Sila log masuk terlebih dahulu.

Mampukah anak Gaddafi raih sokongan jadi Presiden Libya?

17 November 2021
Seif al-Islam (kiri) yang bertanding menjadi calon Presiden Libya kini mendapat 
perhatian pelbagai pihak di negara itu. - Foto AFP
Seif al-Islam (kiri) yang bertanding menjadi calon Presiden Libya kini mendapat perhatian pelbagai pihak di negara itu. - Foto AFP
A
A
A

MAMPUKAH Seif al-Islam yang dikehendaki oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kerana melakukan jenayah perang dan juga merupakan anak kepada bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi mendapat sokongan untuk menjadi Presiden negara itu?

Itulah persoalan yang timbul kerana Seif yang sebelum ini pernah dianggap akan menggantikan tempat bapanya.

Namun, Gaddafi dibunuh oleh rakyatnya sendiri pada tahun 2011 disebabkan oleh kebangkitan penduduk akibat pengaruh revolusi Tunisia tetapi ia kemudian merebak ke negara tersebut.

Dilahirkan pada tahun 1972, beliau merupakan anak kedua daripada lapan orang anak Gaddafi tetapi merupakan anak sulung hasil daripada perkahwinan bapanya dengan isteri keduanya, Safiya.

Pada Ahad lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya Libya menyatakan Seif mendaftarkan diri untuk bertanding sebagai calon Presiden dalam pilihan raya di negara yang kaya dengan minyak itu

Pilihan raya itu bakal berlangsung pada 24 Disember depan.

Beliau pernah mendapat Ijazah Doktor Falsafah (Phd) dari London School of Economics, England tetapi tidak memegang sebarang jawatan rasmi sepanjang pemerintahan bapanya selama lebih 40 tahun di negara itu.

Seif menjadi terkenal pada tahun 2000 apabila Yayasan Gaddafi yang diketuainya berunding untuk membebaskan tebusan-tebusan Barat yang ditahan oleh anggota-anggota Muslim yang menentang kerajaan di Filipina.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Tujuh tahun kemudian beliau menjadi perantara bagi membebaskan sekumpulan jururawat Bulgaria dari Libya yang dipenjarakan kerana dituduh menyebabkan kes HIV merebak kepada sejumlah kanak-kanak akibat darah tercemar di sebuah hospital di Benghazi.

Beliau juga terlibat dalam rundingan pampasan untuk keluarga-keluarga mangsa yang terbunuh dalam pengeboman sebuah pesawat di Lockerbie, Scotland dan letupan sebuah kapal terbang milik syarikat Perancis di Niger pada tahun 1989.

Seif juga merupakan arkitek pembaharuan dan berhasrat untuk menormalkan hubungan dengan Barat tetapi kebangkitan penduduk yang berlaku di negara-negara Arab dan Afrika sejak satu dekad lalu telah menyebabkan tiga orang anak Gaddafi terbunuh.

Selepas bapanya mati dibunuh, beliau dilaporkan ditangkap oleh sebuah kumpulan militia pada November 2011 .

Libya akan menghadapi pilihan raya Presiden dan Parlimen pada bulan depan selepas terlibat dalam peperangan selama bertahun-tahun. - AFP
Libya akan menghadapi pilihan raya Presiden dan Parlimen pada bulan depan selepas terlibat dalam peperangan selama bertahun-tahun. - AFP

SEIF TERIMA PENGAMPUNAN?

Empat tahun kemudian, sebuah mahkamah Tripoli di negara itu menjatuhkan hukuman penjara tanpa kehadirannya kerana kesalahan melakukan jenayah menentang kemanusiaan semasa kebangkitan rakyat Libya.

Namun, sebuah pentadbiran di timur negara tersebut dilaporkan memaafkan Seif tetapi keputusan tersebut tidak pernah disahkan oleh pihak berkuasa di Tripoli.

Bagaimanapun, beliau membuat kemunculan mengejut pada Julai lalu apabila temu ramahnya dengan akhbar New York Times dengan menyatakan bahawa beliau tidak menafikan akan kembali semula ke kancah politik.

Memang benar beliau memasuki dunia politik semula tetapi pencalonannya untuk merebut jawatan Presiden Libya mendapat tentangan daripada sebuah majlis pimpinan golongan tua di Misrata yang mahu memboikot pilihan raya Presiden Libya yang ditandingi oleh Seif.

Misrata ialah bandar yang memainkan peranan penting dalam kebangkitan penduduk bagi menentang pemerintahan Gaddafi yang disifatkan mengamalkan pemerintahan autoritarian di negara itu.

Majlis itu juga menolak calon sekali gus merujuk kepada Seif yang mempunyai waran tangkap dari sebuah mahkamah Libya dan dikehendaki oleh ICC di Belanda kerana melakukan jenayah menentang kemanusiaan ketika kebangkitan penduduk di negara itu menentang pemerintahan bapanya.

Setakat ini tidak diketahui sejauh manakah pengaruh majlis itu boleh menyebabkan penduduk di negara berkenaan memboikot pilihan raya Presiden tersebut hanya kerana Seif menjadi calon Presiden Libya.

Pencalonan anak Gaddafi itu juga menyebabkan terdapatnya sebuah laman web yang mendakwa bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya Libya telah bertindak menolak pencalonan beliau sebagai calon Presiden.

Namun, pada Isnin lalu Suruhanjaya Pilihan Raya itu terpaksa membuat penafian bahawa ia telah menolak permohonan pencalonan anak Gaddafi itu seperti yang dilaporkan oleh sebuah laman web di negara tersebut.

Pilihan raya Presiden Libya dan Pilihan Raya Parlimen akan diadakan pada 24 Disember depan di bawah tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas satu perjanjian dicapai antara parti-parti politik dalam satu mesyuarat yang diadakan di Tunisia pada 15 November tahun lalu.

Negara yang kaya dengan minyak itu telah membuka pencalonan untuk calaon-calon bertanding bagi merebut jawatan Presiden tersebut pada 8 November lalu walaupun terdapat ketegangan antara Parlimen, Majlis Tertinggi Negara dan kerajaan perpaduan berhubung kuasa pilihan raya dan undang-undang.

Pilihan raya itu juga diadakan selepas negara berkenaan terlibat dengan peperangan saudara yang berlaku sejak 2014 sebelum berakhir pada tahun lalu. - Agensi

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. UMNO dan Pas kini umpama pasangan suami isteri yang 'bercerai talak tiga'
  2. Sekolah perlu cari maklumat pelajar tercicir - Alimuddin
  3. Gandakan bantuan ekonomi kepada B40
  4. Tak mampu sediakan pengangkutan anak ke sekolah
  5. Empat anak dah lima tahun tak sekolah