Sila log masuk terlebih dahulu.

Gambaran ekonomi pasca-Covid

06 Jun 2021 06:50am | Masa membaca: 4 minit
No Image Caption
A
A
A

RAMAI ahli ekonomi dan perancang pembangunan memberi amaran bahawa ekonomi dunia tidak akan kembali semula ke zaman sebelum Covid-19. Mungkin terlalu awal untuk menerima atau menolak ramalan itu bulat-bulat walaupun tanda-tanda ke arah itu semakin jelas.

Ambil amalan bekerja dari rumah (BDR) dan membeli barang keperluan harian secara atas talian sebagai contoh. Rasanya dalam masa setahun lebih kita mengamalkan BDR, kita sudah mempunyai data mencukupi untuk meramalkan sama ada kaedah itu boleh diteruskan atau tidak selepas Covid-19.

Kita sudah boleh memastikan sama ada sistem tersebut praktikal dari segi produktiviti, mutu kerja dan keberkesanan kos. Pertama, sistem BDR memerlukan tahap disiplin diri dan keikhlasan tinggi dalam kalangan pekerja.

Dari segi kos, ia menguntungkan majikan kerana dalam jangka masa panjang, mereka tidak perlu menyediakan ruang pejabat yang luas, sekali gus menjimatkan kos sewaan, elektrik, air dan kemasan.

Kos itu secara automatik dipindahkan kepada pekerja dan adalah wajar majikan memberikan mereka ganti rugi kerana menyediakan ruang kerja di rumah masing-masing. Di pihak pekerja, mereka menjimatkan kos pengangkutan.

Itu adalah antara faktor dan ciri-ciri yang sudah jelas dalam hal BDR. Pasti ada faktor lain yang perlu diambil kira sebelum BDR menjadi norma.

Begitu juga rantaian pembekalan, khususnya barang pengguna. Kita telah lihat bagaimana Covid-19 dan langkah menyekat penularannya sejak lebih setahun lalu mengganggu rantaian pembekalan yang menyebabkan bekalan berkurangan atau terputus sementara. Ia secara automatik mencetuskan kenaikan harga.

Jika tidak kerana kemunculan kaedah baharu pemesanan, pembayaran dan penghantaran yang berpaksikan teknologi maklumat serta telekomunikasi (ICT), masalah yang dicetuskan Covid-19 mungkin lebih buruk.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Dalam isu pembahagian peluang ekonomi dan kekayaan negara pula, era pasca-Covid akan melihat pertambahan kadar kemiskinan dan perluasan jurang pendapatan antara orang kaya dan miskin seperti dibayangkan oleh peningkatan aset orang terkaya di negara kita tahun ini.

Hal itu tidak dapat dielakkan kerana ramai peserta ekonomi sama ada makan gaji atau bekerja sendiri hilang mata pencarian atau memperoleh pendapatan lebih kecil.

Pada Januari tahun ini, kadar pengangguran meningkat 4.9 peratus kepada 782,500 orang, manakala lebih 30,000 perniagaan ditutup sehingga November lalu.

Mengikut kiraan majalah ekonomi antarabangsa, Forbes, ahli perniagaan terkaya Malaysia menongkah arus mencatatkan nilai kekayaan yang lebih besar tahun ini. Sebahagiannya disumbangkan oleh durian runtuh dalam sektor pembuatan sarung tangan getah.

Menurut majalah itu, nilai kekayaan billionaire Malaysia meningkat 14 peratus kepada hampir AS$90 bilion (kira-kira RM369 bilion) iaitu bersamaan kira-kira 25 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar negara tahun 2019.

Raja Gula, Robert Kuok Hock Nien terus menduduki tempat teratas dengan kekayaan bersih AS$11.5 bilion (RM47.15 bilion).

Bumiputera terkaya,Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary menduduki tempat ke-18 dengan aset AS$1.2 bilion (RM4.92 bilion).

Yang menarik mengenai mereka adalah usia yang semakin lanjut dan sesetengahnya tidak mempunyai pewaris kerana anak-anak mereka tidak berminat mengambil alih atau berhasrat mendermakan kekayaan mereka.

Seorang sahabat yang juga billionaire meramalkan banyak empayar perniagaan orang Cina di Asia Tenggara akan pecah dan dijual apabila ketua keluarga menjadi tua dan tidak mampu lagi mengawal anak cucu yang mahu berniaga sendiri.

Saya telah menulis mengenai peluang bagi kerajaan melalui tabung-tabung dan syarikat-syarikat berkaitan dengannya untuk membeli saham dan perniagaan empayar-empayar ini apabila sampai masa untuk dijual.

Dengan itu, kerajaan dapat mengumpul semula aset korporatnya yang banyak dijual sejak beberapa tahun kebelakangan. Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Pendirian muktamad Pas tidak akan bercanggah syarak
  2. Bimbang KWSP jadi modal Bajet 2023
  3. Nasib nelayan Filipina selepas China rampas terumbu
  4. Diplomasi budaya dan bahasa
  5. Risiko nyawa untuk mengundi?