Sila log masuk terlebih dahulu.

Hukum gantung pesalah rasuah

Keretakan berpunca daripada keruntuhan akhlak, selain berkembangnya ekosistem terhadap kebendaan atau materialisme

05 Disember 2021 07:03am | Masa membaca: 4 minit
Mohd Kamal
Mohd Kamal
A
A
A

[WAWANCARA] Cendekiawan negara, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan yang juga Profesor Ulung mahu hukuman lebih berat dikenakan terhadap pesalah rasuah di negara ini.

Jelas beliau, negara China dan Indonesia pernah mempunyai rekod paling teruk melibatkan fenomena korupsi, namun segalanya berubah apabila mereka mengambil tindakan tegas.

"Pemerintah komunis di China berusaha menangani korupsi kerana ia menimbulkan satu masalah besar kepada negara republik itu. Maka mereka memutuskan untuk mengenakan tindakan hukuman gantung kepada perasuah.

"Saya merasakan belum ada lagi di negara Islam mengenakan hukuman gantung kepada mereka yang didapati bersalah kerana perbuatan korupsi atau rasuah. Cuba kita buat seperti yang dilaksanakan oleh China itu. Barangkali isu korupsi akan terkawal. Insya-ALLAH," katanya.

Ikuti kupasan tokoh ilmuan dari Pasir Mas, Kelantan yang juga mantan Rektor Ketiga Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menerusi Wawancara Eksklusif Bersama Sinar Ahad bersama kru Rasuah Busters, Hisyamuddin Ayub yang diadakan di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

SINAR AHAD: Bagaimana tercetusnya idea menerbitkan buku bertajuk Corruption and Hypocrisy In Malay Muslim Politics-The Urgency of Moral-Ethical Transformation yang diterbitkan oleh Emir Research?

MOHD KAMAL: Tercetusnya idea ini ada kaitan dengan sebuah artikel ditulis dalam bahasa Melayu yang diminta oleh Sinar Harian untuk disiarkan di akhbar ini sebanyak lima siri. Saya tulis sendiri dalam bahasa Melayu. Sekitar dalam 30 halaman. Saya melihat keadaan korupsi atau rasuah yang berlaku begitu teruk, maka ia menuntut saya untuk menulis berhubung perkara buruk ini.

Saya sangat terpanggil untuk memberikan pandangan sebagai satu sumbangan bagi menyedarkan masyarakat tentang betapa seriusnya perbuatan keji ini dengan saya menggambarkan ia sebagai ‘pandemik rasuah dan kanser kemunafikan’. Itu adalah judul asal dalam artikel yang diterbitkan secara bersiri dalam Sinar Harian. Seterusnya saya mendapat permintaan daripada Pengerusi Emir Research, Datuk Rais Hussin supaya tulis pula dalam bahasa Inggeris. Malah dia juga meminta saya membuat buku tentang gejala rasuah di negara ini.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Jadi atas permintaan Datuk Rais itu, maka saya mula menulis dalam bahasa Inggeris. Alhamdulillah dengan ilham dan pertolongan yang diberikan oleh ALLAH SWT, sokongan dan kesabaran daripada Datuk Rais, saya terus menulis. Akhirnya pada akhir Ramadan yang lalu, tulisan saya untuk buku ini selesai.

--Kenapa Prof melabelkan rasuah sebagai kanser atau barah? Adakah rasuah sudah sampai satu tahap yang sangat membimbangkan dan tiada lagi penawarnya?

Pertamanya kalau kanser pada tahap satu, dua atau tiga, ia tidak nampak. Tidak nampak simptom di luarnya. Kita mungkin menghidap kanser tetapi di luar nampak okey sahaja. Tetapi kita sebenarnya mungkin sudah memasuki tahap empat. Namun ada juga kanser yang nampak kesannya seperti kanser payu dara. Jika ia kanser secara umum, penyakit ini bertindak menyerang manusia dari dalam secara senyap-senyap. Tidak terkesan oleh mata manusia itu sendiri, maka sebab itu saya menyatakan rasuah ini sebagai kanser.

