SHAH ALAM - Mengimbau kembali Langkah Sheraton yang pernah menggemparkan dunia politik Malaysia pada tahun lalu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berpandangan bahawa ia merupakan pengalaman yang menyakitkan namun dapat membuka mata dan mematangkan ideologi demokrasi politik rakyat Malaysia selepas ini.
Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, akibat insiden Langkah Sheraton tersebut, rakyat Malaysia kini lebih bijak menilai sendiri apa yang berlaku dan siapa yang benar-benar berjuang demi rakyat atau mempunyai kepentingan peribadi dengan melompat parti.
“Ia benar-benar pengalaman yang menyakitkan kerana saya tidak menjangka akan menerima pengkhianatan ke tahap itu. Mandat rakyat, demokrasi negara dan institusi awam harus dijaga dan dipertahankan agar tidak disalahgunakan untuk kuasa politik atau kepentingan peribadi.
“Apabila Langkah Sheraton terjadi, ia melemahkan sistem demokrasi yang ada di Malaysia. Saya benar-benar berasa sedih, kecewa, geram dan marah tetapi kita tidak boleh mengharapkan suatu sistem yang sempurna,” katanya dalam program Politically Frank terbitan portal bahasa Inggeris, Sinar Daily.
Jelas beliau, demokrasi adalah suatu sistem yang tidak sempurna dan mempunyai banyak kekurangan dan ‘lompang’ di dalamnya yang mana masyarakat perlu belajar serta sama-sama membaik pulih sistem ini demi membina negara yang lebih berkualiti.
“Malaysia merupakan sebuah negara yang masih dalam proses untuk berkembang maju. Oleh itu, tidak kira apa jua halangan yang melintang, kita perlu sentiasa mara ke hadapan.
“Tidak kira berapa banyak lagi Langkah Sheraton yang mungkin akan berlaku, saya akan terus maju kerana matlamat yang paling penting adalah kita mesti mempunyai azam dan semangat dalam membawa Malaysia ke hadapan,” katanya.
Tambahnya, Langkah Sheraton juga telah membuka minda rakyat Malaysia untuk melihat isu yang lebih besar dan mendalam.
“Apabila seluruh rakyat Malaysia tahu dan bercakap mengenainya, ia sekaligus telah menjurus mereka untuk melihat isu yang lebih besar dan menyeluruh iaitu penggubalan Pilihan Raya Semula atau 'recall election' untuk anti lompat parti.
“Langkah Sheraton juga telah membuka mata Malaysia untuk melihat perdebatan yang lebih besar di Parlimen, parti yang lebih luas, Undi 18 dan kesedaran meluas tentang hak dan isu rakyat,” katanya.
Syed Saddiq turut berkongsi perasaan dan pengalamannya apabila digugurkan dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) walaupun beliau merupakan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan pengasas bersama parti tersebut.
“Saya digugurkan oleh parti kerana membantah Langkah Sheraton dan tidak menyokong mereka yang lompat parti disebabkan kuasa dan kepentingan peribadi.
“Saya berasa sedih kerana Bersatu merupakan parti pertama yang saya sertai dan perjuangkan sebagai sayap muda yang akhirnya menjadi majoriti ahli parti apabila 55 peratus ahli Bersatu terdiri daripada golongan muda di bawah 40 tahun,” katanya.
Walau bagaimanapun, beliau bangga dapat menubuhkan parti Muda pada hari ini dan percaya pada pembinaan negara yang berbilang kaum dan dasar polisi negara yang berlandaskan fakta sains dan data.
“Saya berpandangan politik Malaysia memerlukan nafas baharu yang mana kita lebih menumpukan kepada idea dan prinsip untuk mereformasikan demokrasi Malaysia dan memperkasakan institusi demokrasi negara dengan melemahkan campur tangan ahli dan parti politik.
“Ini termasuk cara bagaimana kita menjalankan perniagaan di mana tiada lagi rundingan terus (direct negotiation), tender terbuka, ketulusan data dan kebebasan media. Kita juga ingin menjadi parti yang cenderung kepada perbahasan yang kritikal daripada berbalik kepada bermain isu bangsa dan agama,” katanya.
Syed Saddiq juga turut berkongsi pendapat tentang kekurangan parti politik sedia ada yang menyebabkan beliau menyertai Muda daripada berada di bawah sayap muda parti lain.
“Saya percaya anak muda tidak patut berasa terhad menjadi sayap muda parti sahaja. Dalam negara berdemokrasi ini, saya yakin walaupun kita seorang anak muda, kita juga boleh menjadi pemimpin.
“Mereka juga berhak mewujudkan sebuah parti yang mana presidennya seorang wanita yang tidak terhad kepada mana-mana sayap muda. Matlamat Muda adalah untuk mencipta peluang pekerjaan dan pendidikan yang lebih berkualiti untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.
Dalam pada itu, Syed Saddiq juga berkata, oleh kerana peranan media yang menyiarkan sidang Parlimen secara langsung, rakyat kini lebih peka, faham dan boleh menilai sendiri apa yang terjadi di dalam Parlimen.
“Di sini, rakyat dapat melihat siapa ahli Parlimen yang menyuarakan isu tentang keprihatinan rakyat dan memberikan cadangan penyelesaian yang bernas atau mereka yang kurang peduli dan tidak datang ke sidang Parlimen.
“Rakyat dapat menilai sendiri siapa yang berjuang untuk mereka. Untuk kita mendapat demokrasi yang matang, amat penting untuk kita mempunyai pengundi yang berpengetahuan dan media memainkan peranan dalam memastikan perkara itu berlaku,” katanya.