Sila log masuk terlebih dahulu.

'Setujukah UMNO jika Pas letak syarat tidak boleh guna lambang BN?'

31 Oktober 2021 02:39pm | Masa membaca: 4 minit
Gambar kecil: Misbahul Munir Masduki
Gambar kecil: Misbahul Munir Masduki
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Misbahul Munir Masduki mempersoalkan niat UMNO meminta Pas menggunakan lambang parti sendiri dan bukan Perikatan Nasional (PN), bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebagai syarat kerjasama dua parti Melayu itu.

Beliau berkata, sekiranya UMNO sanggup meletakkan syarat itu atas alasan memperkukuhkan semangat permuafakatan Muafakat Nasional (MN), adakah parti itu sanggup meninggalkan penggunaan lambang Barisan Nasional (BN) pada PRN Melaka sekiranya Pas pula meletakkan syarat sedemikian.

Jelas beliau, sekiranya Pas mahu meletakkan tekanan terhadap UMNO, Pas boleh sahaja menggunakan alasan persepakatan MN tidak melibatkan parti-parti lain dalam BN seperti MCA dan MIC untuk mewujudkan 'syarat kerjasama' tidak masuk akal sebegitu.

"Yang timbulkan masalah ini (lambang pilihan raya) adalah BN, bukan Pas. Satu lagi, kalau BN mahu bekerjasama dengan Pas mengapa letak syarat?

"Kalau begitu, Pas pun boleh juga letak syarat, sebab MN adalah antara Pas dan UMNO dan bukan dengan MIC dan MCA...Setujukah UMNO hanya boleh guna lambang UMNO dan bukan BN pada PRN Melaka?

"Jangan hanya kerana Pas bersama PN, jadi UMNO sanggup letak syarat 'berat-berat' tidak boleh guna lambang selain 'bulan' untuk muktamadkan kerjasama," katanya kepada Sinar Premium pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang memutuskan parti itu bersedia untuk bekerjasama dengan Pas di bawah semangat MN sekiranya parti itu memutuskan untuk menggunakan lambang pilihan raya parti sendiri bagi menghadapi PRN Melaka, 20 November ini.

Pendirian badan pembuat dasar tertinggi UMNO itu dikemukakan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan selepas satu mesyuarat MKT parti diadakan pada 28 Oktober lalu.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Berikutan syarat ditetapkan UMNO itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man kemudiannya mengesyorkan semua parti yang mahu bekerjasama dengan parti itu supaya menggunakan lambang Pas iaitu 'bulan' bagi menghadapi PRN Melaka.

Terkini, Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjelaskan PN masih belum membuat keputusan untuk menggunakan lambang pilihan raya apa dan akan membincangkan perkara itu dalam masa terdekat.

Isu penggunaan lambang pilihan raya mencetuskan polemik dalam kalangan Perikatan Nasional (PN), Pas dan UMNO ketika ini.
Isu penggunaan lambang pilihan raya mencetuskan polemik dalam kalangan Perikatan Nasional (PN), Pas dan UMNO ketika ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal, 16 November.

Sehubungan itu, Misbahul Munir yang juga Ketua Penerangan Pas Perak menegaskan parti Islam itu sebenarnya tiada masalah bekerjasama dengan sesiapa, asalkan tiada sebarang syarat 'berat-berat' diletakkan.

Hal ini kerana sekiranya syarat 'berat-berat' dijadikan sandaran untuk kerjasama, maka Pas terpaksa bincang di peringkat dalaman dengan parti tidak boleh terus akur dengan kehendak UMNO.

"Kita ada organisasi tersendiri, lagi pun dalam Perlembagaan Pas disebut, perkara yang menentukan dasar parti termasuk penggunaan lambang pilihan raya, perlu diputuskan oleh organisasi pembuat dasar tertinggi iaitu Majlis Syura Ulamak.

"Saya setuju pandangan kedu-dua pihak, sama ada PN dan BN, perlu menyerahkan kepada Pas untuk membuat keputusan menggunakan lambang pilihan raya.

"Sebarang ketetapan yang mendahului pendirian Pas seolah-olah memberi gambaran mereka tidak menghormati Pas," katanya.

Di sebalik polemik berkaitan isu lambang pilihan raya yang tercetus antara Pas, PN dan UMNO, Misbahul Munir berpandangan kaedah permuafakatan paling penting perlu dicapai semua parti berkenaan adalah mengelakkan pertembungan lebih dua penjuru.

Tambah beliau, Pas komited untuk tidak meletakkan sebarang calon di setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi UMNO dan Bersatu.

"Kalau semua pakat bersetuju (bekerjasama), Bersatu diberikan ruang bertanding tiga atau empat kerusi, Pas pun dapat sedikit kerusi. UMNO pastinya akan bertanding lebih banyak kerusi DUN.

"Jadi, apa susah sangat hendak terima Bersatu? Bersatu bukan mahu bertanding banyak kerusi pun.

"Pas pun, walaupun kami sedar kekuatan parti di Melaka, janganlah sampai langsung tidak diberi kerusi. Tidak betul suruh penyokong Pas undi BN tetapi kami sendiri tiada kerusi untuk bertanding," katanya.

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada Sabtu penentu pendirian muktamad Pas?
  2. Parti politik perlu ‘zon bebas ego’
  3. Kit Siang, Wan Azizah mungkin berehat?
  4. Syarat Puteri Gunung Ledang
  5. Utamakan sekuriti makanan dalam Bajet 2023