Pandemik rasuah dan pandemik hipokrasi politik iaitu bercakap begini, tetapi buat lain. Janji begini tetapi buat lain. Bercakap bohong sudah menjadi kebiasaan. Maka sebab itu saya menyatakan ia sudah menjadi pandemik atau budaya dalam masyarakat Melayu Islam.

--Adakah buku ini sebenarnya satu luahan hati atau rasa kecewa Prof terhadap situasi barah rasuah yang menular dalam negara kita ini?

Jika dilihat daripada satu sudut, ia memang satu kekecewaan dalam diri saya. Buku ini merakam kekecewaan saya, tetapi itu bukan tujuan saya. Namun saya menulis buku ini bagi mencari jalan keluar untuk isu rasuah.

Bukan saya seorang sahaja nampak kanser ini, cendekiawan Melayu Islam dan bukan Islam juga melihat isu rasuah ini sudah mencapai tahap yang sangat membimbangkan dan merebak dalam masyarakat. Maka masing-masing cuba mencari jalan keluar untuk isu ini.

Sebagai seorang ahli akademik, saya melihat ia dari perspektif akademik dan agama. Maka saya beri jalan keluar berhubung isu rasuah ini yang ada kaitan dengan agama Islam. Ia berkaitan dengan pemimpin umat Islam. Sudah tentu Islam ada jalan keluar dan jawapan untuk perkara ini. Ada jalan untuk menghentikan kanser ini kalau kena dengan terapi yang tepat. Insya-ALLAH, ia akan dapat diatasi.

--Bagaimana peranan akhlak membentuk jati diri pemimpin? Adakah keruntuhan akhlak menjadikan situasi buruk kepada negara?

Keruntuhan akhlak melibatkan golongan pemimpin di negara ini memang satu perkara yang sangat-sangat serius. Selama 70 tahun, saya telah melihat situasi dan perkembangan arena politik negara.

Saya lahir dalam sebuah keluarga politik di Kelantan. Ayah dan ibu saya sangat kuat dalam perjuangan UMNO menentang pihak penjajah pada masa lalu. Bapa dan ibu saudara saya pula pemimpin parti Pas di Pasir Mas, Kelantan. Tetapi nenek saya berada di tengah-tengah.

Saya sebagai cucu melihat situasi dan keadaan ini dengan mengatakan ‘adakah ini politik?’ Jadi saya kata, kalau macam ini politik, saya tidak mahulah terlibat kerana ia memecah belah ahli keluarga.

Jika dahulu, politik Melayu hanya terbahagi kepada dua parti sahaja. Itu pun sudah teruk jadinya. Dahulu Melayu hanya terbelah kepada dua iaitu UMNO dan Pas. Sekarang? Telah terpecah kepada banyak parti-parti politik. Apabila saya melihat fenomena ini selama 64 tahun atau sehingga 70 tahun, situasi yang berlaku pada masa ini adalah sangat teruk.

--Perpecahan Melayu dalam politik melibatkan pemimpin Melayu Islam dan ditambah dengan isu rasuah, bukankah ia boleh memusnahkan negara?

Ya, benar. Ia boleh merosakkan negara. Sebabnya, jika jentera pentadbiran dimakan oleh anai-anai (rasuah), ia boleh menjadi tidak berfungsi. Jentera politik juga akan menjadi sebegitu.

Rasuah dari bawah sehingga ke atas, maka jentera tidak boleh diharapkan lagi. Maka musnahlah negara. Hilanglah rasa hormat negara luar kepada Malaysia.

Turut mendorong saya untuk menulis dan berkata tentang rasuah apabila negara luar menganggap Malaysia sebagai antara negara yang paling teruk melibatkan isu korupsi. Saya berasa amat malu dengan sikap dan persepsi dunia luar terhadap Malaysia.

--Bagaimana pandangan Prof terhadap punca keretakan dalam kalangan pemimpin Melayu Islam di negara ini?

Ini berpunca daripada keruntuhan akhlak, selain berkembangnya ekosistem terhadap kebendaan atau materialisme iaitu mengejar kebendaan. Pasca 13 Mei 1969, negara telah melakukan pembangunan ekonomi secara besar-besaran.

