Sila log masuk terlebih dahulu.

Usah malu meminta tolong

14 Julai 2021 09:10am | Masa membaca: 4 minit
No Image Caption
A
A
A

CARIAN dalam Twitter menunjukkan kempen bendera putih dimulakan oleh pengguna Facebook bernama ‘Jah’ atau Nik Faizah Nik Othman, Timbalan Ketua Angkatan Wanita Amanah Negeri Kelantan. Alhamdulillah, cadangan beliau telah memberi kelegaan kepada ribuan insan yang memerlukan pertolongan.

Mengibarkan bendera putih adalah cara meminta tolong dengan pendekatan yang molek, sopan dan terhormat. Ia adalah pelapik yang mengurangkan rasa malu orang yang meminta pertolongan.

Sejak itu, ribuan bendera putih kelihatan berkibaran di merata ceruk negara. Kita dapat melihat buktinya apabila kita melayari ‘kitajaga.co’ - sebuah aplikasi daripada usaha rakyat Malaysia. Ia petunjuk bahawa ramai warganegara kita yang dalam kesempitan.

Nik Faizah telah memberi jalan yang mudah dan praktikal kepada mereka yang inginkan bantuan. Ia juga membolehkan individu dan kumpulan segera datang membantu. Bendera putih membolehkan jiran tetangga tahu masalah jiran yang selama ini mereka anggap okey sahaja seperti mereka.

Natural

Sesungguhnya meminta tolong adalah satu tindakan yang natural bagi sesiapa dalam kesusahan. Lebih-lebih lagi apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang rata-rata dialami kita semua. Kita yang masih ada serba sedikit, amat memahami dan ingin menolong meringankan beban orang lain.

Orang Malaysia amat terkenal suka membantu, tidak akan teragak-agak menolong sesiapa sahaja tidak kira bangsa dan agama. Jika selama ini kita akan turut membantu dalam situasi terdesak seperti kemalangan dan kebakaran, kini kepayahan kehidupan yang kian menghimpit menyemarakkan sikap kita yang suka menolong.

Nampaknya slogan ‘kita jaga kita’ bukan sekadar slogan kita menjaga sesama sendiri untuk mengawal merebaknya Covid-19.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

‘Kita jaga kita’ kini mempunyai skop lebih luas. ‘Kita jaga kita’ daripada kebuluran, ‘kita jaga kita’ kerana orang politik asyik berpolitik dan tidak pandang rakyat dan ‘kita jaga kita’ menggerakkan rakyat sebagai pasukan mengekang Covid-19.

Kerajaan terbina daripada sokongan rakyat. Kerajaan pula berperanan membantu rakyat. Apabila jentera kerajaan khususnya di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berada dalam kepayahan, rakyat Malaysia yang suka menolong akan datang membantu.

Pegawai-pegawai kerajaan di KKM sebenarnya terdiri dalam kalangan rakyat juga. Rata-rata orang awam yang mempunyai saudara-mara dalam kalangan ‘orang hospital'.

Malah, kesemua rakyat Malaysia pernah mendapat layanan hospital. Hospital adalah institusi yang amat dekat di hati rakyat. Malah, ada antara kita yang bagai ‘terhutang nyawa’ dengan hospital.

Justeru, pihak KKM tidak perlu berasa segan, rasa serba-salah atau masih mahu bertindak hero jika keadaan memerlukan mereka pula meminta pertolongan daripada rakyat yang sebenarnya saudara-mara mereka juga. Kes-kes di mana individu atau kumpulan yang datang untuk menolong harus dipersilakan dengan tangan terbuka dengan mematuhi saluran - tidak dinafi, dilewat atau ditolak.

Ramai rakyat kini sudah menjadi sukarelawan secara langsung sebagai petugas di hospital-hospital kerajaan dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV). Ramai lagi yang rela menjadi sukarelawan dalam memerangi Covid-19. Seru sahaja, mereka akan muncul, sedia membantu.

Sikap tidak mahu atau malu meminta tolong harus diketepikan jauh-jauh. Usah menggagahkan diri sendirian pada waktu ini. Maaf cakap, sikap demikian seolah-olah mahu membunuh diri.

Inilah masanya perhubungan kerajaan-rakyat ditulis semula. Jika selama ini perhubungan kerajaan-rakyat itu diertikan perhubungan kerajaan membantu rakyat, biarlah kali ini perhubungan kerajaan-rakyat itu bermaksud perhubungan rakyat membantu kerajaan pula. Tidak ada masalah pun.

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Terima kasih kerana membaca dan menyokong kewartawanan yang bebas, eksklusif dan kritis.
Nikmati pelbagai lagi keistimewaan langganan yang tersedia dengan melanggan Sinar Premium!!
Satu Artikel
Akses dimana-mana jua tetapi hanya untuk artikel ini
Harga bermula dari
RM 0.50 - RM 1.00
Bayaran Mikro

Tambah nilai minima RM5 melalui bayaran mikro

Artikel Tanpa Had
Akses mana-mana artikel dimana jua
Harga bermula dari
RM 6.90 - RM 66.20
1 bulan / 12 bulan
Langgan Dengan
Log masuk atau daftar akaun untuk membaca artikel ini
Artikel Berkaitan
Terkini
  1. 'Menanam tebu di tepi bibir'
  2. Mencari keberanian penjawat awam
  3. Ulama rasai denyut nadi masyarakat
  4. Menyusun semula Malaysia
  5. Antara fenomena Menu Rahmah dan mercun 'ramah'