Sila log masuk terlebih dahulu.

Ada pihak menanti Syed Saddiq jatuh

14 September 2021 07:14am | Masa membaca: 4 minit
Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

[MUKADIMAH] NAMA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bukan satu nama yang asing dalam arena politik negara hari ini biarpun beliau buat pertama kalinya menjadi Ahli Parlimen Muar pada usia 26 tahun, menewaskan nama besar, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Razali Ibrahim daripada Barisan Nasional dengan majoriti 6,953 undi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 2018.

Pun begitu perjalanan bekas Menteri Belia dan Sukan ini penuh liku-likunya selepas kejatuhan Pakatan Harapan (PH) yang menyaksikan beliau kini merupakan ahli Parlimen pembangkang, meninggalkan jawatan Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan 'bapanya', Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin (kanan) merupakan seorang 'bapa' kepada Syed Saddiq dalam arena politik tanah air.
Muhyiddin (kanan) merupakan seorang 'bapa' kepada Syed Saddiq dalam arena politik tanah air.

Melihat masa depan orang muda yang akan menguasai pentas politik negara, Syed Saddiq bersama individu lain menubuhkan parti berasaskan belia iaitu Parti Ikatan Demokratik Malaysia atau Muda bagi mengangkat suara anak muda di peringkat tertinggi.

Melihat kepada langkah Pulau Pinang menjadi negeri ketujuh meluluskan usia kelayakan calon ADUN kepada 18 tahun, Syed Saddiq yakin pada PRU15 nanti akan dipenuhi dengan calon-calon yang muda.

Ikuti wawancara wartawan Sinar Premium, Nurul Riduan Nor Ashaha bersama Syed Saddiq berhubung penglibatannya dalam arena politik pada usia yang sangat muda.

SINAR PREMIUM: YB membuat kemunculan sebagai calon dalam PRU14 pada usia 26 tahun dan terus menang di Parlimen Muar. Pada pandangan YB, adakah pada PRU15 nanti akan memperlihatkan ramai calon yang lebih muda?

SYED SADDIQ: Saya lebih suka untuk melihat situasi pada masa akan datang ini berdasarkan pelbagai kejadian serta bukti yang anak muda pasti akan terlibat secara langsung sebagai calon pada PRU15 berbanding masa sebelum ini.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Yang pertama keputusan oleh Mahkamah Tinggi Kuching yang mengarahkan Kerajaan Pusat bagi melaksanakan Undi 18 sedikit sebanyak bakal merubah senario politik secara menyeluruh.

Apa yang dapat saya simpulkan adalah jika parti sedia ada di Malaysia tidak mengetengahkan calon muda pada PRU akan datang dan terus menampilkan muka lama, mereka berkemungkinan besar akan ditolak oleh sebahagian besar pengundi muda. Cuba bayangkan dengan pertambahan anggaran 7 juta pengundi ini, siapa yang menerima undian terbanyak oleh mereka? Selain itu, terdapat beberapa DUN yang telah meluluskan pindaan untuk umur calon diturunkan kepada 18 tahun. Ini merupakan signal jelas daripada kerajaan negeri bahawa mereka sudah bersedia untuk memberi lebih ramai calon muda untuk bertanding.

Kemahuan serta kesediaan inilah yang selalunya tidak dimiliki oleh sesetengah bagi melaksanakan serta meletakkan calon muda. Kenapa mereka takut sangat dengan suara anak muda? Kenapa bila hari pencalonan menagih undi anak muda tetapi tidak memberi ruang kepada mereka untuk bertanding? Saya percaya lebih ramai lagi anak muda yang bakal berubah lapangan dan menjadi calon pada PRU akan datang. Kita sudah lihat bahawa gelombang anak muda boleh melunturkan penghadang yang besar sekalipun.

Kita sudah buktikan pada PRU sebelum ini. Perkara yang dianggap mustahil telah berlaku. Tidak mustahil perkara serupa boleh berulang kembali.

Kena ingat suara rakyat adalah yang paling utama. Bukannya percaturan sesama ahli politik yang membelakangkan rakyat.

Daripada segi cabaran bergelar seorang ahli Parlimen paling muda, apakah penerimaan yang YB dapat sebelum bertanding dalam PRU14?