Orang Melayu terutama daripada golongan pemimpin melihat ini sebagai kesempatan untuk mendapat harta dan takhta, sehingga mereka lupa bahawa rasuah itu satu dosa besar. Malah pendidikan Islam mereka itu mungkin tidak sampai ke situ barangkali.

Mungkin pada mereka, Islam hanya keimanan yang melibatkan solat, pergi haji beberapa kali, maka sudah mencukupi. Pandangan berkenaan politik, ia adalah politik semata-mata, manakala bab agama adalah agama. Ia tidak boleh bercampur.

Sikap seperti itu dalam diri pemimpin kebangsaan Melayu berpegang kepada dualisme dalam beragama. Bagi mereka, agama adalah ibadat khusus manakala politik dalam dunianya sendiri. Ini adalah pengaruh daripada kebendaan.

Seterusnya, kepercayaan kepada kuasa bagi membolehkan kumpulan pemimpin daripada pelbagai bangsa untuk membuat segala apa yang diinginkan kepada bangsa mereka. Maka masing-masing berusaha merebut kuasa.

Jika sebelum ini dalam budaya Melayu, kuasa di tangan raja atau sultan. Rakyat ikut sahaja apa yang dikehendaki oleh raja dan sultan. Kerana semua kuasa di tangan sultan. Namun bila datang sistem liberal demokrasi apabila kuasa berpindah kepada rakyat, menerusi Parlimen yang bukan istana tetapi menjadi tempat kuasa.

Buat pertama kali dalam budaya Melayu, kuasa politik menjadi satu yang berjaya dirampas oleh manusia biasa. Bukan lagi manusia yang asal dari kayangan atau daripada golongan raja-raja sahaja yang menguasai kekuasaan.

--Berdasarkan pengalaman lebih 40 tahun Prof dalam bidang akademik, bagaimana cara untuk memberi kesedaran kepada orang ramai terutama anak muda untuk melahirkan rasa benci terhadap rasuah?

Apa yang menyedihkan, penuntut di universiti juga sudah terjebak dengan rasuah.Ada kajian menunjukkan bahawa sebahagian daripada mahasiswa bersedia untuk melakukan perbuatan rasuah. Ia seolah-olah perkara itu tidak menjadi kesalahan. Untuk itu, cara mengatasi isu rasuah ini adalah dari peringkat awal lagi iaitu daripada ibu bapa itu sendiri.

Jangan harapkan universiti akan melakukan kemurnian akhlak kepada mahasiswa sekiranya isu rasuah tidak dididik sejak awal usia. Keluarga adalah ‘sekolah’ yang sangat penting bagi menanam akhlak. Jika ibu bapa cakap kepada anak sejak dari kecil lagi jangan ambil duit orang dan jika mahukan pertolongan orang jangan bagi duit. Tanamkan pada diri anak-anak bahawa rasuah itu satu dosa besar.

Orang yang memberi dan menerima rasuah, kedua-duanya akan berada di dalam neraka. Cuba tanamkan kesedaran ini berkali-kali dalam keluarga dan usaha murni ini pula diteruskan di peringkat sekolah, insya-ALLAH jika sudah berada di universiti mereka akan ada kesedaran.

Namun saya terus berharap agar pihak universiti juga meneruskan usaha yang telah dilakukan oleh ibu bapa dan guru-guru di sekolah. Ini kerana universiti adalah tempat mengeluarkan golongan pemimpin negara. Seorang pemimpin seharusnya mempunyai amanah.

Apa yang berlaku sekarang adalah cerminan daripada kegagalan pendidikan moral yang berlaku di peringkat keluarga, sekolah dan kebudayaan Melayu. Kenapa saya tekankan kebudayaan Melayu? Ia kerana kaum Melayu banyak terlibat dalam soal rasuah politik.

--Apa yang perlu dilakukan untuk menamatkan kanser rasuah, wabak hipokrasi dan perpecahan dalam kalangan masyarakat?

