Sila log masuk terlebih dahulu.

69 Komando menggalas cabaran

27 April 2021 06:50am | Masa membaca: 4 minit
No Image Caption
A
A
A

PERNAH pada suatu masa pihak kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) merancang membubarkan pasukan elit 69 Komando berikutan perubahan ancaman semasa dalam negara khususnya setelah peletakan senjata Parti Komunis Malaya (PKM) pada Disember 1989.

Berdasarkan perkiraan di atas kertas pada masa itu, mengekalkan sebuah pasukan dengan keanggotaan kira-kira seramai 500 orang tidak begitu praktikal, sebaliknya dibubarkan dengan keanggotaannya dipindahkan ke pasukan lain dalam pelbagai cawangan PDRM.

Sebagai sebuah pasukan elit, 69 Komando dibentuk dan dilatih sebagai sebuah unit multi spektrum dengan menguasai kemahiran dalam ilmu peperangan hutan, operasi dalam kawasan terbina, lintas udara, penyelam tempur dan menangani ancaman pengganas.

Uniknya, kelebihan ini menjadikan 69 Komando sebagai satu-satunya pasukan polis di dunia yang mempunyai kemahiran dalam operasi tempur yang setaraf dengan pasukan komando tentera.

Penubuhan 69 Komando bertitik tolak daripada cetusan idea Menteri Dalam Negeri, Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman berikutan perlunya sebuah pasukan khas diwujudkan dalam Pasukan Polis Hutan (PPH, kini Pasukan Gerakan Am) bagi menghadapi ancaman pengganas komunis.

Ini kerana kebangkitan semula PKM yang bermula pada 1968 dengan pelbagai gerakan subversif selain penyusupan unit tempur dari sempadan Malaysia-Thailand menyebabkan keselamatan negara dalam keadaan meruncing.

Gerakan komunisme yang turut menyerap masuk ke dalam persatuan dan kelab-kelab juga bukanlah mudah hendak diperangi. Menerusi gerakan inilah yang banyak membantu gerila-gerila dalam hutan menerusi maklumat risikan dan sokongan kader-kader.

69 Komando yang berpangkalan di Kem Ulu Kinta, Perak melalui pelbagai jerih-perih khususnya semasa memerangi pengganas komunis dekad 1970-an sehinggalah berakhirnya Insurgensi.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Semasa awal penubuhannya pada Oktober 1969, kira-kira 60 orang daripada ribuan pegawai dan anggota PPH terpilih pada sesi pemilihan awal.

Mereka ini kemudian menjalani latihan asas komando yang dikendalikan oleh jurulatih unit komando tentera British, Special Air Service Regiment (SAS) di Fort Kemar, Gerik, Perak.

Pada akhir latihan, hanya 30 orang diambil menganggotai trup nukleus 69 Komando disarungkan beret berwarna coklat pasir seperti mana dipakai SAS.

Sekiranya kepimpinan atasan pada satu masa dahulu bersetuju dengan cadangan membubarkan 69 Komando, sudah pasti situasi yang dihadapi oleh PDRM ketika menghadapi pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah pada tahun 2013 sukar hendak dibayangkan.

Jika 69 Komando wujud tetapi dengan keanggotaan yang jauh lebih kecil, jumlahnya belum tentu mampu untuk digerakkan dengan berkesan bagi menghadapi pengganas Sulu yang rata-ratanya merupakan anggota tentera terlatih.

Ini kerana operasi meruncing seperti ini tidak boleh digalas sebuah pasukan polis biasa, apatah lagi tidak dilatih dalam operasi pertempuran khusus.

Pada tanggal 26 Februari, 2013 pihak PDRM mengambil keputusan untuk melaksanakan operasi tinjauan rapat bagi menilai keadaan sekeliling dan keseluruhan Kampung Tanduo bagi memastikan kedudukan Tentera Kesultanan Sulu (RSF) secara dekat.

Walaupun ia adalah satu tindakan yang berisiko tinggi tetapi perlu dilaksanakan memandangkan sebarang tindakan atau operasi yang hendak dibuat selepas tinjauan ini berkemungkinan besar bakal menyebabkan kedua-dua pihak iaitu PDRM dan tentera RSF berdepan antara satu sama lain.

Tanggungjawab tersebut digalas lima pasukan 69 Komando dengan kekuatan 144 pegawai dan anggota untuk berhadapan lebih 200 anggota RSF sebelum pertempuran meletus pada pagi 1 Mac 2013 di Kampung Tanduo.

Kisah pertempuran tersebut kini didokumentasikan dalam buku khas, 69 Komando: Lahad Datu Mac 2013.

69 Komando sebagai satu-satunya pasukan polis di dunia yang mempunyai kemahiran dalam operasi tempur.

* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 23 tahun lalu

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Apa kata MaraFood?
  2. Serangan di Gaza demi survival politik PM Israel?
  3. Belum ada kajian makan hidangan eksotik baik untuk kesihatan
  4. Ini kapal Ahmad Albab yang punya!
  5. Apa nasib KD Mat Kilau?