Sila log masuk terlebih dahulu.

Militia maritim China ancam Spratly

21 November 2021



China melakukan banyak rondaan melibatkan bot nelayan di sekitar Kepulauan Spratly sejak akhir-akhir ini. - EPA
China melakukan banyak rondaan melibatkan bot nelayan di sekitar Kepulauan Spratly sejak akhir-akhir ini. - EPA
A
A
A

BEIJING - China sememangnya tidak pernah lekang dek kontroversi.

Beijing kembali menjadi tumpuan Barat disebabkan oleh laporan didedahkan Pusat Kajian Antarabangsa dan Strategi yang berpangkalan di Washington, Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat lalu berhubung Kepulauan Spartly di Laut China Selatan.

Laporan itu menyatakan terdapat 122 buah kapal militia termasuk 52 lagi kapal yang dianggap oleh pertubuhan pemikir tersebut adalah sebagai sebahagian daripada gerakan kumpulan ala tentera dari China yang kini berada di kawasan Kepulauan Spratly.

Ia juga menyatakan terdapat kira-kira 100 buah kapal militia ditempatkan berdekatan Pulau Thitu pada tahun 2018 di Kepulauan Spratly yang berada dalam kawalan Filipina dan 200 lagi berada di Terumbu Whitsun di kepulauan tersebut pada musim bunga lalu.

Bilangan kapal dan bot militia China itu diperoleh oleh pertubuhan tersebut melalui laporan media, data daripada ‘remote sensing’ dan kawalan maritim di kawasan tersebut.

Pusat Kajian Antarabangsa dan Strategi itu juga menyatakan bahawa kebanyakan militia maritim tersebut menggunakan bot nelayan yang pernah terlibat dalam operasi agresif sejak tahun 2000.

Laporan yang mendapat pembiayaan daripada Jabatan Negara AS itu mendedahkan bahawa kapal-kapal militia itu telah ditempatkan di Kepulauan Spratly dalam jumlah yang besar selepas China membina pos tentera di pulau buatannya.

Gerakan militia itu dikatakan beroperasi dari 10 buah pelabuhan di Guangdong dan wilayah Hainan.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Menurut laporan tersebut, terdapat tindakan provokasi militia maritim itu yang melibatkan gangguan terhadap sebuah kapal pemantauan milik AS, USNS Impeccable pada 2009.

Ketika insiden di kawasan yang terletak kira-kira 137 kilometer ke selatan Hainan itu, USNS Impeccable didakwa telah dikelilingi oleh lima buah kapal China termasuk dua bot nelayan.

Sebanyak 22 daripada 28 syarikat dan koperasi perikanan dipercayai memiliki sebuah kapal militia yang berpangkalan di wilayah Guangdong.

Pemerintah China turut dilaporkan memberikan subsidi kepada kapal-kapal itu yang berukuran sepanjang 55 meter dilengkapi enjin berkuasa 1,200 kilowatt (kW) yang beroperasi di Kepulauan Spratly.

Menerusi laporan berkenaan, kapal-kapal itu didakwa menerima subsidi minyak sebanyak 24,175 yuan (RM15,834) sehari.

Bagaimanapun, dakwaan menyatakan militia maritim China itu ialah nelayan negara tersebut disangkal oleh seorang felo penyelidik dari Beijing.

Ia adalah berdasarkan kenyataan seorang pembantu felo penyelidik Institut Kebangsaan Untuk Kajian Laut China Selatan, Chen Xiangmiao yang berpendapat adalah tidak sesuai untuk membuat dakwaan bahawa nelayan China merupakan sebahagian daripada militia maritim.




Sebuah pos tentera milik China terdapat di Terumbu Subi, Kepulauan Spratly. - AFP
Sebuah pos tentera milik China terdapat di Terumbu Subi, Kepulauan Spratly. - AFP

Menurutnya, maksud militia itu ialah orang yang menjalani latihan ketenteraan ketika individu berkenaan masih melakukan aktiviti-aktiviti lain.

“Justeru, sekumpulan orang yang berada di atas kapal itu tidak sepatutnya dianggap sebagai militia maritim kerana mereka tidak pernah menjalani latihan ketenteraan,” jelasnya.

Jika tidak dianggap sebagai militia siapakah sebenarnya mereka itu?

Inilah persoalan yang perlu dijawab oleh kerajaan China kepada dunia.

Ironinya, laporan itu dikeluarkan selepas Filipina mendakwa Pasukan Pengawal Pantai melepaskan tembakan air menyasarkan bot yang menghantar bekalan kepada pasukan marin negara Asia Tenggara di Laut China Selatan pada Selasa lalu.

Namun, kejadian itu hanya didedahkan oleh Manila kira-kira dua hari kemudian.

Ia disebabkan oleh bantahan yang disuarakan oleh Setiausaha Luar negara itu, Teodoro Locsin Jr terhadap China berhubung kejadian itu yang berlaku di Beting Second Thomas atau lebih dikenali sebagai Beting Ayungin di Filipina.




Tentera Laut AS mengadakan latihan perang antikapal selam bersama tentera Jepun di Laut China Selatan pada Selasa lalu. - Pasukan Pertahanan Maritim Jepun
Tentera Laut AS mengadakan latihan perang antikapal selam bersama tentera Jepun di Laut China Selatan pada Selasa lalu. - Pasukan Pertahanan Maritim Jepun

Beliau menganggap tindakan negara komunis itu sebagai satu bentuk pelanggaran kerana ia berlaku di kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ).

Sebagai respons, Beijing menjelaskan ia melakukan tindakan berkenaan bagi melindungi kedaulatan China kerana Filipina tidak menghubunginya bagi memberitahu pergerakan bot untuk menuju ke Beting Ayungin.

Ia jelas menunjukkan bahawa China seolah-olah menguasai kawasan Laut China Selatan yang menjadi laluan bot Filipina tersebut.

Sebelum ini, tuntutan China di sebahagian besar Laut China Selatan turut mencetuskan pertikaian multilateral dengan negara Asia Tenggara termasuk Malaysia dan Brunei.

Laporan terbaharu itu disiarkan selepas Tentera Laut AS mengadakan latihan perang antikapal selam pertama bersama dengan tentera Jepun di Laut China Selatan pada awal minggu lalu di tengah-tengah ‘keributan’ bahawa China mungkin akan menyerang Taiwan.

Di Beijing, kepulauan itu dikenali dengan nama Kepulauan Nansha.

Sebahagian daripada Kepulauan Spratly itu turut menjadi tuntutan Malaysia, Brunei, Taiwan, Filipina dan Vietnam.

Terumbu Whitsun kini berada dalam kawalan China.

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. UMNO dan Pas kini umpama pasangan suami isteri yang 'bercerai talak tiga'
  2. Sekolah perlu cari maklumat pelajar tercicir - Alimuddin
  3. Gandakan bantuan ekonomi kepada B40
  4. Tak mampu sediakan pengangkutan anak ke sekolah
  5. Empat anak dah lima tahun tak sekolah