Sila log masuk terlebih dahulu.

Muslim Bengali bakal senasib pelarian Rohingya?

14 Oktober 2021
Kebanyakan keluarga Muslim yang diusir terpaksa tinggal bersesak di bawah pondok sementara tanpa kelengkapan asas yang mencukupi.
Kebanyakan keluarga Muslim yang diusir terpaksa tinggal bersesak di bawah pondok sementara tanpa kelengkapan asas yang mencukupi.
A
A
A

AMINA Khatoon kini sedang sarat hamil dan hanya menunggu masa untuk melahirkan anaknya dalam masa terdekat.

Sejak seminggu lalu, wanita itu berdepan kesukaran kerana terpaksa menggunakan 'tandas' dengan lebih kerap.

Tetapi, Amina tidak mempunyai akses untuk kemudahan asas itu di kem penempatan sementara penduduk Islam yang diusir dari perkampungan di Dhalpur, daerah Sipajhar di negeri Assam, India yang telah didiami mereka sejak lebih 40 tahun lalu.

Perkampungan itu dirobohkan atas alasan untuk menjayakan Projek Pertanian Moden Gorukhuti yang dicadangkan kerajaan negeri melibatkan kawasan seluas 10,359 hektar yang akan diusahakan golongan muda.

“Pengusiran peringkat pertama dilakukan di Dhalpur 1 pada 20 September lalu. Notis dikeluarkan dua hari sebelum itu,” kata penduduk dikenali sebagai Sohabuddin Ahmed, 28.

Menurutnya, situasi menjadi tidak terkawal ketika pengusiran peringkat kedua di Dhalpur 3 pada 23 September lalu berikutan notis dikeluarkan pada saat akhir hingga mencetuskan bantahan penduduk yang meminta tempoh itu dilanjutkan.

Insiden pertempuran telah tercetus apabila pasukan keselamatan dikerah untuk menyuraikan penduduk yang kebanyakannya adalah Muslim Bengali yang turut meragut dua nyawa termasuk seorang remaja lelaki manakala beberapa yang lain cedera.

Keluarga Muslim itu kemudiannya diusir ke kawasan lapang di Dhalpur 3 dan dibiarkan tanpa bantuan perubatan, bekalan air minuman dan kemudahan asas lain.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Anowara Begum, 41, yang kehilangan rumah, kedai dan harta benda miliknya turut berkongsi pengalaman menyedihkan kerana terpaksa tinggal di bawah pondok kecil berukuran 7.5 meter yang dibina dengan sisa runtuhan kediaman asalnya bersama lapan ahli keluarga yang lain.

“Perkara paling saya khuatiri adalah anak saya tidak dapat kembali bersekolah. Bagaimana dia mahu lulus dalam peperiksaan?” katanya sambil menambah anaknya yang merupakan pelajar gred 10 itu kehilangan kesemua buku sekolahnya ketika rumah mereka dirobohkan tanpa perikemanusiaan.

Jelasnya, mereka juga tidak lagi dibenarkan kembali ke kampung tersebut.

“Tiada siapa boleh pulang ke sana. Mereka tidak mahu anak kami ke sekolah atau kami bekerja. Mereka tidak mahu lihat kami teruskan hidup seperti orang lain,” ujarnya dengan hiba.

Sohabuddin melihat langkah pengusiran itu bukan semata-mata untuk membersihkan tanah milik kerajaan sebaliknya ia adalah satu bentuk penindasan terhadap komuniti Muslim.

DIANGGAP 'PENDATANG HARAM'

Tindakan pengusiran tanpa belas kasihan itu dipercayai sebagai sebahagian daripada usaha pembersihan etnik seperti yang dilakukan pasukan keselamatan Myanmar terhadap penduduk etnik Rohingya di Rakhine.

“Sehingga kini, keluarga yang diusir itu tidak diberikan tempat tinggal baharu. Tidak ada pemakluman secara bertulis tentang status tanah yang menjadi tapak kem penempatan sementara tersebut.

“Kawasan itu terdedah dengan banjir. Keluarga yang tinggal di situ juga berisiko dihanyutkan air sungai,” kata Setiausaha Agung Kesatuan Pelajar Minoriti di Assam, Abjalur Mehdi.

Difahamkan, kebanyakan keluarga mendakwa mereka diarahkan untuk berpindah berhampiran dengan sungai.

Langkah pengusiran itu dibuat selepas etnik nasionalis Assam mendakwa tanah dan budaya mereka kononnya berdepan ancaman daripada 'pendatang haram' dari Bangladesh yang merujuk kepada komuniti Muslim Bengali tersebut.

“Pada hari ini, setiap penduduk yang bertutur bahasa Bengali akan dianggap sebagai orang asing walaupun nama mereka tersenarai dalam Daftar Penduduk Kebangsaan (NRC) malah ada yang gelar golongan itu sebagai pendatang Bangladesh,” jelas Abjalur lagi.

Pada 2019, negeri Assam menguatkuasakan NRC yang memerlukan penduduk menunjukkan dokumen berkenaan bagi membuktikan kerakyatan mereka.

Pelaksanaan NRC itu bagaimanapun menyebabkan nama kira-kira 1.9 juta penduduk tercicir daripada senarai diterbitkan pada Ogos 2019.

Dakwaan pemerintah sememangnya menyasarkan Muslim Bengali yang meliputi majoriti daripada 12 juta penduduk Muslim daripada 32 juta populasi di negeri itu semakin jelas menerusi ciapan berbentuk provokasi yang dikongsi Ketua Menteri, Himanta Biswa Sarma.

Selepas pengusiran pertama pada 20 September lalu, Sarma dengan selamba menzahirkan rasa gembira dan memuji pihak berkuasa serta pentadbir daerah yang melakukan tindakan itu termasuk merobohkan sebuah masjid.

Sebelum ini, pentadbiran Sarma sering mengeluarkan kenyataan berbaur sentimen anti-Islam.

Pada Jun lalu, beliau dengan lantang menuding jari menyalahkan komuniti Islam di negeri itu kerana mencetuskan masalah sosial dan hidup dalam kemiskinan hanya kerana tidak mengamalkan kaedah perancang keluarga.

Sementara itu, penduduk kampung berhampiran juga mula bimbang akan berdepan tindakan sama walaupun mereka belum menerima sebarang notis.

“Pihak berkuasa ada bertanya mengapa kami belum mengosongkan kawasan ini sedangkan tiada arahan dikeluarkan. Lebih baik kami pindah dahulu sebelum dipaksa berbuat demikian," kata penduduk, Niz Salmara yang menjelaskan jengkaut telah mula ditempatkan di sekitar rumah penduduk kampung sebagai isyarat jelas untuk langkah perobohan seterusnya. - Agensi

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Larangan perhimpunan, kempen fizikal PRN Melaka 'canggung dan pelik'
  2. Perlu buka akaun CDS, Bank sebelum melabur
  3. Insentif teknologi hijau domestik
  4. Kadar PGK pasca Covid-19 perlu ditangani
  5. Perkenal semula skim bantuan niaga untuk OKU
default