Sila log masuk terlebih dahulu.

Kuasa suara anak muda di Iraq

10 Oktober 2021



Poster memaparkan calon pilihan raya dipasang di kebanyakan laluan utama di Baghdad. - AFP
Poster memaparkan calon pilihan raya dipasang di kebanyakan laluan utama di Baghdad. - AFP
A
A
A

IRAQ mengadakan Pilihan Raya Parlimen untuk kali kelima pada Ahad sejak bekas Presiden, Saddam Hussein digulingkan ekoran serangan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat ke atas negara itu pada 2003.

Pengundian awal pilihan raya itu telah berlangsung beberapa hari lalu.

Apa yang menarik pada kali ini ialah pilihan raya itu yang diadakan beberapa bulan lebih awal bukan disebabkan oleh krisis politik, namun ia berlangsung susulan kompromi bersama golongan muda yang melakukan protes besar-besaran di bandar-bandar Iraq pada 2019.

Ketika itu, siri tunjuk perasaan tersebut diadakan bagi membantah gejala rasuah, kadar pengangguran dan keruntuhan kewibawaan perkhidmatan awam serta pengaruh Iran ke atas negara berkenaan.

Ratusan dilaporkan terkorban dalam protes itu manakala ramai aktivis antikerajaan terbunuh, puluhan ribu lagi cedera, sejumlah aktiviti diculik atau ditakut-takutkan dengan terdapat dakwaan bahawa kumpulan bersenjata pro-Iran mendalangi insiden keganasan.

Pilihan raya itu juga diadakan bagi memuaskan hati golongan muda setelah mereka kecewa dengan gaya politik lama di negara tersebut yang tidak membawa banyak perubahan di Iraq.

Beberapa peraturan baru pilihan raya Parlimen juga telah dirangka dengan menambahkan bilangan kawasan pemilihan dan para pengundi buat pertama kalinya akan memilih calon individu berbanding parti.

UNDI ANAK MUDA

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Bagaimanapun, calon pilihan raya boleh bertanding dengan mewakili parti atau perikatan parti politik yang bermakna rangkaian politik tradisional masih menjadi dominan di negara berkenaan.

Walaupun diadakan lebih awal, terdapat desas-desus bahawa golongan muda yang mencetuskan pilihan raya tersebut tidak mahu menunaikan tanggungjawab mereka.

Anak-anak muda di bandar Nasiriyah dilaporkan enggan mengundi kerana ada di antara mereka menganggap pilihan raya yang diadakan itu dicemari penipuan.

Seorang anak muda lulusan universiti tetapi masih menganggur memberitahu, dia berasa bangga kerana suara bantahan mereka akhirnya mendapat maklum balas dan didengari oleh kerajaan.




Seorang pemuda mendaftar untuk mendapatkan kad mengundi di bandar Najaf pada bulan lalu. - AFP
Seorang pemuda mendaftar untuk mendapatkan kad mengundi di bandar Najaf pada bulan lalu. - AFP

Ketika ini, kritikan semakin meningkat terhadap Perdana Menteri, Mustafa al-Kadhimi, 54, selepas dilaporkan enggan untuk membentuk satu perikatan sehingga menyebabkan pelbagai tafsiran dibuat berhubung tindakannya.

Sebelum ini, beliau pernah berjanji untuk mengadakan satu pilihan raya yang adil dan bebas.

Beliau dilantik memegang jawatan itu untuk membentuk kerajaan oleh Presiden Barham Salih pada 2020.

Mustafa menggantikan Adel Abdul Mahdi, 79, yang meletakkan jawatan selepas kumpulan anak muda di Iraq mengetuai protes untuk menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap sistem pentadbiran negara berkenaan.

Iraq merupakan negara pengeluar minyak kedua terbesar di dunia seperti disenaraikan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), namun satu pertiga rakyatnya masih hidup dalam kemiskinan.

Pemilihan itu diramalkan tidak akan membawa sebarang perubahan berikutan ramai aktivis mengambil langkah boikot manakala rekod pengundi yang keluar mengundi dijangka menurun.

Seramai 25 juta pengundi di negara itu yang mempunyai 40.2 juta populasi dijangka mengundi pada pilihan raya tersebut.

Sebanyak 60 peratus daripada penduduk Iraq berumur di bawah 25 tahun.

Lebih 3,240 termasuk 950 calon wanita bertanding dalam pilihan raya tersebut.

Satu perempat daripada 329 kerusi parlimen itu diperuntukkan kepada wanita dan sembilan kerusi lagi untuk golongan minoriti termasuk Kristian dan Yazidi.

Syiah mewakili 60 peratus penduduk Muslim manakala golongan Sunni berjumlah kira-kira 32 sehingga 37 peratus di negara itu.

Kira-kira 15 hingga 20 peratus lagi penduduk negara itu ialah Kurdis iaitu sebuah kumpulan etnik bukan Arab yang tinggal di utara Iraq.




ADEL ABDUL MAHDI
ADEL ABDUL MAHDI

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Larangan perhimpunan, kempen fizikal PRN Melaka 'canggung dan pelik'
  2. Perlu buka akaun CDS, Bank sebelum melabur
  3. Insentif teknologi hijau domestik
  4. Kadar PGK pasca Covid-19 perlu ditangani
  5. Perkenal semula skim bantuan niaga untuk OKU
default