Sila log masuk terlebih dahulu.

Ancaman Covid-19 terhadap remaja

26 September 2021 08:27am | Masa membaca: 4 minit
Sebanyak 67 kematian akibat Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak dan remaja telah dilaporkan sepanjang Januari tahun ini sehingga Isnin lalu. - Foto fail Bernama
Sebanyak 67 kematian akibat Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak dan remaja telah dilaporkan sepanjang Januari tahun ini sehingga Isnin lalu. - Foto fail Bernama
A
A
A

PROGRAM Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja yang dimulakan secara rasmi pada Isnin lalu menyasarkan pembabitan 3.2 juta remaja berusia 12 hingga 17 tahun di negara ini.

Pelaksanaan PICK Remaja dilakukan melalui beberapa kaedah antaranya secara jangkau luar (outreach) ke sekolah atau institusi secara berjadual, suntikan di klinik kesihatan dan hospital serta kaedah jumpa terus (walk-in) di pusat pemberian vaksin (PPV) terpilih di seluruh negara.

SinChew Daily melalui ruangan Lidah Pengarangnya menegaskan betapa perlunya program vaksinasi dijalankan ke atas golongan remaja dalam kadar tempoh yang segera.

“Ini berdasarkan statistik peningkatan jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak berusia 0 hingga 18 tahun di negara ini adalah membimbangkan.

“Daripada 12,620 kes pada 2020, ia telah meningkat kepada 400,668 kes setakat 16 September lalu. Daripada jumlah tersebut, 256,569 kes adalah melibatkan murid sekolah dan 42,381 kanak-kanak prasekolah,” tulis akhbar itu.

Malahan apa yang lebih membimbangkan, sebanyak 67 kematian akibat Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak dan remaja telah dilaporkan sepanjang Januari tahun ini sehingga Isnin lalu.

Jumlah berkenaan meningkat dengan ketara berbanding hanya enam kematian dalam kalangan kanak-kanak dilaporkan pada tahun lalu.

Beberapa negara sudah memulakan langkah menvaksinkan remaja dengan Kanada menjadi negara pertama di dunia membenarkan penggunaan vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNtech terhadap golongan itu yang berusia 12 hingga 15 tahun.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

VAKSINASI

Ulas akhbar itu, sejak pandemik Covid-19 mula menular di Malaysia, kerajaan telah melakukan pelbagai langkah pencegahan demi keselamatan dan kesihatan rakyat jelata, termasuk di kalangan remaja dan kanak-kanak.

“Antaranya ialah menutup sekolah dan mengadakan sesi pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) sebagai langkah untuk murid-murid meneruskan pembelajaran.

“Begitu juga dengan kanak-kanak di taman asuhan kanak-kanak, taman didikan kanak-kanak dan pusat tuisyen. Semuanya diarah tutup sehingga kerajaan bersetuju membenarkan ia dibuka semula.

“Selain itu, kerajaan juga sentiasa meminta ibu bapa agar tidak membawa anak-anak kecil mereka ke kawasan tumpuan ramai seperti pusat membeli-belah,” kata akhbar itu lagi.

Selepas hampir lapan bulan pelaksanaan PICK, Malaysia mencatat sejarah apabila mencapai imuniti kelompok dengan 80 peratus penduduk dewasa lengkap divaksin Selasa lalu.

Selepas berjaya mencapai sasaran imuniti terhadap golongan dewasa, Kementerian Kesihatan kini menghadapi satu lagi cabaran baharu dengan menumpukan perhatian pula ke atas golongan remaja.

Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 Remaja (CITF-A) yang dipengerusikan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali telah menyasarkan 60 peratus remaja berusia antara 12 dan 17 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 pada November ini, dan 80 peratus mendapat dos lengkap sebelum sekolah dibuka pada sesi tahun hadapan.

Bukan sahaja golongan dewasa, vaksinasi ke atas remaja juga diperlukan bagi melindungi mereka daripada varian Delta yang boleh membawa jangkitan lebih teruk.

“Kita telah berjaya mencapai sasaran vaksinasi terhadap golongan dewasa, namun bagi golongan remaja, ia baru langkah permulaan.

“Pelaksanaan PICK Remaja semestinya penting sebagai persediaan untuk pembukaan sekolah pada Oktober ini.

"Semua pihak sama ada pihak kerajaan mahupun ibu bapa perlu memastikan risiko jangkitan di sekolah dapat dikurangkan,” jelas SinChew Daily lagi.

* Ong Boon Teck ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Lebih mudah berambut pendek
  2. Peguam enggan berhujah, Najib mungkin dijatuhi hukuman Selasa?
  3. Tembelang Presiden Ukraine terbongkar
  4. Fahami perubahan budaya politik
  5. Bercerita tentang adil