Sila log masuk terlebih dahulu.

Tangani Covid-19 dengan kejujuran

29 Mei 2021 06:50am | Masa membaca: 4 minit
Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEHINGGA artikel ini ditulis, kes harian Covid-19 telah menjangkau lebih 8,000 kes dan jumlah kematian sudah melebihi 50 kes sehari. Pahit atau tidak, itulah realiti kita harus terima.

Menurut beberapa kajian, jika keadaan itu terus kekal, kemungkinan kes harian mencecah lebih 10,000 dan jumlah kematian mendekati 200 kes sehari.

Jika benar-benar berlaku, kita bukan sahaja gerun dengan peningkatan data statistik tersebut, namun secara psikologinya memberikan impak besar kepada masyarakat dan negara. Pendek kata, sindrom panik akan memuncak dan sikap menuding jari semakin serius, malah tidak berkesudahan.

Sebetulnya, kes dapat dibendung secara bersama sekiranya kita benar-benar ikhlas dan jujur. Jika ditinjau pembentukan ‘kluster’ baharu, kebanyakannya berpunca daripada ketidakpatuhan arahan supaya tidak merentas negeri dan daerah serta kunjung-mengunjung ketika hari raya.

Arahan itu dengan mudah dipermainkan seperti letakkan kereta jauh-jauh, boleh naik GrabCar, sembunyikan selipar dan pelbagai sindiran lagi. Natijahnya, betapa ramai yang dijangkiti Covid-19 dan dimasukkan ke ICU.

Masih ada berdegil melanggar arahan solat berjemaah di surau sehingga satu kampung ‘dihukum’ dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Walaupun dalam kalangan mereka sendiri cukup marah dan terkilan dengan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP), namun akibat ‘nila setitik, habis rosak susu sebelanga’.

Tidak serik dengan hal itu, masih terdapat individu yang meloloskan diri menerusi jalan-jalan tikus dan memotong gelang kuarantin.

Adalah jelas, kesemua hal itu berlaku kerana mencanaknya krisis moral yang amat serius dalam kalangan masyarakat. Isu paling utama adalah tidak jujur kepada diri sendiri, masyarakat dan negara.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Menurut Abdullah bin Mas’ud RA, Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya kejujuran itu membawa kepada kebaikan dan sesungguhnya kebaikan membawa kepada syurga. Sesungguhnya (apabila) seseorang itu melazimkan dirinya dengan kejujuran, nescaya dia akan dikenali sebagai orang yang jujur, manakala kedustaan membawa kepada kejahatan dan sesungguhnya kejahatan membawa kepada neraka. Sesungguhnya tidaklah seseorang itu melazimkan dirinya dengan kedustaan melainkan dia dicatat disisi ALLAH sebagai seorang pendusta.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Selain ketidakjujuran dalam pelanggaran SOP, masih ramai tidak jujur menyebarkan berita palsu dan tidak tepat berkaitan vaksin Covid-19.

Apa yang jelas, pertembungan antara mereka yang hendak divaksin dengan antivaksin semakin ketara. Tidak cukup dengan itu, sebaran fitnah terhadap agensi-agensi bertanggungjawab seumpama hujan lebat mencurah ke bumi tanpa henti.

Tegarnya kelompok antivaksin sehingga ada yang sanggup mendorong ibu bapa mereka supaya membatalkan janji temu untuk divaksinkan menerusi aplikasi MySejahtera.

Bayangkanlah, jika dengan izin ALLAH, dikurniakan ujian jangkitan Covid-19 kepada ibu bapa sebelum divaksinkan, sudah tentu mereka akan terkhilaf kerana ditimpa mudarat lebih besar bagi mengelak mudarat yang kecil.

Ketahuilah, kadangkala kita berasa sudah melakukan yang terbaik, namun secara tidak sedar kita telah menyulitkan orang lain.

Sesungguhnya daripada Abu Said Sa’d bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa membahayakan orang lain, maka ALLAH akan membalas bahaya kepadanya dan barang siapa menyusahkan atau menyulitkan orang lain, maka ALLAH akan menyulitkannya.” (Hadis Riwayat Hakim dan Baihaqi)

Sedarlah, kita diambang krisis yang amat teruk. Jika negara lain sudah hampir berjaya melawan Covid-19 dengan pematuhan SOP dan vaksinasi, namun kita masih belum bersatu terhadap dua perkara pokok tersebut. Semoga nasi tidak menjadi bubur.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Metana bukan sebarang gas
  2. Kisah hidup penyerang Salman Rushdie
  3. Dari Hanruh kepada Wogos
  4. ʻAntara keselamatan negara dan menyiapkan LCS’
  5. Pakar forensik tidak cukup