Sila log masuk terlebih dahulu.

300 alasan mengapa Najib tidak bersalah gagal yakinkan Mahkamah Rayuan

Najib juga ada kepentingan sendiri sewaktu meluluskan dana Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) kepada SRC. Ia bukan 'national interest', tetapi 'national embarrassment'. - Kata Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Karim

08 Disember 2021 12:55pm | Masa membaca: 4 minit
Najib Razak
Najib Razak
A
A
A

KUALA LUMPUR - Meskipun mengemukakan lebih 300 alasan mengapa Datuk Seri Najib Tun Razak tidak patut didapati bersalah, namun pasukan pembelaan gagal menepis sabitan penyelewengan dilakukan bekas Perdana Menteri itu untuk dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Mahkamah Rayuan pagi tadi tetap mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini yang menjatuhkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadap Najib.

Najib, 68, memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas yang menjatuhi hukuman 10 tahun penjara bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan tiga kes pengubahan wang haram serta penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun bagi satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan, melibatkan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali ketika itu, memerintahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak.

Mahkamah membenarkan permohonan Ahli Parlimen Pekan itu untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya.

Antara alasan dikemukakan pasukan pembelaan Najib untuk dipertimbangkan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil adalah Mohd Nazlan gagal mempertimbangkan ahli perniagaan, Low Teik Jho atau Jho Low menipu dan memanipulasi akaun bank milik bekas Perdana Menteri itu.

Selain itu, Mohd Nazlan turut didakwa terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila mendapati Najib mempunyai kepentingan dalam SRC International dan membuat dapatan dana RM42 juta yang dimasukkan dalam akaun peribadi Najib adalah dana SRC.

Bagaimanapun, Abdul Karim menegaskan tiada sebab untuk panel hakim Mahkamah Rayuan bercanggah dengan Mohd Nazlan yang juga hakim perbicaraan kes Najib.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Jelas beliau, dakwaan bahawa wang itu adalah derma dari Arab juga tidak boleh dipertahankan.

Pada masa sama, Abdul Karim turut menyatakan transaksi pemindahan RM32 juta daripada SRC International ke dalam akaun Najib tidak diklasifikasikan sebagai kepentingan negara.

"Najib juga ada kepentingan sendiri sewaktu meluluskan dana Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) kepada SRC.

"Ia bukan 'national interest', tetapi 'national embarrassment'," kata Abdul Karim ketika membacakan penghakiman pada jam 9.34 pagi tadi.

Susulan Mahkamah Rayuan menolak rayuan Najib, Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) yang terkenal dengan gelaran 'Bossku' itu masih boleh meneruskan prosedur rayuan seterusnya ke peringkat Mahkamah Persekutuan sebagai 'talian hayat' terakhir.

Najib boleh merayu ke Mahkamah Persekutuan di mana beliau harus memfailkan notis untuk merayu bersama-sama dengan notis untuk kebenaran merayu.

Sebelum Mahkamah Persekutuan boleh mendengar rayuan, terdapat prosiding di mana Mahkamah Persekutuan akan memutuskan sama ada terdapat rayuan untuk didengar atau tidak.

Sama ada kebenaran rayuan Najib akan didengari Mahkamah Persekutuan atau tidak, yang pasti peluang beliau untuk terus kekal sebagai ahli Parlimen atau kembali membuat kemunculan sensasi sebagai Presiden UMNO atau Perdana Menteri kesepuluh pada masa hadapan, hampir terkubur.

Berikutan keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya itu, Najib juga adalah bekas Perdana Menteri pertama di Malaysia yang dikenakan pertuduhan di mahkamah dan dijatuhkan hukuman penjara.

Najib membuat laporan meminta polis menyiasat sama ada terdapat sebarang tindakan menyembunyikan bukti material berhubung transaksi wang dikaitkan dengan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International yang dihadapinya, di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada Rabu. - Foto: Bernama
Najib membuat laporan meminta polis menyiasat sama ada terdapat sebarang tindakan menyembunyikan bukti material berhubung transaksi wang dikaitkan dengan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International yang dihadapinya, di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada Rabu. - Foto: Bernama

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. HFMD makin membimbangkan
  2. Hubungan yang tidak putus
  3. ‘Era baharu’ AS-ASEAN
  4. Ancaman stagflasi mula dirasai
  5. Tingkat kawalan sempadan negara