Sila log masuk terlebih dahulu.

Malaysia mampu hasil vaksin dua tahun lagi

19 September 2021 07:31am | Masa membaca: 4 minit
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim
A
A
A

[MUKADIMAH] Malaysia dijangka mampu menghasilkan sendiri vaksin Covid-19 dalam tempoh dua hingga lima tahun akan datang menerusi inisiatif memperkasa Institut Genom Malaysia (MGI) iaitu salah sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Amzad Hashim bagaimanapun berkata, dalam tempoh itu, MOSTI akan terus memainkan peranannya bagi memastikan negara dapat keluar daripada fasa pandemik Covid-19 kepada fasa endemik.

Pelbagai pendekatan dilaksanakan bagi mencapai sasaran imunisasi kelompok termasuk menggembleng Pelan Outreach dengan sebaik mungkin.

Dalam Wawancara Sinar Ahad kali ini, Ahmad Amzad menjelaskan peranan yang telah dan sedang dilaksanakan MOST. Ikuti temu bual Ahli Parlimen Kuala Terengganu berusia 51 tahun itu bersama wartawan Nurhidayah Hairom.

SINAR AHAD: Apakah perasaan Datuk apabila diberikan kepercayaan menjadi timbalan menteri di bawah dua pentadbiran perdana menteri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob?

AHMAD AMZAD: Sebenarnya saya tidak sangka sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu saya mewakili Pas sebagai Ahli Parlimen Terengganu.

Ahli Parlimen Pas kali terakhir berada dalam kerajaan Persekutuan adalah pada tahun 1977. Ahli Parlimen Kuala Terengganu ketika itu, Datuk Mustafa Ali dilantik sebagai Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar semasa pentadbiran kerajaan Perikatan.

Bayangkan selepas lebih 40 tahun, Pas kembali menjadi sebahagian daripada kerajaan. Saya mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk dilantik sebagai Timbalan Menteri MOSTI di bawah Muhyiddin dan dilantik semula memegang potfolio sama di bawah pentadbiran Ismail Sabri.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim

Sudah tentu ini satu ruang yang saya cuba manfaatkan sebaik mungkin untuk berbakti kepada rakyat, terutama sekali ketika berhadapan dengan pandemik Covid-19, di mana peranan MOSTI sangat terserlah khususnya berkaitan vaksinasi dan juga pelbagai penggunaan teknologi sesuai dengan cara hidup baru kita.

Apakah inisiatif yang Datuk lakukan untuk bagi membantu kerajaan dan rakyat sejak menjawat jawatan tersebut?

Ketika kerajaan mengambil keputusan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya tidak mempunyai masa untuk sesi suai kenal dengan pelbagai agensi di bawah MOSTI. Arahan ketika itu adalah memberi tumpuan sepenuhnya bagaimana untuk mendepani masalah Covid-19 ini.

Sudah tentu di peringkat awal adalah dengan melihat peranan agensi di bawah penyelidikan di bawah MOSTI iaitu Institut Genomik Malaysia (GMI) yang melakukan penjujukan genom bagi mengenal pasti jujukan genomik Covid-19.

Melalui maklumat-maklumat ini kita boleh merumuskan pendekatan sama ada perubatan atau dalam usaha peringkat global bagi pembangunan vaksin.

Maklumat berkait jujukan genom ini adalah suatu yang sangat penting. Jadi Malaysia adalah antara negara yang menyumbang kepada pangkalan besar di peringkat antarabangsa di mana maklumat genomik seluruh dunia dikumpul. Daripada pengkalan data maklumat turutan genomik inilah syarikat-syarikat farmasi seluruh dunia menggunakannya bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan vaksin yang ada pada hari ini.

Kini, lebih 200 kajian pembangunan vaksin dilakukan di seluruh dunia, sebahagiannya telah mendapat kelulusan peringkat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pelbagai negara sudah gunakannya termasuk Malaysia.

Bagaimana Datuk melihat program vaksinasi dapat membantu nMalaysia mencapai Pelan Pemulihan Negara?

Tidak dapat kita nafikan apabila wabak seperti ini wujud sepanjang sejarah dunia, vaksin muncul sebagai kaedah bagi mengatasi masalah tersebut.

Kali terakhir wabak besar pernah melanda dunia adalah ketika Spanish Flu pada 1918, melibatkkan kematian jutaan manusia, dan sekali lagi vaksin memainkan peranan penting.

Begitu juga apabila timbul masalah Covid-19 ini, perkara pertama yang menjadi tumpuan komuniti perubatan seluruh dunia, adalah untuk segera mencari vaksin sebagai penawar, demi daya pertahanan manusia. Kerana itulah dalam kaedah utama mendepani masalah ini adalah vaksinasi.

