Sila log masuk terlebih dahulu.

Majoriti rakyat Sarawak pilih GPS

Parti tersebut dengan mudah menyapu 76 daripada 82 kerusi DUN yang dipertandingkan dalam PRN Sarawak ke-12 pada Sabtu

[MULTIMEDIA] Kemenangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 pada Sabtu nampaknya menepati ramalan penganalisis dan pemerhati politik tanah air.

Parti tersebut dengan mudah menyapu 76 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan bagi membolehkan mereka membentuk kerajaan negeri.

Kemenangan tersebut jelas membuktikan rakyat Sarawak percaya dengan kredibiliti gabungan parti berkenaan untuk mentadbir negeri itu, sekali gus menjaga kebajikan mereka.

Malah, kemenangan gabungan yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) itu juga jelas menunjukkan rakyat di negeri itu menolak pembangkang.

Dalam PRN Sarawak ke-12, hanya dua parti pembangkang yang berjaya meraih kerusi iaitu Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan DAP.

PSB memenangi empat kerusi di DUN Engkilili, Bawang Assan, Ba’ Kelalan dan Batu Lintang.

Sementara DAP pula hanya mampu memenangi dua kerusi daripada 26 yang ditandingi iaitu di DUN Padungan dan Pending.

PRN Sarawak ke-12 menyaksikan sebanyak 11 parti termasuk Bebas bertanding merebut 82 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Seramai 349 calon yang terdiri daripada 304 lelaki dan 45 wanita mengambil bahagian dalam pilihan raya berkenaan.

Bagaimanapun, hanya 82 sahaja diterima rakyat manakala selebihnya gagal mendapat mandat di kerusi ditandingi.