UMNO merupakan parti politik tertua dan terbesar dalam negara pada masa ini.

Sebahagian besar sejarah moden pasca hari merdeka negara dicorak dan diterajui UMNO. Atas sebab itu, sebahagian besar orang Melayu, masyarakat bumiputera dan rakyat secara umumnya masih meletakkan harapan untuk parti itu kembali menjadi peneraju pentadbiran negara.

Namun, apakah UMNO telah bersedia seperti ucapan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk kembali menjadi parti induk yang menstabilkan politik negara?

Faktor terpenting UMNO kembali menjadi parti induk, ia harus meraih semula kepercayaan rakyat termasuklah mengikis imej semi-feudal, membuat keputusan mementingkan kumpulan pemimpin berbanding kepentingan parti dan uruskan parti dengan tertib.

Malangnya, bagi orang di luar UMNO tidak jelas apa yang berlaku. Ketika mereka berharap UMNO menjadi penstabil politik negara, hari ini UMNO dilihat antara pencetus ketidakstabilan tersebut.

Pada September 2020, UMNO bersetuju ada kerjasama dengan Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri Sabah. Namun, ketika sedang berkempen, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid berkata, UMNO tidak dapat menghalang jika mana-mana ahli Parlimennya menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Ia bertentangan dengan keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2019 yang menegaskan tiada kerjasama dengan Anwar dan DAP – 'No Anwar, No DAP’.

Pada Oktober 2020, tersebar surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan sokongan dan taat setia UMNO menyokong pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Januari 2021, dua ahli Parlimen UMNO membuat sidang media menarik sokongan kepada Perdana Menteri. Penarikan sokongan dalam keadaan pandemik sedang memuncak akan menyukarkan usaha mengawal Covid-19.

Saya fikir ia adalah antara salah satu faktor yang menyebabkan darurat diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Dalam semua kekalutan itu, kita melihat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO gagal memimpin parti dan membuat keputusan penting membetulkan hala tuju parti.

MKT UMNO tidak berbuat apa-apa terhadap pelanggaran prinsip parti. Tidak ada penafian keras MKT, tidak ada juga penyiasatan dan tiada sebarang keputusan meyakinkan masyarakat secara umum. Semua disembunyi di bawah permaidani.

MKT UMNO juga tidak berbuat apa-apa untuk memastikan kerajaan yang mereka anggotai kekal sehingga pandemik Covid-19 dapat ditangani sebelum diadakan PRU.

Terbaharu, MKT UMNO meluluskan cadangan penggantungan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail selama enam tahun kerana mengkritik Presiden. Keputusan MKT UMNO itu sangat luar biasa kerana mereka terbabit dengan politik wang pun jarang dihukum berat sedemikian rupa.

Pada September 2008, Lembaga Disiplin UMNO hanya menjatuhkan hukuman penggantungan selama tiga tahun kepada sembilan pemimpin UMNO yang didapati bersalah mensabotaj parti dalam pilihan raya dan seorang dikenakan amaran sahaja.

Apakah mengkritik Presiden atau mana-mana pemimpin UMNO sudah menjadi kesalahan besar dalam sebuah parti demokrasi?

Namun, itulah realiti keadaan MKT UMNO hari ini. Dianggotai lebih 45 orang pemimpin tertinggi parti, MKT UMNO tampak seperti orang gemuk tidak lagi boleh bergerak dengan efektif dan efisyen.

UMNO tampak menjadi seperti layang-layang putus tali. Gagal menjadi sebuah badan pembuat dasar dan keputusan yang profesional serta matang dan tidak dipengaruhi oleh pemimpin lebih berkuasa.

Mungkin buat kesekian kalinya mesyuarat MKT UMNO, walau bila pun tarikh rahsianya akan berani keluar daripada kepompong semi-feudal yang membiarkan parti diurus secara semberono.

MKT UMNO harus berani membuat keputusan untuk mengadakan pemilihan UMNO sebaik penggal ini tamat pada 30 Jun 2021.

*Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Musuh UMNO takutkan rakyat, PRU15 tahun ini macam 'cerita hantu'
  2. Ekonomi negara berisiko jadi 'overheating' jika...
  3. Mahasiswa mahu jaminan kerja, gaji lebih baik
  4. Penuhi tuntutan rakyat
  5. Pertimbangan Agong mungkin ambil kira jaminan sokongan majoriti PM