Sila log masuk terlebih dahulu.

Profesionalisme pasukan ATM

11 Julai 2021 07:10am | Masa membaca: 4 minit
No Image Caption
A
A
A

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) merupakan angkatan bersenjata yang amat profesional – memberi tumpuan kepada isu pertahanan dan keselamatan negara serta tidak campur tangan dalam hal ehwal politik.

Hubungan antara pemerintahan sivil dengan tentera di Malaysia adalah mesra. Tahap profesional ATM tidak boleh diambil mudah kerana campur tangan tentera dalam politik bukan sesuatu luar biasa dalam hubungan antarabangsa.

Istilah Perancis coup d’etat yang bermaksud penggulingan kuasa sering digunakan untuk menerangkan keadaan di mana angkatan bersenjata mengambil alih pemerintahan secara haram.

Di negara-negara Asia Tenggara, fenomena rampasan kuasa tentera terjadi beberapa kali, misalnya peristiwa rampasan kuasa tentera di Myanmar pada 1 Februari lalu.

Negara lain yang pernah mengalami rampasan kuasa dan campur tangan tentera dalam politik termasuklah Thailand, Indonesia, Kemboja, Laos dan Filipina.

Namun, Malaysia, Singapura dan Brunei tidak pernah mengalami rampasan kuasa tentera.

Malaysia juga istimewa jika dibandingkan dengan negara Islam lain seperti Pakistan, Bangladesh, Mesir dan Sudan kerana sejak merdeka pada tahun 1957 tidak pernah mengalami rampasan kuasa tentera.

Faktor utama yang menyumbang kepada profesionalisme tentera adalah pemahaman peranan dan tugas ATM sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Angkatan Tentera 1972.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Setiap anggota tentera sumpah taat setia kepada raja dan negara, selain mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi panduan utama.

ATM juga terlibat dalam program keselamatan dan pembangunan. Misalnya, projek Keselamatan dan Pembangunan (KESBAN) ATM bersama agensi kerajaan yang lain telah membantu dalam program pembangunan di desa dan meningkatkan taraf kehidupan penduduk luar bandar, selain menghindari mereka daripada terpengaruh dengan anasir komunisme.

ATM juga terlibat dalam operasi menyelamat ketika bencana alam, operasi bantuan kemanusiaan dan kini bekerjasama dengan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerangi penularan pandemik Covid-19.

Salah satu tugas utama ATM adalah untuk mempertahankan negara daripada ancaman luar. Justeru, ATM menjalankan latihan dan operasi ketenteraan serta sentiasa dalam keadaan siap-siaga bagi melindungi kepentingan dan kedaulatan negara.

ATM telah mempertahankan negara ketika Konfrantasi Malaysia-Indonesia dan mematahkan pencerobohan kumpulan militan daripada Sulu di Lahad Datu pada 2013.

Atas pengorbanan dan usaha gigih ATM, PDRM dan agensi kerajaan yang lain, Malaysia berjaya menewaskan pemberontakan atau insurgency komunisme sehingga Parti Komunis Malaya menyerah pada tahun 1989.

Malaysia merupakan salah satu negara di dunia yang mencapai kejayaan dalam strategi counterinsurgency atau COIN berbanding Vietnam Selatan walaupun dengan bantuan tentera Amerika Syarikat (AS), tetap kalah kepada Viet Cong.

Malah sehingga hari ini, pengalaman kerajaan Malaysia dalam COIN masih menjadi contoh kepada angkatan tentera asing dalam menjalankan misi COIN.

Pada masa kini, ATM sedang berusaha meningkatkan pertahanan negara daripada ancaman bukan tradisional atau non-traditional security (NTS) seperti keselamatan siber.

Tahap profesionalisme yang tinggi ditonjolkan ATM telah mendapat pengiktirafan masyarakat antarabangsa. Ia terbukti dengan penyertaan ATM dalam misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

ATM akan mengekalkan tahap profesionalisme dan hubungan antara pemerintahan sivil-tentera terus mesra.

Tiada kerajaan yang boleh wujud tanpa sokongan tentera dan pada masa yang sama, tentera akur pada pemerintahan sivil dan tidak campur tangan dalam urusan politik.

Tahap profesionalisme yang tinggi ditonjolkan ATM telah mendapat pengiktirafan masyarakat antarabangsa.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Terbukti! Minyak masak peket Malaysia berlambak di Thailand
  2. Membesar dengan minyak masak subsidi dari Malaysia
  3. Di bawah jagaan gengster?
  4. Arab Saudi, UAE dengar rintihan rakyat jelata
  5. Mat Kilau dan pemimpin Melayu