Sila log masuk terlebih dahulu.

Misi selamatkan haiwan di Gunung Berapi Semeru

Sekumpulan sukarelawan menyabung nyawa bantu pindah dan rawat haiwan peliharaan ditinggal penduduk di kawasan berkenaan

17 Disember 2021 03:15pm | Masa membaca: 4 minit
Haiwan-haiwan juga diselamatkan selepas Gunung Semeru meletus di Jawa Timur. - Foto Antara
Haiwan-haiwan juga diselamatkan selepas Gunung Semeru meletus di Jawa Timur. - Foto Antara
A
A
A

Ketika anggota-anggota penyelamat meredah kawasan yang ditutupi dengan abu bagi mencari mangsa-mangsa terselamat dan hilang setelah Gunung Berapi Semeru di Indonesia meletus pada awal bulan ini, para sukarelawan pula sibuk mencari haiwan seperti kucing, lembu dan lain-lain lagi untuk dirawat serta dipindahkan ke tempat lebih selamat.

Setakat ini gunung berapi yang setinggi 3,676 meter di Jawa Timur itu meletus pada 4 Disember lalu mengorbankan lebih 47 orang orang namun anggota-anggota penyelamat masih mencari mayat-mayat di kawasan lumpur dan di celah-celah runtuhan.

Lebih 766 ekor lembu mati ketika gunung tersebut mengeluarkan abu panas dan menghancurkan kampung-kampung di daerah Lumajang.

Kira-kira lebih 647 ekor kambing dan biri-biri juga menemui nasib sama termasuk ribuan ayam yang ditelan oleh aliran lumpur, menurut pihak berkuasa.

Selepas letusan itu berakhir, Satria Wardhana bersama dengan sepasukan 15 sukarelawan dari Pusat Perlindungan Orang Utan (COP) telah menyelamatkan dan merawat 76 ekor lembu serta sejumlah kambing dan biri-biri setelah semua haiwan tersebut ditinggalkan oleh penduduk kampung kerana melarikan diri dari kawasan berkenaan.

"Kami hanya memindahkan haiwan yang mempunyai pemilik. Bagi haiwan terbiar, jika ia cedera, kami merawatnya dengan serta-merta," kata Satria kepada AFP di Curah Kobokan iaitu kampung yang paling dekat dengan gunung berapi tersebut.

Pasukan itu juga memindahkan dua ekor kambing yang mana pemilik haiwan itu telah mati dan membakar bangkai binatang tersebut untuk mencegah penyebaran penyakit.

"Kami juga memberi makan kepada haiwan yang selamat seperti ayam, anjing dan kucing," kata Satria yang bekerja di bahagian penyelamat bencana di COP.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Terdapat haiwan seperti lembu, kambing, biri-biri dan kucing yang masih hidup tetapi mengalami kecederaan seperti melecur di bahagian telinga dan kaki, kata seorang doktor haiwan di COP, Dian Tresno Wikanti.

"Banyak haiwan lain juga menghidap batuk," katanya.



Seorang pelakon Indonesia, Muhammad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Baim Wong turut membantu anggota-anggota sukarelawan menyelamatkan haiwan-haiwan tersebut pada Selasa lalu.

"Sebahagian haiwan juga tertekan dan terdapat seekor kambing yang keguguran. Haiwan ini juga mengalami dehidrasi kerana panas di sini," ujar Dian.

Doktor haiwan juga pergi dari rumah ke rumah di beberapa buah kampung di Lumajang dengan memeriksa keadaan haiwan yang cedera.

Di Sumber Mujur, Dian merawat seekor kucing yang terperangkap di bawah runtuhan selama empat hari dengan kukunya terkena lahar gunung tersebut.

Pemilik kucing itu, Ryan, menyatakan bahawa dia gembira kerana haiwan kesayangannya mendapat rawatan perubatan dengan cepat.

"Saya berlari menyelamatkan diri dan saya tidak mempunyai masa untuk mengambil kucing itu. Pasukan perubatan menyatakan ia trauma, tetapi sekarang semakin baik," katanya.

Turut ditemui anggota-anggota sukarelawan menyelamat haiwan ialah kerbau, landak, ayam Belanda, itik, monyet dan marmut iaitu binatang seperti tikus. Di kampung yang sama, para anggota sukarelawan merawat dua ekor lembu yang dipindahkan dan menggunakan ubat serta menyuntik haiwan berkenaan dengan vitamin.

Bagi pasukan tersebut, menyelamatkan nyawa haiwan adalah sebahagian daripada sifat manusia.

Seekor kucing diberikan rawatan kesihatan selepas cedera akibat letusan Gunung Semeru, Lumajang baru-baru ini. - Foto AFP
Seekor kucing diberikan rawatan kesihatan selepas cedera akibat letusan Gunung Semeru, Lumajang baru-baru ini. - Foto AFP

"Haiwan biasanya ditinggalkan kerana manusia merupakan sasaran utama penyelamatan. Itulah sebabnya kami menyelamatkan benda-benda (haiwan-haiwan) yang dilupakan," kata Dian.

Menurut Satria, menyelamatkan haiwan juga membantu mengurangkan perasaan trauma yang dihadapi oleh mangsa-mangsa letusan gunung tersebut setelah mengetahui binatang-binatang milik mereka terselamat dalam kejadian itu.

Haiwan-haiwan yang ditemui pula dibawa ke kaki Gunung Semeru dan menunggu kedatangan tuannya untuk mengambil semula binatang-binatang tersebut.

Sejumlah haiwan yang ditemui masih hidup tetapi hampir keseluruhan badan binatang tersebut terendam dalam debu kering gunung berapi.

Perpindahan haiwan-haiwan milik penduduk kampung-kampung berhampiran gunung tersebut juga dilakukan oleh anggota-anggota sukarewalan sebuah Yayasan Animals Hope Center.

Seorang pelakon Indonesia, Muhammad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Baim Wong turut membantu anggota-anggota sukarelawan menyelamatkan haiwan-haiwan tersebut pada Selasa lalu.

Beberapa pos haiwan turut disediakan oleh Pejabat Perkhidmatan Ternakan Lumajang untuk mengedarkan makanan dan memberikan perkhidmatan kesihatan kepada binatang manakala Pos Komando Mitigasi Bencana Gunung Semeru tidak ketinggalan menawarkan rawatan kesihatan. - Agensi

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Meloni Perdana Menteri wanita pertama Itali?
  2. 3 syarat nak masuk 'pinang' UMNO
  3. PBT antara lubuk rasuah
  4. Kuasa Agong perkenan 'permintaan' PM
  5. Musuh UMNO takutkan rakyat, PRU15 tahun ini macam 'cerita hantu'