Sila log masuk terlebih dahulu.

Sungai mangsa kerakusan manusia

28 September 2021 07:16am | Masa membaca: 4 minit
No Image Caption
A
A
A

PENCEMARAN sungai berpunca daripada pelbagai sumber, antaranya air larian daripada guna tanah pertanian, pembuangan sisa pepejal, aktiviti penternakan, perlombongan, pengorekan pasir dan air buangan dari pasar.

Pencemaran turut berpunca dari loji rawatan kumbahan dan pelepasan sisa perindustrian. Kewujudan kilang haram dan kawasan perumahan setinggan di kawasan rizab sungai serta pertambahan penduduk, antara faktor menyumbang kemerosotan kualiti air sungai.

Di Malaysia, jumlah punca pencemar sungai meningkat seiring kepesatan pembangunan dan aktiviti perindustrian. Pertumbuhan pesat sektor perindustrian dan projek pembangunan dijangka terus memberi kesan kepada kualiti sungai sekiranya pihak pemegang taruh tidak memberi perhatian kepada elemen menjaga kelestarian alam sekitar.

Timbul persoalan, sejauh mana sungai akan terus menjadi mangsa kerakusan manusia. Ia cabaran kepada negara bagi memastikan kualiti sungai terjaga, selari dengan peningkatan kualiti hidup masyarakat. Status dan kualiti air sungai perlu dititikberatkan.

Pada 2020, hanya 53 peratus lembangan sungai di Malaysia dikelaskan bersih, 42 peratus tercemar dan bakinya dikategorikan tercemar teruk. Di Johor Bahru sahaja, tahap pencemaran sekurang-kurangnya 16 sungai yang mengalir melalui daerah itu dan Pasir Gudang dikesan semakin kritikal.

Pada 2021, hampir setiap bulan merekodkan aduan sungai dicemari. Pada September, Sungai Tawakal di Kampung Baru Sri Aman, Kempas, Johor dicemari pembuangan sisa kimia industri terjadual berbahaya. Ia diikuti dengan pemberhentian tugas Loji Rawatan Air Sungai Semenyih, Selangor susulan insiden pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Semenyih sehingga menyebabkan 463 kawasan mengalami gangguan bekalan air.

Sebelum itu pada Ogos, berlaku pencemaran Sungai Air Kuning Selatan, Gemencheh, Negeri Sembilan yang berpunca dari ladang ternakan ayam, manakala pada Julai, pelepasan air sisa buangan dari sebuah premis bukan industri berhampiran Sungai Kim Kim di Johor Bahru didakwa menjadi punca utama menyebabkan air sungai berkenaan berubah warna kehitaman dan berbau busuk.

NASIB NELAYAN

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Pencemaran sungai menjejaskan golongan nelayan, khususnya dari segi pendapatan. Dilaporkan seramai 200 nelayan pantai di Kampung Permatang Tepi Laut, Bayan Lepas, Pulau Pinang terjejas mata pencarian, sekali gus menjejaskan hasil pendapatan sehingga 50 peratus setiap kali turun ke laut.

Sungai di Kampung Bagan Sungai Buloh, Jeram, Selangor misalnya, merupakan air sungai yang dahulunya jernih tetapi bertukar hitam akibat perbuatan pihak tertentu yang melepaskan sisa industri ke dalam sungai. Pencemaran berulang kali mengakibatkan hasil pendapatan nelayan yang rata-rata menangkap ikan dan udang di sungai berkenaan terjejas.

Menurut nelayan, biasanya mereka mampu menjaring sekitar 15 kilogram sehari, namun apabila pencemaran berlaku, hendak mendapat satu kilogram udang pun sukar.

Pembangunan lestari dengan mengambil kira kemampanan sungai amat penting bagi memastikan sumber berharga ini terus terpelihara. Justeru, agensi berkaitan harus terus memperkasakan perancangan, pemantauan dan penguatkuasaan udang-undang bagi memastikan sungai di Malaysia kekal bersih.

Tindakan lain termasuklah mengawal dan memantau kegiatan pembuangan sampah ke dalam sungai, penerokaan hutan di hulu sungai dan memberi pendidikan secara berterusan kepada masyarakat.

Penguatkuasaan sahaja tidak cukup bagi memastikan kes pencemaran sungai tidak berulang. Pihak berkepentingan daripada sektor pertanian, perladangan, pembalakan, penternakan dan perikanan, selain industri serta penggerak projek perlu mempunyai kesedaran alam sekitar yang tinggi dan membudayakan kawalan kendiri.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan penduduk atau masyarakat juga perlu memainkan peranan. Ironinya, setiap tindakan diambil perlu mengambil kira elemen kelestarian sungai dan tidak mementingkan keuntungan semata-mata.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah dari Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. [INFOGRAFIK] ‘Negara muflis’
  2. 'Puad tak perlu cari glamor murahan'
  3. Jaga seluar jangan sampai terlondeh!
  4. Di mana gagalnya Muhyiddin?
  5. JPP tak manipulasi keputusan pemilihan PKR