Kita perlu ada akhlak yang menentang amalan rasuah dan kesatuan ummah. Ada beberapa langkah transformatif yang perlu dibuat dan ia telah saya nyatakan di dalam buku yang akan diterbitkan oleh Emir Reseach dalam masa terdekat ini.

Namun apa yang perlu diperbaharui semula ialah perasaan bahawa politik itu bukan satu perkara yang bebas daripada nilai-nilai agama. Politik adalah satu bidang ibadah dalam Islam. Ini satu gambaran yang begitu kontras dengan apa yang berlaku pada masa ini. Pada masa ini, politik dianggap bebas daripada agama. Maka kita perlu tanamkan semula dalam diri bahawa politik satu yang penting diseiringkan dengan agama. Politik ialah pengurusan dan pentadbiran urusan keduniaan yang perlu dilaksanakan dengan betul.

No Image Caption

Perkara ini perlu diberi keutamaan.Keduanya, konsep ummah pada masa ini adalah sangat luntur dalam masyarakat kerana ada melibatkan bangsa atau dalam bahasa Inggeris disebut sebagai nation state. Ia mematikan sistem ummah yang telah dibentuk dalam Islam itu sendiri. Islam pada zaman dahulu berkembang kerana tidak ada nation state. Ia berkembang di seluruh dunia dengan begitu pantas, hanya dengan mengekalkan konsep ummah yang satu.

Namun pihak Eropah telah menimbulkan fahaman nasionalisme atau nation state dan kita pula telah menerima perkara tersebut. Semua ini perlu dirombak semula dan masukkan semula fahaman ummah. Konsep ummah itu sendiri mengatasi bangsa.

Seterusnya ialah sistem melahirkan pemimpin. Saya sebutkan ia sebagai paradigma kepimpinan teosentrik iaitu melahirkan generasi pemimpin baharu yang berpegang kepada konsep ummah, mengatasi bangsa dan menjadikan negara sebagai sebuah keluarga. Insya-ALLAH, dengan beberapa langkah ini ia diharap mampu menghentikan rasuah.

Apa yang saya katakan ini adalah melibatkan perspektif langkah jangka panjang dan bukannya perspektif jangka pendek. Jika jangka pendek, ia mungkin agak sukar untuk kita membongkar akar-akar yang telah rosak itu. Ia mungkin akan memakan masa.

--Adakah hukuman yang tidak setimpal kepada pesalah rasuah menjadikan isu rasuah terus berleluasa dan tidak menggerunkan orang ramai?

Mungkin ada betulnya. Cuba kita lihat China dan Indonesia pada suatu masa dahulu, kedua-dua negara ini mempunyai rekod paling teruk melibatkan fenomena korupsi. Namun undang-undang di Indonesia telah diubah dan dibentuk badan pencegah rasuah yang baharu bagi mengambil tindakan. Hukuman yang dikenakan kepada pesalah rasuah juga menjadi lebih berat. Semua ini dilihat berjaya menyekat perkembangan korupsi.

Begitu juga situasi yang berlaku di China. Pemerintah komunis di China berusaha menangani korupsi kerana ia menimbulkan satu masalah besar kepada negara republik itu. Maka pemerintah komunis di China memutuskan untuk mengenakan tindakan hukuman gantung kepada mereka yang didapati bersalah melakukan perbuatan rasuah.

Saya merasakan belum ada lagi di negara Islam mengenakan hukuman gantung kepada mereka yang didapati bersalah kerana perbuatan korupsi atau rasuah. Cuba kita buat seperti yang dilaksanakan oleh China itu. Barangkali isu korupsi akan terkawal. Insya-ALLAH.

Maka undang-undang perlu diperbaharui dengan memasukkan meningkatkan jumlah penalti yang berlipat kali ganda kepada mereka yang bersalah dalam isu korupsi dan rasuah.

--Untuk akhirnya, apakah yang Prof harapkan daripada hasil penulisan dan penerbitan buku ini?