PPN adalah pelan untuk mengemudi negara ini keluar daripada suasana pandemik ketika ini. Rakyat sudah terpaksa hidup dalam keadaan serba-serbi terkongkong. Ekonomi kita hampir sahaja terhenti, menyebabkan rakyat tertekan, negara juga kerugian setiap hari.

PPN telah dirancang membolehkan negara keluar daripada pandemik dengan tiga indikator utama untuk peralihan fasa.

Pertamanya, angka jangkitan kes baharu harian, kedua tahap kesiapsagaan sistem kesihatan kita yang diukur dengan kadar kegunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) dan ketiga, adalah program vaksinasi.

KKM telah meluluskan penggunaan vaksin Pfizer untuk golongan berumur 12 tahun ke atas. Bagaimana pelan utama program vaksinasi untuk kumpulan baharu ini?

Untuk populasi dewasa seluruh negara sekarang kita telah mencapai lebih 92.5 peratus yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. Lebih 74 peratus telah lengkap dua dos secara purata di seluruh negara.

Dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri MOSTI, Datuk Seri Dr Adham Baba, kita sedang berbincang tentang soal 80 peratus (dewasa) itu semakin menjadi tidak releven apabila sasaran sekarang adalah untuk membolehkan lebih daripada 80 peratus (rakyat) menerima vaksin.

Ini memerlukan keputusan untuk memberi vaksin kepada mereka yang sebelum ini dikategorikan sebagai tidak layak menerima vaksin. Ini kerana kita perlu peratus yang lebih tinggi untuk mencapai perlindungan kelompok itu.

Dalam masa sama, perkembangan perubatan pada peringkat dunia telah menyaksikan kajian dan perlaksanaannya telah dilakukan di setiap negara berhubung suntikan vaksin untuk mereka yang berumur 12 hingga 17 tahun menggunakan Pfizer.

Kita telah mula menerima data-data klinikal yang dikaji oleh pasukan panel Institut Penyelidikan Klinikal (ICR), KKM. Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) juga pada 13 Ogos lalu telah membuat keputusan untuk membolehkan vaksin jenis Pfizer ini diberikan kepada kanak-kanak 12 tahun ke atas.

Dari segi perlaksanaannya, kita telah putuskan pemberian vaksin untuk mereka berumur 16 hingga 17 tahun di Sarawak bermula 8 September lalu.

Ini melibatkan dalam lingkungan lebih 74,000 golongan remaja yang akan menerima suntikan vaksin Pfizer. Untuk negeri-negeri lain, secara umumnya bermula pada 20 September 2021 selaras dengan pembukaan sekolah tidak lama lagi.

Apakah hasil dapatan kajian mengenai keberkesanan vaksin setakat ini?

Setakat ini, hasil dapatan ICR mendapati vaksin-vaksin yang diberikan kepada rakyat adalah berkesan. Ia menurunkan kadar kematian sehingga 79 peratus, dan berkesan sehingga 87 peratus dalam mengelak kemasukan ke hospital dan juga ICU. Kes-kes baharu yang dilaporkan juga mengikut kategori kes. Kita tidak lagi melihat kes Covid-19 ini menjadi suatu yang bahaya sehingga mengancam nyawa secara umumnya, apabila sebahagian besar daripada kes jangkitan harian adalah daripada kategori satu dan dua. Tidak lebih daripada dua peratus daripada kategori tiga, empat dan lima yang memerlukan kemasukan ke hospital.

Bagaimana Datuk melihat rutin kehidupan penduduk negara ini selepas lebih 70 peratus rakyat menerima dua dos vaksin menjelang akhir tahun ini?

Perkara ini dibincangkan dalam JKJAV baru-baru ini. Kita merasakan ada sesetengah rakyat apabila negara telah mencapai tahap peratusan vaksinasi yang tinggi, mereka merasakan mereka sudah kebal. Ini perlu diperbetulkan segera. Sekalipun telah divaksin kita masih perlu patuhi SOP. Cuma apabila kerajaan muka melonggarkan SOP, ada beberapa perkara penting yang masih perlu dipatuhi. Elakkan tempat sesak dan perlu pakai pelitup muka. InsyaALLAH sekiranya kita sudah cukup divaksin, Tuhan akan beri perlindungan atas ikhtiar kita.

Jika Thailand telah mengumumkan akan keluarkan vaksin sendiri, Malaysia juga sepatutnya boleh mengeluarkan vaksin. Sejauh mana pelan menghasilkan vaksin Covid-19 dan penyakit lain ini telah berjalan di negara kita?

