Sila log masuk terlebih dahulu.

Rakyat Lubnan tak mampu beli petrol

22 Oktober 2021
Kekurangan bekalan minyak menyebabkan ramai pengguna kenderaan beratur untuk mengisi petrol di Beirut sejak Ogos lalu. - AFP
Kekurangan bekalan minyak menyebabkan ramai pengguna kenderaan beratur untuk mengisi petrol di Beirut sejak Ogos lalu. - AFP
A
A
A

KRISIS mata wang dan harga petrol yang tinggi menyebabkan budaya memiliki serta menggunakan kereta peribadi untuk pelbagai tujuan dalam kalangan penduduk Lubnan semakin ' lenyap 'di negara itu.

Sebelum krisis ekonomi melanda, penduduk negara tersebut terkenal kerana mempunyai minat tinggi terhadap kereta manakala bilangan mereka yang memiliki lesen memandu juga sangat tinggi.

Ketiadaan sistem pengangkutan awam yang cekap juga mendorong munculnya budaya pemilikan kereta peribadi sehingga seisi rumah mempunyai pelbagai jenis kereta untuk kegunaan mereka.

Bagaimanapun, sejak tahun 2019, krisis kewangan yang semakin teruk di Lubnan telah menyebabkan petrol tidak lagi mampu untuk dibeli sekerap yang boleh bagi kebanyakan penduduk Lubnan.

Deretan panjang kenderaan yang menunggu giliran di stesen-stesen minyak akibat krisis ekonomi dan kekurangan bahan bakar itu menyebabkan sejumlah orang tidak mampu lagi pergi bagi mengisi petrol untuk kereta mereka.

Menurut Agensi Berita Kebangsaan Lubnan, harga minyak dinaikkan kira-kira 25 peratus oleh kerajaan negara tersebut pada Rabu lalu sekali gus menyebabkan subsidi terhadap semua barangan berasaskan minyak ditarik balik.

Kenaikan itu mengakibatkan 20 liter petrol jenis 98 dijual pada harga kira-kira AS$15 (RM62.37) manakala pengumuman peningkatan harga itu turut memberi kesan kepada penjualan gas serta diesel di negara tersebut.

Ini adalah kerana gas digunakan untuk tujuan memasak dan diesel pula merupakan bahan pembakar untuk generator peribadi ekoran masalah bekalan elektrik sering terputus disebabkan oleh krisis ekonomi.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Ketika kenaikan itu berlaku, harga pound Lubnan dijual pada kadar 20,500 untuk satu dolar Amerika Syarikat (RM4.16).

Tuk-Tuk (dua dari kanan) kini menjadi pengangkutan awam yang popular ekoran kenaikan harga minyak di Lubnan. - Foto AFP
Tuk-Tuk (dua dari kanan) kini menjadi pengangkutan awam yang popular ekoran kenaikan harga minyak di Lubnan. - Foto AFP

Kenaikan harga itu juga mencetuskan protes di Beirut, selatan dan utara Lubnan dan terdapat desakan supaya harga gaji minimum dinaikkan.

Tahap kehidupan pula semakin merosot dengan lebih separuh penduduknya terjerumus ke dalam kancah kemiskinan ekoran krisis tersebut.

MATA WANG MEROSOT TERUK

Mata wang negara tersebut pula kehilangan nilai lebih 90 peratus di pasaran gelap manakala simpanan asingnya kian menyusut dan ia turut menghadapi masalah kekurangan bekalan ubat-ubatan serta barangan-barangan asas keperluan.

Berikutan kenaikan harga petrol, tuk-tuk, basikal, bas dan menumpang kereta untuk pergi ke satu-satu tempat menjadi popular dalam kalangan penduduk ekoran harga tambang teksi yang tinggi.

"Sebelum krisis berlaku, saya bergantung kepada kereta milik keluarga dan teksi tetapi kini semuanya terlalu mahal (ekoran kenaikan harga minyak)," kata seorang wanita, Grace Issa yang berusia 23 tahun kepada AFP.

Satu-satunya pilihan untuknya pergi ke tempat kerja yang terletak kira-kira 20 kilometer dari rumahnya adalah dengan menaiki bas yang dikendalikan oleh perkhidmatan pengangkutan Hadder.

Terdapat lebih dua juta kereta di negara yang mempunyai mempunyai kira-kira enam juta penduduk itu.

Import kereta juga jatuh sehingga 70 peratus sejak lebih dua tahun lalu kerana penduduk Lubnan tidak mampu untuk membelinya dengan menggunakan mata wang tempatan.

Bagi menangani masalah kenaikan itu, Boutros Karam, 26, dan tiga rakannya menubuhkan perkhidmatan pengangkutan Hadder yang menyediakan pengangkutan untuk kegunaan orang ramai di sepanjang lebuh raya pantai utara negara tersebut.

Bas itu dilengkapi dengan wi-fi, perkhidmatan pengesanan dan mempunyai jadual perjalanan serta digunakan oleh 60 peratus pengguna wanita yang sebelum ini kerap mengadu gangguan seksual ketika menggunakan bas serta van awam.

Menurut Karam, bas yang digunakan itu adalah dari jenis model lama tetapi dia bersama tiga rakannya menyediakan perkhidmatan tersebut berikutan krisis harga minyak sehingga menyebabkan ramai penduduk tidak mampu untuk menggunakan teksi atau kereta sendiri.

POPULARITI TUK-TUK

Dalam pada itu, di bandar tepi pantai, Batroum iaitu sebuah lokasi pelancongan yang terkenal semasa musim panas, tuk-tuk menjadi popular dalam kalangan pelancong dan penduduk tempatan.

Menurut Toni Jerjes yang menguruskan perkhidmatan tuk-tuk berkata, krisis ekonomi itu telah menyebabkan cara penduduk memilih jenis pengangkutan yang perlu mereka naiki berubah.

Justeru, katanya, tuk-tuk menjadi popular kerana harganya yang murah dan ia boleh tiba ke destinasi yang hendak ditujui dengan cepat.

Seorang lelaki yang pernah berkempen untuk menggalakkan penggunaan basikal di bandar Tripoli, Natheer Halawani berkata, pada akhirnya krisis ekonomi menyebabkan lebih ramai orang yang membuat keputusan untuk mengayuh basikal di jalan-jalan raya. - Agensi

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Pejuang-Amanah jika gabung mampu raih undi
  2. Pastikan kerajaan lunaskan janji
  3. Tolak konspirasi cetuskan kebencian
  4. Negara kaya bolot vaksin punca kemunculan Omicron?
  5. Kos kelengkapan kahwin turut terkesan