Pada awalnya ramai yang berpandangan bahawa anak muda tidak mampu untuk bertanding dalam PRU apatah lagi untuk menang di kawasan yang penyandangnya merupakan seorang Timbalan Menteri serta Ahli Parlimen Muar untuk tiga penggal berturut-turut.

Pelbagai gelaran telah diberikan untuk memperkecil serta merendahkan semangat saya untuk bertanding. Saya sedar bahawa jalan yang dipilih ini bukan mudah.

Saya akur bahawa banyak benda yang kurang berbanding calon yang lain. Namun, saya percaya bahawa kekurangan daripada segi pengalaman, wang ringgit serta rangkaian kenalan yang ramai dapat diatasi dengan kecekalan, semangat serta strategi yang berkesan untuk menambat hati pengundi di Muar.

Syed Saddiq merupakan menteri paling muda dalam kerajaan Pakatan Harapan selepas PRU14.
Syed Saddiq merupakan menteri paling muda dalam kerajaan Pakatan Harapan selepas PRU14.

Bukan mahu mendabik dada. Tapi hakikat sebenar yang perlu ditelan adalah untuk mendengar suara pengundi bukannya kata-kata manis yang ditaburkan oleh orang sekeliling yang berada hamper dengan kita.

Namun, penerimaan yang paling sukar adalah untuk meyakinkan kedua dua ibu bapa bahawa politik adalah jalan yang dipilih untuk ditempuh.

Pada awalnya, mereka terkejut dan agak menolak. Bila diterangkan bahawa rakyat memerlukan perubahan untuk menjadikan Malaysia yang lebih baik, mereka sedar dan menerima keputusan yang dibuat. Inilah pembakar semangat yang jitu diperlukan untuk bertanding.

Saya percaya bahawa penerimaan oleh ibu bapa, sahabat handai serta akar umbi adalah penting sebelum bertekad untuk menjadi calon pada PRU lepas.

Pada usia yang begitu muda, YB telah membuktikan bahawa orang muda mampu bergelar seorang wakil rakyat. Bagaimana YB rasakan ketika waktu pertama angkat sumpah di Dewan Rakyat?

Saya akui bahawa usia yang muda adalah merupakan salah satu perkara yang diambil berat oleh kebanyakan orang. Namun, kita perlulah menunjukkan bahawa usia muda bukan penghalang untuk menunaikan kemahuan rakyat yang telah memilih wakil rakyat yang baru.

Ketika mengangkat sumpah, saya sedar bahawa tanggungjawab yang perlu dipikul sebagai Ahli Parlimen Muar memang menguji saya secara keseluruhannya. Apatah lagi bahawa ada pihak yang ingin melihat seberapa jauh dan lama saya mampu bertahan dalam arena politik.

Satu perkara yang selalu saya tekankan adalah untuk kekal memberi khidmat kepada rakyat tanpa mengira parti yang disokongnya.

Pada akhirnya, rakyat perlu mendapat pembelaan yang sewajarnya daripada wakil rakyat. Kita kena ingat bahawa pangkat wakil rakyat itu adalah simbol bahawa kita perlu bekerja untuk rakyat dan bukannya mendapat keuntungan peribadi menggunakan status wakil rakyat.

Sekarang ini ada sentimen yang mengatakan orang muda tidak mempunyai pengalaman dalam dunia politik. Jadi bagaimana kita mahu ubah sentimen itu di mana sekarang ini orang muda adalah tulang belakang negara?

Suka untuk saya ingatkan bahawa kita tidak perlu untuk berkata banyak kerana apa yang mahu dilihat oleh orang ramai adalah hasil akhir. Jadi, lebih baik untuk kita fokus kepada kerja yang ingin dilaksanakan dan menunjukkan hasil kepada orang ramai. Bak kata pepatah, diam-diam ubi berisi.

Perkara yang terbaik untuk memulakan atau membiasakan orang muda mempunyai pengalaman yang cukup adalah dengan memberi ruang serta melatih mereka sejak muda lagi.

