Sila log masuk terlebih dahulu.

Dua langkah lindungi masa depan wanita

25 November 2021 08:06am | Masa membaca: 4 minit
No Image Caption
A
A
A

ADA dua khabar penting untuk semua lelaki di Malaysia yang perlu diberikan perhatian terutama bagi mereka yang telah berumah tangga.

Pertama, tiada lagi alasan bagi suami atau bekas suami yang culas menjalankan tanggungjawab memberi nafkah kepada tanggungan.

Jika ada yang terus berdegil dan tidak mahu bertanggungjawab, maka mereka bakal berdepan tindakan sekatan akaun bank.

Tindakan itu dibuat selepas pindaan terhadap Jadual 11 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 diluluskan serta digazetkan pada 10 Februari lalu.

Pindaan pada perenggan lima Jadual 11 telah memasukkan pematuhan dan penzahiran maklumat bawah hiwalah iaitu pemindahan hutang daripada penghutang penghakiman kepada pihak ketiga iaitu institusi kewangan kepada pemiutang penghakiman.

Tindakan itu dilaksanakan sehingga suami atau bekas suami penghutang penghakiman menyelesaikan hutang nafkah mereka. Ia akan berterusan selama mana perintah nafkah yang belum dilaksanakan walaupun pasangan sudah bercerai.

Pihak bank akan membayar terus kepada pemohon iaitu pemiutang penghakiman terdiri daripada isteri, bekas isteri atau anak berdasarkan perintah perlaksanaan hiwalah.

Justeru, tindakan tersebut akan memberikan tamparan hebat kepada lelaki yang enggan membayar nafkah. Ada banyak faktor yang menyebabkan lelaki tidak dapat menunaikan tanggungjawab mereka. Mungkin ada yang berpendapatan kecil dan tidak dapat membayar nafkah.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Mungkin ada lelaki yang sudah berkahwin semula dan mempunyai tanggungan baharu, namun ada juga segelintir memang sengaja tidak mahu bertanggungjawab kerana ingin membalas dendam terhadap bekas isteri.

Perkara kedua ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan melancarkan kemudahan i-Sayang pada suku pertama 2022 sebagai sebahagian usaha untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Kemudahan itu akan membolehkan pemindahan sukarela 2.0 peratus caruman KWSP daripada akaun suami ke akaun isteri.

Berdasarkan dua khabar ini, ia menunjukkan bahawa golongan wanita di negara ini mendapat perhatian dan pembelaan yang cukup istimewa bagi menjamin masa depan mereka.

Berbeza dengan lelaki, wanita adalah golongan yang akan terjejas teruk jika mereka kehilangan suami. Mungkin sedikit mudah bagi mereka yang berkerjaya tetapi bagi suri rumah, mereka akan berdepan banyak kesusahan.

Bayangkan pengorbanan seorang wanita sejak berkahwin sehingga mempunyai anak, mereka mengorbankan sepenuh tenaga dan jiwa untuk menjaga rumah tangga.

Malangnya apabila sesebuah perkahwinan tidak bertahan lama disebabkan perceraian atau berlaku kematian suami menyebabkan masa depan mereka gelap. Atas sebab itulah, terdapat pelbagai pertubuhan bukan kerajaan yang ditubuhkan bagi membela nasib golongan wanita.

Ironinya, tidak ada pun sebarang pertubuhan diwujudkan bagi membela nasib golongan lelaki. Sesetengah lelaki, jika berlaku masalah dalam rumah tangga atau kematian isteri, mereka masih boleh berdikari dan ada kemungkinan mencari isteri baharu tetapi keadaan berbeza bagi wanita.

Jadi, kepada golongan lelaki yang sedang berkira-kira mahu mendirikan rumah tangga, mereka harus bersedia dari segala sudut untuk memastikan mereka dapat melayari kehidupan berumah tangga sehingga ke akhir hayat.

Berdasarkan statistik, kira-kira lima permohonan perceraian membabitkan pasangan Islam diterima Mahkamah Syariah seluruh negara dalam tempoh sejam.

Ia menjadikan purata 121 permohonan difailkan dalam tempoh sehari, manakala bagi permohonan perceraian melibatkan pasangan bukan Islam pula, purata 18 kes direkodkan di seluruh negara dalam tempoh sehari.

Dilaporkan, sebanyak 66,440 permohonan cerai membabitkan pasangan Islam difailkan di Mahkamah Syariah seluruh negara sejak Mac 2020 hingga Ogos lalu.

Kebanyakan kes perceraian yang berlaku berpunca daripada keganasan rumah tangga, penderaan psikologi, suami tidak beri nafkah dan berlaku kecurangan atau melibatkan pihak ketiga.

Oleh itu, kita perlu menyokong penuh usaha-usaha melindungi golongan wanita bagi memastikan hidup mereka dan anak-anak terbela.

* Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. HFMD makin membimbangkan
  2. Hubungan yang tidak putus
  3. ‘Era baharu’ AS-ASEAN
  4. Ancaman stagflasi mula dirasai
  5. Tingkat kawalan sempadan negara