Sila log masuk terlebih dahulu.

PM baharu Malaysia kini di tangan Agong

19 Ogos 2021 07:09am | Masa membaca: 4 minit
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
A
A
A

[MUKADIMAH] Umum kini mengetahui persaingan merebut jawatan Perdana Menteri kini hanya menjurus kepada dua orang calon sahaja iaitu antara dua bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mereka secara rasmi menjadi pilihan parti gabungan masing-masing. Kesemua 220 orang ahli Parlimen telah diminta menghantar nama siapakah calon pilihan mereka sebelum jam 4 petang Rabu kepada Istana Negara.

Kini semua pihak menanti dengan penuh debar kerana calon yang paling tinggi mendapat sokongan sudah berada di tangan Yang di-Pertuan Agong.

Pengumuman rasmi mengenainya dijangka akan dibuat pada Jumaat selepas mesyuarat khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara.

SHAH ALAM - Peluang Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk diangkat sebagai Perdana Menteri kesembilan bukan sahaja dianggap cerah bahkan berupaya mengembalikan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) secara total.

Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi daripada Universiti Teknologi Mara, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, peluang tersebut juga mampu mengekalkan dominasi kepimpinan berasaskan dominasi politik Melayu Islam serta berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Dr Noor Nirwandy Mat Noordin
Dr Noor Nirwandy Mat Noordin

Menurutnya, masyarakat mahu calon yang kelihatan bersih serta mampu menyatukan pimpinan politik agar lebih fokus terhadap permasalahan pandemik Covid-19 yang dilihat semakin berjaya dikawal dengan baik oleh kerajaan.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

"Peluang ini harus digunakan sebaiknya bagi kepimpinan beliau untuk membentuk kabinet serta pendekatan berkepentingan rakyat.

"Kesepakatan gabungan jajaran politik di antara BN khususnya UMNO bersama PN akan menentukan kejayaan beliau memperoleh majoriti bagi dilantik menjadi perdana menteri kesembilan.

"Kekuatan dan imej neutral beliau berupaya mengikat kembali gabungan kerjasama BN dan PN secara total dan boleh mengekalkan dominasi kepimpinan berasaskan dominasi politik Melayu Islam serta berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara," katanya kepada Sinar Harian.

Jelas Noor Nirwandy, potensi besar yang ada pada Ismail Sabri juga boleh diukur dengan melihat kepada keupayaannya memulihkan imej UMNO sebagai parti berkepentingan rakyat dengan membentuk kerjasama UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tanpa agenda peribadi.

Ismail Sabri. - Foto Bernama
Ismail Sabri. - Foto Bernama

Katanya, dominasi tersebut penting untuk dikekalkan bagi meneruskan formula perpaduan dan pembangunan tanpa meminggirkan sesiapa.

"Keadaan konflik luar negara seperti ancaman gerakan subversif dari ideologi ekstremisme juga memerlukan seorang calon perdana menteri yang berpengalaman dalam pentadbiran aspek pertahanan dan golongan belia negara.

"Beliau juga dilihat boleh menaikkan imej ahli politik yang tercalar kesan perebutan kuasa dan pergolakan dalam kalangan ahli Parlimen yang merunsingkan rakyat dan membawa kepada persoalan hala tuju politik negara," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik daripada Universiti Malaya, Dr Muhammad Tawfiq Yaakub menyifatkan peluang Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri ke-9 adalah sangat tinggi.

Muhammad Tawfiq
Muhammad Tawfiq

Katanya, jika itu berlaku, Malaysia akan mencatatkan sejarah apabila pertama kali bukan presiden daripada mana-mana parti politik berjaya menjadi perdana menteri sekali gus pencetus kepada budaya politik baharu tanah air bagi pembentukan sesebuah kerajaan.

"Sokongan besar diperoleh Ismail Sabri daripada pelbagai parti komponen PN dan BN, Sarawak berdasarkan kepada prestasi beliau mengendalikan tugas sepanjang tempoh pandemik yang melanda negara.

"Usia beliau 61 tahun iaitu lebih muda berbanding calon lain merupakan kelebihan wajar diketengahkan kerana politik dan negara kita memerlukan wajah baharu dengan mengambil kira usia pertengahan yang matang dalam politik khususnya dalam mengendalikan krisis pandemik di Malaysia.

"Tidak ada sebab beliau tidak dicalonkan, pemimpin yang bersih daripada dakwaan salah laku politik dan merupakan pemimpin kanan UMNO yang semakin meningkat naik dalam kerjaya politik di negara ini serta dihormati kawan dan lawan," katanya.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap ketua-ketua dan wakil parti-parti politik utama di Istana Negara. - Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap ketua-ketua dan wakil parti-parti politik utama di Istana Negara. - Foto Bernama

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. PAC tidak dapat maklumat pendedahan Rafizi
  2. Malaysia tak layak bina kapal secanggih LCS
  3. Rayuan terakhir Najib berjalan seperti biasa
  4. Projek ‘kereta terbang’ tidak guna duit rakyat
  5. Metana bukan sebarang gas