Sila log masuk terlebih dahulu.

Muda dan menyerlah
Artikel percuma

Sembilan calon muda bawah 30 tahun bersaing rebut kerusi DUN Melaka

[MULTIMEDIA] Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bukan sahaja menampilkan calon heavyweight yang disegani, malah turut mencalonkan muka baharu dan muda yang tidak dikenali sebelum ini.

Salah salah seorang daripadanya yang mendapat perhatian ramai ialah calon PKR untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai, Farzana Hayani Mohd Nasir.

Nama mahasiswa berusia 21 tahun itu menjadi sorotan media di seluruh negara sebaik sahaja penamaan calon selesai pada Isnin.

Bagaimanapun, Farzana Hayani bukanlah satu-satunya calon muda yang juga muka baharu diketengahkan dalam PRN Melaka.

Terdapat lagi beberapa muka baharu dan muda yang diketengahkan oleh parti bertanding dalam pilihan raya negeri itu.

Antaranya ialah Muhammad Khomeini Kamal (PH-Amanah), Fong Khai Ling (PN-Gerakan), Muhammad Danish Zainudin (PH-DAP) dan Leong Hui Ying (BN-MCA).

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Terdapat sembilan orang calon muda berusia 30 tahun dan ke bawah yang diketengahkan buat julung-julung kalinya dalam PRN Melaka.

Mereka ini mewakili sekitar 8.04 peratus daripada 112 calon yang bertanding merebut kerusi DUN di kawasan masing-masing pada 20 November ini.

Daripada jumlah tersebut, empat daripadanya mewakili Perikatan Nasional (PN) manakala empat lagi mewakili Pakatan Harapan (PH) dan satu mewakili Barisan Nasional (BN).

Masing-masing datang dengan kredibiliti dan kelayakan tersendiri, terutamanya dari segi latar belakang pendidikan.

Ada yang mempunyai diploma dan ada juga yang mempunyai ijazah sarjana muda untuk dijadikan panduan dan rujukan bagi memandu pentadbiran negeri jika menang.

Malah, salah seorang daripada calon muda yang diketengahkan itu juga juga mempunyai ijazah sarjana dari universiti luar negara.

Dari segi pengalaman pula, ada sebahagian daripada mereka telah biasa menguruskan hal berkaitan rakyat di kawasan masing-masing sejak sebelum PRN Melaka lagi.

Contohnya calon N25 RIM, Prasanth Kumar Brakasam yang telah didedahkan dengan politik dan kerja-kerja membantu rakyat sejak berusia 19 tahun.

Malah, beliau juga pernah dilantik sebagai Setiausaha Khas Hal Ehwal Masyarakat kepada bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari sewaktu PH memerintah Melaka dahulu.

Namun, pilihan tetap di tangan rakyat Melaka sama ada mereka mahu memilih calon-calon tersebut sebagai wakil rakyat ataupun sebaliknya.

Penyertaan calon-calon muda itu dalam PRN Melaka adalah sesuatu yang harus dipuji kerana sedikit sebanyak ia mengubah landskap politik di negara kita yang masih lagi didominasi oleh golongan berusia.

Kehadiran mereka sesuai dengan kehendak zaman yang mana orang ramai mutakhir ini mula menerima pemimpin muda untuk meneraju negara.

Justeru, peluang perlu diberikan kepada calon-calon muda yang bertanding dalam PRN Melaka itu.

Memetik kata-kata Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor, calon muda perlu diperbanyakkan kerana ia selaras dengan perubahan segmen masyarakat yang mana sekitar dua juta pengundi baharu didaftarkan antara 2013 hingga 2017 di negara ini.

Malah, trend di beberapa negara maju juga menunjukkan kebanyakan pemimpin muda mula mendapat tempat di peringkat yang lebih tinggi, sesuai dengan dinamika dan kompleksiti masyarakat yang banyak berubah, tambahnya.

Penyertaan calon muda dalam pilihan raya mula menyerlah di Malaysia sejak berlangsungnya Pilihan Raya Umum (PRU) ke -14 pada 2018.

Nama-nama seperti Syed Saddiq Abdul Rahman (Ahli Parlimen Muar), Prabakaran (Ahli Parlimen Batu dan Young Sefura Othman (Ahli Dewan Undangan Negeri Ketari) ialah antara calon muda yang diterima rakyat, sekali gus menjadi wakil rakyat di kawasan ditandingi.

Biarpun sering dicop sebagai mentah dan cetek pengalaman, namun memainkan memainkan peranan penting dalam corak dan aspirasi baharu dalam pentadbiran negara atau negeri.