Jangan menyekat ruang untuk penglibatan mereka apatah lagi menutup terus perjalanan mereka terutamanya dalam bidang politik. Jika kita tidak memberi ruang kepada anak muda, siapa lagi? Saya berpendapat bahawa pendedahan ini boleh dimulakan sejak di bangku sekolah lagi. Ilmu ini penting bagi menyediakan mereka untuk bergiat secara aktif apabila tiba masanya nanti. Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ini secara tidak langsung menyediakan kita dengan generasi seterusnya yang boleh memegang tampuk pemerintahan negara.

Bagaimana perasaan YB pada hari pertama di Dewan Rakyat? Adakah YB gentar?

Terus terang saya katakan bahawa saya masih tidak menyangka bahawa saya pada suatu hari akan berada dalam dewan yang mulia ini dan akan menyuarakan hal yang perlu dibangkitkan bagi rakyat Kawasan saya sendiri.

Kalau dulu, kita hanya tengok di kaca televisyen saja. Kali ini, ruang itu berada betul-betul di depan mata. Ini merupakan saat yang tidak boleh dilupakan. Banyak perkara yang bermain di fikiran saya secara serentak.

Saya terfikir apa isu yang hendak dibentangkan terlebih dahulu. Sempatkah untuk semua isu dibahaskan atau akan bersambung pada hari lain. Malah, ada juga yang bertindak di luar kawalan seperti menjerit serta menunjukkan isyarat yang tidak sepatutnya.

Pelbagai gelaran yang tidak beretika juga digunakan. Saya percaya bahawa ini adalah cara yang terdesak digunakan oleh sesetengah pihak jika mereka tidak dapat berhujah untuk menyangkal fakta yang diberikan. Mereka lebih suka untuk membuat bising dan mengganggu perjalanan dewan berbanding menyatakan isu rakyat yang lebih penting.

Pernahkah YB berfikir dan mengimpikan bahawa Dewan Rakyat itu dipenuhi oleh wakil-wakil rakyat yang muda?

Saya pernah terfikir bahawa situasi ini dapat dicapai dalam masa akan datang. Pada masa itu, kita akan lihat bahawa lebih ramai wakil rakyat muda akan memenuhi Dewan Rakyat.

Perkara yang perlu ditekankan sekarang adalah mengenai ruang serta peluang yang perlu diberikan kepada golongan muda untuk menceburi bidang politik bermula dari sekarang. Ini adalah untuk masa depan Malaysia yang lebih baik.

Bukan menidakkan wakil rakyat yang lebih berusia, kita menyedari kepentingan sumbangan mereka dalam membimbing golongan muda. Keseimbangan adalah kunci kepada kecekapan serta keharmonian negara yang ingin ditadbir.

Undi 18 sudah diarahkan untuk dilaksanakan. Jadi, inilah masanya bagi mengetengahkan lebih ramai calon anak muda. Kita mampu untuk laksanakan ini demi Malaysia.

Apakah perkara yang YB ingati sewaktu menjadi Ahli Parlimen Muar?

Banyak perkara manis yang dapat dipelajari sepanjang menjadi Ahli Parlimen Muar. Saya dapat mengenal pasti potensi beberapa industri yang dapat diketengahkan ke pasaran antarabangsa.

Muar sudah dikenali sebagai Hab Perabot. Ini adalah peluang yang baik bagi menaikkan nama Muar secara keseluruhannya. Selain memberi ruang pekerjaan kepada penduduk setempat, ekonomi juga dapat dijana melalui hasil ini.

Seterusnya, makanan yang popular di Muar juga dapat diberikan pendedahan yang sewajarnya kepada penduduk di luar sana. Pelbagai makanan menarik di Muar mesti dicuba. Namakan saja apa yang anda mahu, pasti ada tempat menarik yang boleh dicuba. Kalau nak Asam Pedas, dari ke Medan Selera Parit Jawa hingga ke Medan Selera Tanjung Emas pasti menjadi tumpuan orang. Mee bandung juga jangan dilupakan.

Lagi satu, jangan pelik sekiranya sate akan dihidangkan bermula selepas Subuh untuk dinikmati di gerai-gerai. Belum lagi cuba Kopi 434 yang begitu sinonim dengan Muar. Kalau nak tahu lebih lanjut, saya sendiri boleh tunjukkan tempat yang menarik.