Ramai yang berharap supaya Malaysia dapat mengeluarkan vaksin sendiri. Itulah yang sedang diusahakan oleh kerajaan sebaik sahaja pandemik melanda.

Malangnya selepas kita lakukan sesi libat urus dengan pihak industri dan pihak akademik, kita dapati Malaysia masih belum mempunyai kapasiti infrastruktur bagi tujuan pembuatan vaksin secara tempatan.

Paling penting, kita belum ada kapasiti dari segi kepakaran untuk melaksanakan pengeluaran itu. Jadi kerana itu, kerajaan telah dengan segera memulakan inisiatif memulakan kapasiti pengeluaran vaksin sendiri.

Pertama dengan memperkasa MGI di bawah MOSTI. Kita telah luluskan hampir RM54 juta keseluruhan untuk melengkapkan kapasiti untuk mengkaji menjujukan genom. Terbaharu, untuk kapasiti mengkaji sehingga 10,000 sampel genom dalam satu-satu masa, RM14 juta telah diperuntukkan.

Kedua, berkait pembelian vaksin, kita beli vaksin dalam jumlah besar iaitu 140 peratus daripada populasi rakyat. Ia melibatkan sehingga 87 juta dos vaksin daripada pelbagai jenis yang membabitlan perbelanjaan lebih RM4 bilion. Sudah tentulah sangat rugi jika kita berbelanja sebanyak RM4 bilion, namun akhir sekali kita hanya menjadi pengguna.

Kita perlu gunakan ruang apabila kita membeli dalam jumlah besar itu, sekurang-kurangnya memperoleh sedikit sebanyak kepakaran. Maka, kerana itu kerajaan telah membuat rundingan dengan pihak Sinovac untuk memadankannya dengan syarikat Pharmaniaga Berhad bagi membolehkan kita mempunyai kapasiti melaksanakan pembotolan. Proses pembotolan dan seterusnya merupakan 50 peratus daripada aturan kerja-kerja dalam industri vaksin ini.

Selain daripada itu, kita juga melibatkan satu lagi syarikat juga untuk melaksanakan kapasiti pembotolan bagi vaksin jenis Sputnik V keluaran Rusia, namun vaksin ini belum mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Terdapat juga insiatif di pihak swasta, misalnya Solution Biologics Sdn Bhd yang mempunyai perjanjian dengan pihak CanSino. Mereka juga melaksanakan pemindahan teknologi pembotolan di Teknologi Park bawah MOSTI.

Selain itu, MOSTI telah berbelanja lebih daripada RM5 juta untuk dua kajian pembangunan vaksin secara tempatan yang dilaksanakan oleh dua kumpulan satu di Universiti Malaya (UM) yang melibatkan pembangunan vaksin jenis asid ribonukleik (mRNA) yang kini berada pada tahap 'proof of concern'. Satu lagi dilaksanakan di Universiti Putra Malaysia (UPM) di bawah satu kumpulan lain.

MOSTI juga dalam proses pembangunan roommate untuk industri vaksin negara melibatkan kerjasama sains dan teknologi pelbagai universiti dari negara lain. Inisiatif yang kita laksanakan ini dengan harapan dalam tempoh dua hingga lima tahun lagi, kita boleh mendapatkan vaksin pertama Malaysia.

Apakah harapan MOSTI terhadap pengurusan Covid-19 yang berbaki empat bulan lagi bagi tahun 2021?

Jika ikutkan jadual kita akan capai sasaran 80 peratus sebelum hujung Oktober ini. MOSTI dipertanggungjawabkan sehingga kita mencapai imuniti kelompok.

Maka, berlandaskan kepada pencapaian yang ada setakat ini, MOSTI sebenarnya sudah mula melaksanakan perancangan untuk serahan tugas. Selepas lebih 80 peratus vaksinasi, dari segi pelaksanaan pemberian vaksin ini akan dilaksanakan oleh pihak KKM.

Jadi mungkin mulai November, tumpuan MOSTI akan lebih kepada teknologi untuk membantu rakyat kita menyesuaikan diri dengan suasana Covid-19 ini.

Kita yakin tidak lama lagi pandemik akan bertukar kepada endamik. Virus ini akan berada untuk jangka masa panjang untuk kehidupan kita.

Tetapi ia tidak lagi sebahaya dahulu. Mungkin hanya seperti denggi dan sebagainya dan kita perlukan penyesuaian teknologi. Mungkin di sektor perladangan misalnya, kita bangunkan dron untuk mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing.

