Sila log masuk terlebih dahulu.

Mengenang banjir balak Pos Dipang

31 Disember 2021 08:26am | Masa membaca: 4 minit
Beginilah keadaan sisa kayu dan pokok yang bertimbun di sepanjang Sungai Telemong, Bentong.
Beginilah keadaan sisa kayu dan pokok yang bertimbun di sepanjang Sungai Telemong, Bentong.
A
A
A

GAMBAR dan video tular yang menunjukkan timbunan batang kayu hanyut akibat banjir di Sungai Telemong, Bentong, Pahang baru-baru ini amat mengejutkan.

Ramai yang mengaitkannya dengan aktiviti pembalakan.

Apatah lagi bencana itu telah meragut lima nyawa dan seorang masih hilang apabila lima buah kereta dihanyutkan arus deras selepas terperangkap di atas Jambatan Sungai Telemong.

Ironinya, Jabatan Perhutanan Pahang menerusi kenyataan pada Rabu malam memaklumkan, semakan di tempat kejadian mendapati sisa kayu yang berselerak di atas jalan dan jambatan yang dikaitkan dengan pembalakan menerusi media sosial adalah sisa sampah-sarap daripada fenomena kepala air yang berlaku pada 18 Disember lalu.

Tinjauan dron juga katanya mendapati tiada pembalakan secara sah atau haram di Hutan Simpan Lentang, tanah kerajaan dan tanah milik persendirian di kawasan berhampiran.

Bencana Sungai Telemong mengingatkan kita kepada tragedi ‘banjir balak’ di Pos Dipang, Kampar, Perak pada 29 Ogos 1996.

Sebelum kejadian, beratus-ratus penduduk kampung orang asli sedang terkurung di rumah masing-masing susulan hujan lebat selama enam jam sejak 12 tengah hari.

Tiba-tiba kedengaran satu dentuman kuat dari arah bukit di belakang kampung berkenaan, disusuli satu lagi bunyi pelik. Belum sempat memikirkan apa-apa, dinding rumah penduduk terus pecah dilanda air bercampur lumpur.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Rempuhan arus deras menyebabkan ada penduduk tercampak keluar dari rumah. Berpuluh-puluh rumah di tebing Sungai Dipang runtuh dan hanyut dalam sekelip mata.

Jeritan penduduk yang ketakutan kedengaran di mana-mana. Ramai yang tenggelam timbul bergulungan dibawa bersama arus tetapi lebih ramai lagi yang tewas akibat rempuhan kayu balak.

Seramai 44 orang terkorban dalam peristiwa itu. Ada mayat yang ditemui tertimbus 1.5 meter di dalam tanah, ada yang hanyut sejauh 48 kilometer sehingga ke Sungai Kinta di Malim Nawar. Lima lagi mangsa tidak pernah ditemui sehingga hari ini.

PEMBALAKAN

Banjir lumpur Pos Dipang dikaitkan dengan aktiviti pembalakan apabila banyak batang pokok besar ditemui di tempat kejadian. Bagaimanapun, hujan lebat pula yang dikata menjadi punca utama.

Selepas 1996, terdapat beberapa insiden banjir lumpur yang mirip tragedi Pos Dipang.

Tragedi Gunung Pulai, Johor pada 28 Disember 2001 – lima sekeluarga terkorban.

Timbunan balak, tunggul kayu dan sampah dibawa air deras ke kaki Gunung Pulai, menghanyutkan 14 buah rumah di Kampung Sri Gunung Pulai.

Menteri Besar ketika itu, Tan Sri Abdul Ghani Othman menafikan dakwaan ia disebabkan pembalakan haram, sebaliknya berkata, takungan air akibat hujan lebat luar biasa sebagai punca kejadian.

Tragedi Gunung Jerai, Kedah pada 18 Ogos 2021 – enam maut. Fenomena kepala air yang membawa bersama kayu balak dan lumpur tebal dari Gunung Jerai di daerah Sik dikaitkan dengan aktiviti pembalakan tidak terkawal.

Namun begitu, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan tiada aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Gunung Jerai berikutan kawasan itu diwartakan sebagai hutan perlindungan.

Dakwaan berlaku ‘banjir balak’ yang berakhir dengan penafian demi penafian seharusnya tidak menutup hakikat betapa rapuhnya bumi kita dalam menghadapi bencana alam yang semakin ekstrem.

Penemuan tunggul dan sisa kayu bergergaji menandakan terdapat aktiviti penebangan pokok di hulu sungai.

Siasatan dan pemantauan lebih menyeluruh mesti dilakukan. Kita tidak mahu banjir balak Pos Dipang kembali berulang.

* Zuki Pileh ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. PAC tidak dapat maklumat pendedahan Rafizi
  2. Malaysia tak layak bina kapal secanggih LCS
  3. Rayuan terakhir Najib berjalan seperti biasa
  4. Projek ‘kereta terbang’ tidak guna duit rakyat
  5. Metana bukan sebarang gas