Sila log masuk terlebih dahulu.

Rekod banjir terburuk di Lembah Klang

Lokasi tumpuan orang ramai mencari rezeki itu juga terdedah kepada bencana banjir

[MULTIMEDIA] Sabtu lepas, negara telah dikejutkan dengan kejadian banjir kilat yang luar biasa sehingga menenggelamkan beberapa tempat sekitar Lembah Klang, terutamanya di bahagian Selangor.

Antara kawasan yang terjejas ialah Kuala Lumpur, Klang, Sepang, Shah Alam, Banting dan Kuala Langat.

Bagaimanapun, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, Klang dan Sepang merupakan dua kawasan yang terjejas teruk susulan hujan lebat sejak Jumaat.

Tragedi banjir yang tidak diduga itu menyebabkan sebanyak 45 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka dengan 3,826 mangsa daripada 2,551 keluarga ditempatkan di Selangor.

Sementara jumlah mangsa yang terkorban akibat banjir pula dilaporkan seramai 17 orang setakat ini.

Tragedi banjir di Lembah Klang bukan lagi baru sebenarnya kerana ia telah dilaporkan berlaku sejak 1971.

Kejadian pertama yang menenggelamkan sekitar 60 peratus bandar raya Kuala Lumpur itu telah memaksa kerajaan pimpinan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak mengisytiharkan Darurat Banjir Kebangsaan di seluruh negara pada 5 Januari 1971.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Ternyata, Lembah Klang yang menjadi lokasi tumpuan ramai untuk mencari rezeki itu bukanlah sebuah tempat yang selamat daripada banjir.

Kawasan tersebut juga nampaknya tiada bezanya dengan tempat lain yang terdedah kepada bencana alam berkenaan.

Sebelum berlakunya kejadian banjir yang buruk pada Sabtu, kawasan tersebut juga pernah merekodkan beberapa kejadian bbencana alam sama.

Walaupun tidak seteruk yang berlaku pada 1971 dan Sabtu lepas, namun impaknya tetap sama – bencana tersebut telah menyebabkan kerosakan harta benda orang ramai.

Malah, ada sebahagian daripada kejadian yang direkodkan di Lembah Klang itu turut memaksa penduduk berpindah di PPS buat sementara waktu.