Pada 2020, Muar juga dinobatkan sebagai Bandar Terbersih Asean. Ini merupakan pencapaian yang membanggakan buat semua. Saya nak ucapkan tahniah kepada semua yang terlibat dalam menjayakan hal ini.

Terima kasih kepada penduduk Muar, Pejabat Daerah, petugas kerajaan serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pengiktirafan ini.

Apa harapan YB terhadap golongan muda yang telah diiktiraf untuk mewarnai arena politik negara?

Buat anak muda yang telah diiktiraf untuk mewarnai arena politik negara, teruskan berkhidmat untuk rakyat. Jangan sesekali mengubah pendirian anda hanya semata-mata untuk kepentingan peribadi. Kita perlu tetap dengan misi untuk membantu rakyat.

Dalam menghadapi kehidupan yang penuh dengan cabaran, jangan sesekali cepat melenting apabila menghadapi sesuatu perkara. Kekal tenang dan berfikir secara waras. Itu adalah resipi terbaik bagi membuat keputusan yang baik sepanjang masa. Kita tidak boleh membiarkan emosi mengawal kewarasan akal fikiran.

Teruskan bawa pembaharuan politik baharu yang berteraskan politik khidmat. Kita perlu sedar bahawa status wakil rakyat adalah untuk membantu rakyat menyuarakan masalah mereka ke saluran yang sepatutnya serta menyelesaikan masalah tersebut.

Tolak kepentingan peribadi jauh-jauh. Jangan biarkan anasir yang tidak baik ini melekat dalam diri.

Lebih tiga tahun YB bergelar ahli Parlimen. Apa yang YB dapat simpulkan dengan situasi politik negara kita?

Politik Malaysia boleh disifatkan sebagai dinamik kerana pemain politiknya berubah. Tak kira berubah dari segi optik mahupun dasar, ini adalah perkara yang perlu kita bersedia untuk hadapi.

Mungkin ada yang kata jangan berubah langsung. Itu saya tidak setuju. Saya cuma kata jangan sesekali ubah prinsip untuk bantu rakyat berbanding bantu diri sendiri. Perubahan ke arah kebaikan adalah sentiasa dituntut.

Apa yang paling penting adalah kita perlu menyediakan ruang yang lebih baik kepada generasi yang akan datang. Jangan sesekali memperjudikan nasib mereka semata-mata untuk memenuhi aspirasi individu yang tamak untuk menjarah hasil Malaysia.

Saya percaya kita mahukan Malaysia yang lebih baik. Mari sama-sama kita buktikan.

INFO

Biodata

Nama: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

Tarikh Lahir: 6 Disember 1992

Tempat Lahir: Pulai, Johor Bahru, Johor

Adik Beradik: Anak bongsu daripada 4 orang adik beradik

Status Perkahwinan: Bujang

-Pada September 2017, beliau menolak tawaran biasiswa yang bernilai kira-kira RM400,000 untuk melanjutkan pengajian di Universiti Oxford, England untuk terus aktif dalam politik

- Beliau ialah menteri termuda yang dilantik pada usia 26 tahun di Malaysia.

Pendidikan: Jurusan Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Maktab Tentera Diraja (RMC) Maktab Sultan Abu Bakar (English College)

Sekolah Kebangsaan Taman Perling, Johor Bahru

Kerjaya/Perkhidmatan:

- Pensyarah Sambilan UIAM dalam subjek Pengucapan Awam

- Penyelidik di Bait Al-Amanah

- Pelatih debat untuk pelajar junior di UIAM

- Syed Saddiq pernah dinobatkan sebagai pendebat terbaik Asia sebanyak tiga kali, pendebat terbaik Oxford and Cambridge Intervasities (tiga kali) dan pendebat terbaik dunia Islam OIC (dua kali).

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Rakyat tak perlu panik, tapi kena bijak urus kewangan
  2. HFMD makin membimbangkan
  3. Hubungan yang tidak putus
  4. ‘Era baharu’ AS-ASEAN
  5. Ancaman stagflasi mula dirasai