Saya berharap satu yang positif dapat dicapai dengan terhasilnya buku ini. Dibantu dengan gerakan massa daripada Rasuah Busters sepertimana yang telah digerakkan oleh Datuk Hussamuddin Yaacub, diharap ia dapat membantu mengekang amalan rasuah di negara ini.

Apa yang dapat dilihat, sokongan kepada Rasuah Busters juga semakin meningkat termasuk daripada komuniti bukan Islam. Mereka lagi hebat dalam memberi sokongan kepada pasukan Rasuah Busters. Jadi apalah sangat dengan tulisan saya yang merupakan seorang ahli akademik tua dan tidak faham pula tentang politik, tetapi cuba untuk bercakap tentang politik. Tetapi apa yang sangat saya harapkan, golongan yang sedar dalam parti politik dapat mengambil tindakan sewajarnya.

Penganjuran forum bertajuk Corruption and Hypocrisy in Malay-Muslim Politics: The Urgency of Moral-Ethical Transformation oleh Sinar Harian pada 16 Disember ini diharap dapat membawa generasi ahli politik yang baharu dan muda mengambil alih daripada generasi terdahulu. Bagi saya, ahli politik generasi lama telah musnah dalam aspek moral dan etika. Saya sangat berharap generasi muda mengambil alih. Saya optimis dengan generasi muda untuk menerajui era baharu demi sebuah perubahan besar dalam politik negara.


SEMBANG SANTAI


--Gambarkan diri Prof dalam lima perkataan.

Lima perkataan sahaja? (sambil tertawa kecil). Saya ringkaskan ya. Hamba ALLAH yang mendambakan keampunan daripada Tuhannya.

--Apa yang orang ramai tidak tahu mengenai Prof?

Untuk perkara yang tidak diketahui oleh umum adalah tentang keburukan saya sendiri, yakni kenakalan saya semasa kecil. Perkara ini ramai orang tidak tahu. Orang lihat dan kata Kamal ini bagus, rupanya banyak benda orang tidak tahu.Cuma ada satu benda yang saya bangga untuk sebut adalah berkenaan dengan pengaruh guru-guru semasa di sekolah. Saya dapat guru-guru ilmu akademik yang baik dan amat bertuah kerana mendapat guru-guru agama yang sangat baik.

Seorang guru bernama Ustaz Abullah Nakula berkesan membentuk minat saya tentang sejarah Islam. Saya sebelum itu tidak tahu tentang sejarah Islam. Ini pengaruh guru kepada saya. Dua tiga orang guru di Maktab Sultan Ismail di Kota Bharu, Kelantan ternyata memberi kesan besar kepada diri saya.

Ramai juga yang tidak mengetahui bahawa seorang sahabat yang agak sebaya dengan saya iaitu Almarhum Ustaz Usman Al-Muhammadi adalah insan yang banyak memperbaiki diri saya. Almarhum menyedarkan saya dengan memberi banyak peringatan.

--Apa kenangan yang sukar dilupakan oleh Prof?

Masa kecil-kecil dahulu, saya suka pergi ke kampung nenek saya di Tumpat, Kelantan. Saya suka cara hidup kampung. Boleh naik atas belakang kerbau, boleh mandi sungai dan makan belalang kunyit yang dibakar semasa musim menuai.

Di kampung nenek saya itu, ada seorang gunting rambut yang popular di situ dan orang memanggilnya Pokcik Harun. Selain menggunting rambut, dia juga mengajar al-Quran.

Pada satu ketika semasa menggunting rambut di bawah rumahnya yang lapang, dia pernah berkata kepada saya : “Ni ni budok ni nok jadi profesar (profesor) ni”. Masa itu kemungkinan usia saya sekitar lapan tahun. Entah bagaimana dia mendapat gambaran tersebut. Saya pada masa itu mana faham apa itu profesor dan tidak ambil berat dengan kata-katanya itu. Yang saya tahu ketika itu adalah rambut saya digunting dengan baik dan nampak kemas.

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. HFMD makin membimbangkan
  2. Hubungan yang tidak putus
  3. ‘Era baharu’ AS-ASEAN
  4. Ancaman stagflasi mula dirasai
  5. Tingkat kawalan sempadan negara