Sila log masuk terlebih dahulu.

Bukan kerajaan inklusif seperti dijanjikan Taliban

15 September 2021 07:06am | Masa membaca: 4 minit
Taliban digesa menghormati hak wanita dan etnik minoriti di Afghanistan. - Foto: AFP
Taliban digesa menghormati hak wanita dan etnik minoriti di Afghanistan. - Foto: AFP
A
A
A

GENEVA - Kira-kira seminggu selepas memegang tampuk kepimpinan Afghanistan, pemerintah Taliban berdepan kritikan komuniti antarabangsa kerana didakwa memungkiri janji mereka untuk menubuhkan kerajaan inklusif seperti dimahukan rakyat negara itu.

Kenyataan itu dikeluarkan Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Michelle Bachelet ketika beliau menzahirkan rasa kesal atas kegagalan Taliban untuk merealisasikan komitmen mereka menerusi penubuhan kerajaan sementara pada minggu lalu yang juga gagal membariskan wanita dan puak lain.

"Pada awalnya mereka berjanji untuk mewujudkan kerajaan lebih inklusif berbanding ketika era pemerintahan ultrakonservatif pada 1996-2001. Tetapi, barisan kepimpinan kanan diberikan kepada pemimpin berpengaruh kumpulan itu termasuk memimpin Rangkaian Haqqani yang digeruni sebelum ini," ujarnya.

Menurutnya, kebanyakan rakyat Afghanistan mahu melihat konflik dan perpecahan selama beberapa dekad di negara itu berakhir.

"Mereka sangat inginkan keamanan dan kestabilan serta menjadi negara yang berkembang maju.

"Kebanyakan rakyat Afghanistan mahu tinggal di negara di mana mereka dapat menyumbang kepada sistem pemerintahan selain menggalakkan penyertaan wanita dan menyatukan etnik dan komuniti agama," katanya ketika membentangkan laporan dikemaskini secara lisan tentang situasi di Kabul sewaktu sidang Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva pada Isnin.

Sekumpulan murid perempuan pulang dari sekolah mereka di Kabul kira-kira seminggu selepas pengambilalihan tampuk kepimpinan oleh Taliban. - Foto: AFP
Sekumpulan murid perempuan pulang dari sekolah mereka di Kabul kira-kira seminggu selepas pengambilalihan tampuk kepimpinan oleh Taliban. - Foto: AFP

Beliau juga dengan lantang mempersoalkan janji Taliban untuk melaksanakan corak pemerintahan lebih sederhana dan bertolak-ansur termasuk melindungi hak wanita.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

"Ia bertentangan dengan jaminan yang diberikan kumpulan tersebut. Sejak lebih tiga minggu lalu, golongan wanita telah mula 'diasingkan' secara progresif dari ruang awam," jelasnya lagi.

Bachelet sekali lagi mengulangi gesaan beliau kepada majlis tersebut supaya menubuhkan 'mekanisme khusus' memantau situasi di Kabul bagi memastikan akauntabiliti untuk sebarang bentuk pelanggaran hak asasi manusia.

Menteri Luar Jerman, Heiko Maas berkata, Berlin menyokong 'mandat yang kukuh' untuk badan tersebut melaksanakan misi pemantauan berkenaan.

"Kami meminta Taliban supaya menghormati hak asas manusia terutamanya yang melibatkan wanita dan golongan minoriti," menurutnya sambil menambah pematuhan itu akan menjadi 'penanda aras' untuk menjalinkan hubungan diplomatik dan penyaluran bantuan pada masa depan.

Situasi 'sangat rapuh'

Iran juga sependapat dengan Barat apabila ia mendakwa kerajaan sementara Afghanistan tidak mewakili populasi negara itu.

"Penubuhan pemerintahan baharu itu bukan seperti yang diharapkan komuniti antabangsa dan Teheran. Kita perlu tunggu dan lihat bagaimana Taliban bertindak balas terhadap tuntutan antarabangsa," kata jurucakap Kementerian Luar, Saeed Khatibzadeh.

Penubuhan kerajaan sementara di bawah kepimpinan Taliban itu majoriti dibarisi etnik Pashtun selain dimonopoli oleh anggota veteran kumpulan tersebut.

Hubungan Iran dan Taliban agak tegang ketika era pemerintahan Emiriah Islam Afghanistan pada 1996-2001 yang juga tidak pernah diiktiraf oleh Teheran.

Pendirian negara itu yang berkongsi sempadan lebih 900 kilometer dengan Kabul bagaimanapun berubah sejak beberapa bulan lalu dan kini menggunakan pendekatan lebih lembut.

Hanya 12 daripada lebih 80 wanita kembali bekerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai di Kabul sejak akhir minggu lalu. - Foto: AFP
Hanya 12 daripada lebih 80 wanita kembali bekerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai di Kabul sejak akhir minggu lalu. - Foto: AFP

Difahamkan, Iran menjadi tuan rumah kepada hampir 3.5 juta pelarian Afghanistan dan kini ia bimbang dengan kemasukan kumpulan baharu yang melarikan diri selepas Taliban kembali berkuasa.

Minggu lalu, Wakil Tetap India ke PBB, T S Tirumurti juga menekankan tentang kepentingan melindungi dan mempromosikan hak wanita, kanak-kanak dan golongan minoriti di Kabul.

Beliau menyifatkan situasi di Afghanistan sebagai 'sangat rapuh' dan turut mencetuskan kebimbangan negara jiran terdekat mereka.

"Penubuhan kerajaan secara meluas dan inklusif akan lebih mendapat pengiktirafan negara antarabangsa. Kerajaan sementara ditubuhkan mereka hanya dimonopoli oleh etnik komuniti terbesar di Afghanistan. Tiada wakil puak Tajiks atau Hazaras yang juga kumpulan etnik terbesar di Afghanistan," jelasnya.

Sementara itu, Menteri Luar Perancis, Jean-Yves Le Drian turut menzahirkan kekecewaan terhadap penubuhan kerajaan tidak inklusif seperti diuar-uarkan Taliban sebelum ini.

"Ia sama sekali berada di luar jangkaan kami. Paris dan komuniti antarabangsa akan terus memberi tekanan kepada Taliban untuk menunaikan janji mereka.

"Kami sudah dengar terlalu banyak janji dan kini menunggu tindakan yang akan dibuat. Kata-kata sahaja tidak cukup untuk membuktikannya," katanya ketika mengadakan lawatan ke Doha.

Tekanan antarabangsa yang semakin meningkat menyebabkan delegasi Qatar dipimpin Menteri Luar, Mohammad Abdulrahman al-Thani memberi jaminan akan menggunakan pertemuan peringkat tertinggi pertama bersama Taliban pada Ahad untuk menggalakkan penglibatan mereka bagi meraih kepercayaan komuniti global terhadap kepimpinan baharu kumpulan itu. - Agensi

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Pendirian muktamad Pas tidak akan bercanggah syarak
  2. Bimbang KWSP jadi modal Bajet 2023
  3. Nasib nelayan Filipina selepas China rampas terumbu
  4. Diplomasi budaya dan bahasa
  5. Risiko nyawa untuk mengundi?