Sila log masuk terlebih dahulu.

Menanti khabar gembira penyelesaian masalah air

14 Oktober 2021
Lembah Klang memang tengah kusut dan hangat tentang masalah ketiadaan air disebabkan penambahbaikan dan penyelenggaraan aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1). Foto Bernama
Lembah Klang memang tengah kusut dan hangat tentang masalah ketiadaan air disebabkan penambahbaikan dan penyelenggaraan aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1). Foto Bernama
A
A
A

SEKARANG seluruh Lembah Klang memang tengah kusut dan hangat tentang masalah ketiadaan air disebabkan penambahbaikan dan penyelenggaraan aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1).

Memang eloklah Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ambil langkah segera untuk selesaikan masalah tersebut bagi mengelak musibah yang lebih buruk pada masa hadapan.

Sekurang-kurangnya Air Selangor buat kerja mereka dan berusaha untuk pastikan kira-kira enam juta penduduk di Lembah Klang yang merupakan nadi penting di negara ini dapat bekalan air secara berterusan.

Tetapi seperti biasa, kecaman demi kecaman menimpa syarikat utiliti itu. Golongan peniaga marah kerana mereka tidak dapat mencari rezeki dan bergantung sepenuhnya kepada air. Rakyat pula marah kerana susah hendak mandi untuk pergi kerja dan memasak.

Masalah air memang memeningkan kepala semua orang dan paling mencabar apabila isu air dijadikan sebagai modal politik.

Ini kerana pelaburan untuk menaik taraf dan membina infrastruktur air sangat tinggi. Sebarang usaha untuk menaikkan tarif air boleh memberi kesan besar kepada sesebuah kerajaan.

Untuk rekod, berbanding dengan kos-kos utiliti seperti elektrik dan telekomunikasi, air merupakan yang paling murah iaitu 57 sen bagi satu kubik meter air untuk negeri Selangor, sedangkan kos sebenar yang sepatutnya dibayar oleh rakyat ketika ini adalah sebanyak RM1.40 hingga RM1.57 sen bagi satu kubik meter air.

RIZAB AIR RENDAH

Walaupun Malaysia merupakan sebuah negara yang boleh dikatakan mewah dengan bekalan air tetapi air yang ada perlulah dirawat terlebih dahulu bagi menjamin kualiti dan keselamatannya.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Ada tiga isu besar melibatkan air di Selangor. Pertama, kadar rizab airnya rendah. Kedua, tiada sambungan paip daripada sumber-sumber yang lain dan ketiga, terdapat banyak isu perundangan yang perlu diselesaikan untuk menyediakan sesuatu infrastruktur air.

Bagaimanapun, keadaan di Selangor tidaklah seburuk disangka kerana jika hendak dibandingkan negeri-negeri lain, keadaan mereka lebih parah.

Difahamkan, Air Selangor sudah memulakan projek pembinaan Loji Rasau yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2024. Projek itu mengambil masa yang lama kerana ia juga berdepan dengan pelbagai cabaran tetapi uniknya, ia bakal mengubah landskap industri air pada masa depan.

Kebiasaannya, loji air dibina di kawasan hulu sungai tetapi loji tersebut dibina di kawasan hilir sungai dan air yang diambil akan ditempatkan di dalam kolam-kolam untuk menjalani proses rawatan.

Loji tersebut dijangka memberi manfaat besar terutama kepada penduduk sekitar Klang yang selama ini mendapat bekalan air dari Sungai Selangor.

Dengan adanya model loji berkenaan, ia mungkin dapat dilaksanakan di tempat-tempat lain pada kos yang lebih rendah.

Selain itu, kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM2.92 bilion diperuntukkan dalam Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) untuk kelestarian alam sekitar dan air, Di bawah agenda Mempertingkat Kemampanan Tenaga dan Mentransformasi Sektor Air, kerajaan menyasarkan untuk memastikan 98 peratus liputan akses kepada air bersih dan selamat di luar bandar dan 10 Kajian Jumlah Beban Harian Maksimum dijalankan untuk sungai kritikal.

Selama ini, tiada peruntukan yang tinggi diberikan untuk industri air, namun dengan peruntukan yang disediakan dalam RMK12 menunjukkan bahawa kerajaan sedar air merupakan satu aset yang amat penting kepada negara.

Bagaimanapun, rakyat juga perlu bersedia untuk menerima hakikat bahawa tarif air pada masa depan tidak boleh lagi dikekalkan sama seperti sekarang.

Jika tidak, kita akan terus berhadapan dengan masalah yang sama untuk tahun-tahun yang akan datang.

* Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Larangan perhimpunan, kempen fizikal PRN Melaka 'canggung dan pelik'
  2. Perlu buka akaun CDS, Bank sebelum melabur
  3. Insentif teknologi hijau domestik
  4. Kadar PGK pasca Covid-19 perlu ditangani
  5. Perkenal semula skim bantuan niaga untuk OKU
default