Sila log masuk terlebih dahulu.

Kertas Pandora: Golongan kaya, berkuasa dunia nafi laku kesalahan

06 Oktober 2021
Kertas Pandora yang didedahkan sejak dua hari lalu menggemparkan dunia. Banyak pemimpin tidak dapat menyangkal mempunyai akaun di luar pesisir tetapi menafikan ia terlibat dengan kesalahan termasuk lari cukai. Gambar kecil dari kiri: HASSAN DIAB, ANIL AMBANI, ANDREJ BABIS - Foto AFP
Kertas Pandora yang didedahkan sejak dua hari lalu menggemparkan dunia. Banyak pemimpin tidak dapat menyangkal mempunyai akaun di luar pesisir tetapi menafikan ia terlibat dengan kesalahan termasuk lari cukai. Gambar kecil dari kiri: HASSAN DIAB, ANIL AMBANI, ANDREJ BABIS - Foto AFP
A
A
A

SELEPAS Kertas Pandora atau 'Pandora Papers' didedahkan kepada orang ramai baru-baru ini, beberapa pemimpin negara dan perniagaan menafikan mereka melakukan sebarang kesalahan berhubung akaun-akaun kewangan di pusat-pusat kewangan di luar pesisir.

Antara pemimpin dunia itu ialah Perdana Menteri Republik Czech, Andrej Babis; Raja Jordan, Raja Abdullah II dan pengerusi sebuah konglomerat India, Anil Ambani.

Berikutan pendedahan itu, New Delhi dilaporkan akan melakukan siasatan berhubung kes melibatkan tokoh perniagaan itu.

Menteri Kewangan Pakistan, Shaukat Tarin pula berkata, dirinya dan pegawai-pegawai yang dinamakan dalam Kertas Pandora tersebut akan turut disiasat.

Rusia turut menafikan bahawa terdapat kekayaan yang disembunyikan dalam kalangan 'orang-orang' yang rapat dengan Presiden negara itu, Vladimir Putin.

Ini adalah kerana akhbar Washington Post melaporkan wanita yang dikaitkan dengan Putin menggunakan akaun dana di pusat kewangan di luar pesisir pantai bagi membeli sebuah apartmen di Monaco.

Wanita Rusia itu, Svetlana Krivonogikh dikatakan sebagai pemilik sebuah apartmen yang diperoleh melalui sebuah syarikat kewangan di luar pesisir di Pulau Tortola, Monaco, Caribbean pada April 2003 iaitu beberapa minggu selepas melahirkan seorang anak perempuan.

Kertas Pandora itu mempunyai lebih 11.9 juta rekod dan 2.94 terabait data yang dibocorkan kepada umum tentang wang dan aset-aset yang disembunyikan oleh golongan kaya dan selebriti.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Wang dan aset-aset yang disembunyikan itu menyebabkan agensi penguat kuasa di negara kerakyatan pemilik akaun tersebut gagal dikesan oleh agensi penguat kuasa undang-undang.

Ini mengakibatkan mereka tidak perlu membayar cukai kepada agensi pengutip cukai di negara masing-masing walaupun pembukaan akaun kewangan itu tidak salah di sisi undang-undang antarabangsa.

Justeru, Konsortium Wartawan-Wartawan Penyiasat Antarabangsa (ICIJ) yang berpangkalan di Washington bertindak mendedahkan nama-nama penting dalam Kertas Pandora itu.

Seramai 35 pemimpin dan bekas pemimpin negara serta lebih 330 ahli politik termasuk pegawai-pegawai awam di 91 buah negara dikaitkan dengan akaun pusat kewangan di luar pesisir pantai itu.

Sehubungan itu, pemerintah Jordan, Raja Abdullah II menyatakan baru-baru ini bahawa beliau tidak menggunakan dana daripada perbendaharaan dan peruntukan dalam bajet negara untuk membelanjakan lebih AS$100 juta (RM417.88 juta) bagi membeli rumah-rumah mewah di United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) seperti yang disebut dalam Kertas Pandora.

Raja Abdullah juga menyatakan sudah menjadi kebiasaan dan bukannya satu rahsia lagi baginya memiliki sejumlah rumah dan apartmen mewah dan ia bukan kali pertama 'serangan' dilakukan terhadap Jordan.

Cyprus merupakan salah sebuah pusat kewangan pesisir pantai yang terkenal dalam kalangan golongan kaya dan ternama untuk  membuka akaun mereka. - Foto AFP
Cyprus merupakan salah sebuah pusat kewangan pesisir pantai yang terkenal dalam kalangan golongan kaya dan ternama untuk membuka akaun mereka. - Foto AFP

Tak lari cukai

Perdana Menteri Republik Czezh, Andrej Babis turut menafikan beliau melakukan sebarang kesalahan selepas Kertas Pandora mendedahkannya mempunyai hartanah bernilai AS$22 juta (RM91.93 juta) dekat Cannes, Perancis.

Babis menyatakan dalam satu perbahasan di televisyen di negara itu baru-baru ini bahawa beliau merupakan seorang bilionair sebelum memasuki dunia politik dan wangnya yang disimpan di dalam sebuah bank di negara itu sebenarnya telah dicukai.

Bekas Perdana Menteri Lubnan, Hassan Diab turut menafikan melakukan sebarang kesalahan selepas Kertas Pandora itu mendedahkan bahawa beliau mengambil bahagian dalam menubuhkan sebuah syarikat pada tahun 2015 dan memiliki sejumlah saham.

Pejabat bekas perdana menteri itu berkata, bahawa syarikat itu tidak menjalankan sebarang aktiviti sejak itu ditutup dan beliau telah menjual saham-sahamnya.

Sementara itu, seorang peguam kepada Anil Ambani iaitu Pengerusi Relinace Group pula menyatakan bahawa Ambani merupakan seorang pembayar cukai di India.

Beliau juga mendedahkan kepada pihak berkuasa negara itu tentang cukai-cukainya.

Ambani dan wakil-wakilnya dilaporkan dalam Kertas Pandora memiliki sekurang-kurangnya 18 syarikat di Jersey, Kepulauan Virgin milik British dan Cyprus.

Sebahagian daripada syarikat itu dikatakan telah membuat pinjaman dan melabur sekurang-kurangnya AS$1.3 bilion (RM5.43 bilion).

Kementerian Kewangan India pula dikatakan akan menyiasat dakwaan yang didedahkan oleh Kertas Pandora itu. - Agensi

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Larangan perhimpunan, kempen fizikal PRN Melaka 'canggung dan pelik'
  2. Perlu buka akaun CDS, Bank sebelum melabur
  3. Insentif teknologi hijau domestik
  4. Kadar PGK pasca Covid-19 perlu ditangani
  5. Perkenal semula skim bantuan niaga untuk OKU
default