Sila log masuk terlebih dahulu.

10,000 penyu mati setiap tahun

Akibat aktiviti perburuan dan pemerdagangan haram haiwan marin tersebut di seluruh dunia

23 November 2021
Empat daripada tujuh spesies penyu yang terdapat di dunia berada di perairan negara kita.
Empat daripada tujuh spesies penyu yang terdapat di dunia berada di perairan negara kita.
A
A
A

[INFOGRAFIK] Penyu laut adalah antara haiwan marin yang tergolong dalam spesies terancam.

Jumlahnya di serata dunia direkodkan semakin berkurangan dari tahun ke tahun.

Untuk rekod, terdapat sebanyak tujuh spesies penyu yang mendiami dunia iaitu penyu belimbing, penyu karah, penyu kempi, penyu pipih, penyu hijau, penyu tempayan dan penyu lipas.

Berdasarkan laman web Olive Ridley Project, hanya tinggal sekitar 6.5 juta ekor penyu di dalam laut.

Jumlah tersebut dilaporkan semakin merosot berbanding sebelum ini, sekali gus meletakkan haiwan tersebut dalam kategori spesies terancam berstatus mudah pupus atau vulnerable (VU).

Dianggarkan, spesies terbesar dunia iaitu penyu belimbing mempunyai jumlah kurang daripada 25,000 ekor manakala penyu karah (57,000), penyu kempi (25,000), penyu pipih (69,000), penyu hijau (90,0000), penyu tempayan (50,000) dan penyu lipas (1 juta).

Menurut Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF), terdapat beberapa faktor dikenal pasti mengancam kehidupan spesies marin berkenaan.

Salah satunya adalah perburuan dan pemerdagangan haram melibatkan daging, kulit dan telur haiwan berkenaan.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

“Penyu terus diburu oleh manusia sebagai sumber makanan dan pendapatan bagi sesetengah penduduk dunia.

“Ada juga sesetengah penduduk dunia yang membunuh haiwan tersebut bagi tujuan perubatan dan upacara keagamaan,” katanya.

Susulan itu, kira-kira 10,000 penyu dianggarkan mati setiap tahun akibat aktiviti berkenaan, antara yang terjejas teruk ialah penyu karah dan penyu lipas, tambahnya.

Bagi mengekang perkara tersebut, WWF telah bekerjasama dengan komuniti setempat supaya mengurangkan aktiviti mengutip dan menjual telur penyu dengan mewujudkan sumber ekonomi alternatif agar mereka tidak lagi menjual telur dan haiwan tersebut.

WWF menjelaskan, faktor lain yang menyebabkan spesies tersebut terus terancam ialah kemusnahan habitat akibat pembangunan di pesisir pantai dan perubahan cuaca yang menggangu proses pembiakan.

Di samping itu, pencemaran laut seperti pembuangan plastik dan bahan kimia turut menjadi punca penting yang menyebabkan haiwan tersebut terancam.

“Penyu juga sering menjadi mangsa peralatan menangkap ikan digunakan nelayan di serata dunia seperti mata kail dan pukat,” menurut WWF.

KATEGORI KRITIKAL Daripada tujuh spesies yang dinyatakan tadi, empat daripadanya berada di perairan negara kita iaitu penyu belimbing, penyu karah, penyu hijau dan penyu lipas.

Bagaimanapun, WWF menjelaskan status populasi penyu di Malaysia dikategorikan sebagai kritikal semuanya.

Jumlahnya merosot sehingga 99 peratus sejak tahun 60-an susulan aktiviti menjual dan memakan telur haiwan tersebut.

Menurut laporan The Asean Post, penyu belimbing sebelum ini direkodkan paling banyak mendarat di Terengganu untuk bertelur iaitu lebih 10,000 kali pada tahun 50-an.

Namun, Jabatan Perikanan merekodkan, tiada pendaratan dikesan pada 2006.

10 tahun berikutnya pada 2017, jabatan tersebut memaklumkan pihaknya telah mengesan dua sarang penyu spesies tersebut di negeri itu.

Dalam pada itu, Malaysia merekodkan empat spesies di perairan negara manakala negara ASEAN lain seperti Indonesia merekodkan mempunyai enam daripada tujuh spesies yang ada di dunia.

Sementara Thailand, Vietnam, Kemboja, Filipina dan Myanmar pula masing-masing mempunyai lima spesies penyu di perairan laut masing-masing.

Brunai merekodkan tiga spesies penyu yang mendarat di negara mereka dan Singapura dua spesies iaitu penyu karah dan penyu hijau.

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. UMNO dan Pas kini umpama pasangan suami isteri yang 'bercerai talak tiga'
  2. Sekolah perlu cari maklumat pelajar tercicir - Alimuddin
  3. Gandakan bantuan ekonomi kepada B40
  4. Tak mampu sediakan pengangkutan anak ke sekolah
  5. Empat anak dah lima tahun tak sekolah