Lebih besar daripada itu, seperti diumumkan Ismail Sabri yang mahu melihat MOSTI memberikan fokus pembangunan vaksin secara tempatan.

Bagaimana pandangan Datuk mengenai pendekatan baharu kerjasama dwipartisan antara kerajaan dan pembangkang yang dikatakan mampu membawa perubahan kepada sistem pentadbiran negara?

Secara institusinya, apa yang dilaksanakan melalui perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan dan PH, untuk permulaannya adalah sesuatu yang baik.

Sekurang-kurangnya kita ada persefahaman tentang perkara-perkara yang asas, kepentingan bahawa kerajaan tidak diganggu gugat agar kerajaan boleh berjalan. Kita hanya berbaki tidak sampai dua tahun sehingga tempoh penggal ini berakhir.

Biarlah ia berjalan dengan baik dalam keadaan perancangan kerajaan dapat dilaksanakan dan manfaatnya sampai kepada rakyat.

Dalam masa sama, ruang yang ada juga telah diberikan untuk membolehkan reformasi yang penting dibuat termasuk dari segi pemberian peruntukan membolehkan ahli parlimen Pembangkang melaksanakan khidmat kepada rakyat.

Ini adalah sesuatu yang baik kerana saya pernah berkhidmat sebagai pembangkang, saya dapat rasa betapa seksanya tidak ada peruntukan.

Dalam masa sama, penglibatan dalam jawatankuasa-jawatankuasa peringkat parlimen, dan pelbagai peringkat lagi bagi membolehkan penyertaan yang lebih lagi daripada pembangkang. Mereka boleh memberi imput yang sangat penting untuk bersama-sama majukan negara, perbaiki keadaan negara kita sebagai sebuah Keluarga Malaysia agar tiada pihak yang terpinggir.

ANEKDOT

'Mungkin isyarat daripada ALLAH SWT kepada saya'

Sebenarnya saya tidak pernah membayangkan bahawa saya akan jadi ahli politik. Latar belakang saya ialah ahli korporat sebagai pembina kapal.

Secara tiba-tiba bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) dan menjadi ahli parlimen. Tidak sampai dua tahun selepas itu terus dilantik sebagai timbalan menteri. Sudah tentu ia pengalaman yang manis untuk saya.

Barangkali ia juga merupakan isyarat daripada ALLAH SWT bahawa pada masa akan datang akan ada tanggungjawab lebih besar yang saya perlu laksanakan dalam perjuangan untuk memajukan negara dan menuju kesejahteraan seluruh rakyat.

Saya beruntung kerana saya berada pada era umat Islam lebih suka bercakap tentang penyatuan ummah berbanding satu ketika dahulu.

Ini penting dalam membentuk perpaduan nasional secara keseluruhannya kerana majoriti rakyat adalah Islam. Jika majoriti tidak mahu bersatu menunjukkan contoh yang baik, bagaimana kita mahu mengajak kaum lain untuk bersatu padu.

Keluarga berkualiti kukuhkan negara

Saya jenis berkeluarga. Yang mementingkan keluarga dan anak-anak. Saya banyak memberi tumpuan kepada pendidikan anak-anak sebab pada saya masa depan kita adalah generasi selanjutnya. Sekiranya kita dapat memastikan keluarga kita menjadi warga yang baik, anak-anak yang baik, sasiah yang baik, jika semua begini, insya-ALLAH kita akan mempunyai negara yang gagah dan kukuh.

Sebagai pemimpin daripada Pas, saya merasakan perlu difahami khususnya umat Islam bahawa pegangan agama yang baik adalah sangat penting dalam membentuk sasiah diri.

Selain kemasyarakat, saya juga selalu dipanggil untuk memberi tazkirah. Sebab itu kadang-kadang orang panggil saya ustaz walaupun saya bukan ustaz.

Namun sebagai seorang yang berada di atas pentas perjuangan Islam, tanggungjawab ini bukan semata-mata kepada mereka yang belajar dalam bidang agama.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim

PROFIL

Datuk Ahmad Amzad Hashim

JAWATAN SEKARANG: Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi

UMUR: 51 tahun (1970)

ASAL: Terengganu

PENDIDIKAN: Sarjana Muda Perakaunan, Universiti Kebangsaan Malaysia

POLITIK:

Ahli Parlimen Kuala Terengganu (Pas)

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Terbukti! Minyak masak peket Malaysia berlambak di Thailand
  2. Membesar dengan minyak masak subsidi dari Malaysia
  3. Di bawah jagaan gengster?
  4. Arab Saudi, UAE dengar rintihan rakyat jelata
  5. Mat Kilau dan pemimpin Melayu